Sebelum tamat belajar, kita bertungkus lumus untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang. Bila dah tamat, kita sasarkan untuk dapat kerja bagus. Kita berusaha gigih meniti tangga kerjaya!. Kemudian, cari pitih untuk beli kereta – kereta 1, kereta 2, tukar kereta. Kemudian, atasi semua rintangan untuk bina kehidupan dengan pasangan. Kemudian, beranak-pinak dan berusaha untuk miliki rumah sendiri. Kita tetapkan sasaran demi sasaran dalam kehidupan.... Semacam kita tak pernah puas!. Timbul persoalan dalam diri...adakah kita di landasan yang betul?. Firman Allah dalam surah at-Takaathur, ayat 1-8, yang bermaksud,
Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh), Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian) Kamu akan mengetahui kelak akibat yang buruk semasa hendak mati)!. Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!. Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui – (apa yang kamu akan hadapi) – dengan pengetahuan yang yaqin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari kiamat). (Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang. Selepas itu – demi sesungguhnya! – Kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yaqin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!. Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala ni`mat (yang kamu telah meni`matinya)!.