Sunday, October 30, 2011

Tanda hati sakit

Suratkhabar vs. al-Qur'an

Yang biasanya....yang sepatutnya....

Tanya diri sejauh mana kita sanggup mendoakan kesejahteraan orang lain, secara umum ataupun khusus. Jika sampai ke pengetahuan kita yang ada jiran atau kenalan atau orang yang kita biasa nampak tapi tak berapa kenal, jatuh sakit, adakah kita akan mendoakannya agar segera sembuh?. Setelah sekian lama penderitaan rakyat Palestin sampai ke telinga kita, pernahkah kesejahteraan mereka termasuk dalam doa persendirian kita?

Dari Abu Ad-Darda, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) tanpa sepengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata, “Dan bagimu juga kebaikan yang sama.” (HR. Muslim no. 4912)

Doa malaikat mustajab. Justeru, beruntunglah kita jika mereka mendoakan kita. Mereka akan mendoakan kita apabila kita mendoakan orang lain.

Saturday, October 29, 2011

"Konvokesyen"

Pada 29 November 2011, saya menghadiri konvokesyen universiti. Para VVIP/VIP ditempatkan di atas pentas, yang di kiri kanannya terdapat dua skrin besar. Berada dalam khalayak ramai bersama-sama para ibubapa dan graduan, memberi peluang kepada saya untuk melihat dengan jelas apa yang berlaku di atas pentas utama. Seramai lebih 300 graduan bagi sidang yang saya hadiri – mereka siap sedia berbaris di sebelah tepi dewan, berjalan seorang demi seorang menaiki pentas apabila nama mereka dipanggil, menerima skrol daripada Pro Canselor sambil tunduk sedikit tanda hormat, mengukir senyum untuk diambil gambar oleh para jurugambar, kemudiannya berjalan turun daripada pentas. Seorang rakan pensyarah di sebelah saya berbisik, “Aduh! 300 lebih….lama ni….keras punggung ni”.

Saya kata, “Sekejap je kot sebab mereka sudah siap sedia berbaris, ambil skrol dan beredar…..tak perlu berucap dan sebagainya!”.

Terfikir saya bagaimana agaknya suasana ‘konvokesyen’ kita di Padang Mahsyar nanti. Kalau lebih 300 orang, kita dah rasa rimas dan tidak selesa menunggu, bagaimana dengan bilangan yang merangkumi umat nabi Adam a.s. hinggalah umat akhir zaman iaitu umat nabi Muhammad s.a.w. Berapa ramai manusia tu?. Semuanya berhimpun menunggu penghakiman Allah s.w.t. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan. Semasa konvokesyen di universiti tadi, kami ditempatkan dalam dewan yang berhawa dingin. Dikhabarkan di Padang Mahsyar nanti matahari hanya sejengkal di atas kepala. Allahuakbar!. Sebelum memasuki dewan, kami ditempatkan dalam bilik ‘transit’.

Semasa dalam bilik ini, seorang sahabat bergurau dengan saya, ‘Nazif, lawa topi. Boleh pinjam?’.

Saya kata, ‘Boleh! Boleh!. Tapi nanti bagi baliklah sebab saya pun pinjam (daripada HEA)!. He..he...".

Di akhirat nanti, semua manusia dibangkitkan dalam keadaan bertelanjang, belum berkhatan dan hina. Namun, pada masa itu tiada perasaan malu sebab setiap orang sibuk dan kalut dengan hal sendiri hingga tidak terfikir tentang hal orang lain.

Nama setiap graduan disebut dan dipamerkan di skrin besar. Saya perasan setiap kali nama graduan atau bapanya yang pelik disebut atau dipamerkan di skrin, ada reaksi spontan daripada hadirin. Di akhirat nanti, kita akan dipanggil dengan nama panggilan kita di dunia. Melihat kepada keadaan di konvokesyen, baru saya faham, “apa ada pada nama?”. Bagaimana jika nama kita yang bunyinya pelik, ditambah dengan tiada apa-apa makna atau mempunyai makna yang buruk (dari perspektif Islam) di sebut? Antara tanggungjawab ibubapa ialah memberikan nama yang baik kepada anak mereka. Kalaupun diberikan nama yang baik, ada yang tidak dipanggil dengan nama yang baik itu. Misalnya, nama “Zaki” mempunyai maksud yang baik iaitu ‘cerdik’, dipanggil sebagai Z. Yang bernama Fatimah (nama anak Rasulullah s.a.w), dipanggil pula Fetty. Ianya mungkin kecil, tapi percayalah bahawa ianya signifikan – panggilan ibubapa kepada anak adalah doa dan doa ibubapa kepada anak-anak adalah antara doa yang dimakbulkan. Bayangkan ‘doa’ ibubapa kepada anak mereka setiap kali dipanggil ‘Zaki!, Zaki!, Zaki! (iaitu, Cerdik! Cerdik! Cerdik!) berbanding ‘Z!Z!Z! (iaitu, ?!?!?!).....

Bagi graduan cemerlang, anugerah yang diterima dinyatakan dan biasanya tepukan gemuruh diberikan untuk mereka ini. Di skrin, di hujung nama graduan yang mendapat anugerah cemerlang (seperti anugerah Naib Canselor, Dekan, dll.), akan diletakkan dua atau tiga bintang (**/***). Di akhirat nanti, mereka yang cemerlang kerana menepati "KPI" Allah semasa hidup di dunia akan dapat layanan istimewa. Misalnya, ada 7 golongan "VVIP" yang akan mendapat perlindungan Allah daripada kesengsaraan di Padang Mahsyar. Setiap perlakuan manusia akan ‘ditayangkan’. Ada ‘playback’. Setiap tindak tanduk kita di dunia ada ‘CCTV’ - Allah menugaskan dua malaikat, Raqib dan Atid untuk mencatatkan segala rekod kebaikan serta kejahatan dilakukan setiap individu. Dalam surah a-Haqqah, ayat 18, Allah berfirman yang maksudnya,

Tiap-tiap seorang pada ketika dijalankan perbicaraannya - disoal dan diperiksa satu persatu; tidak akan tersembunyi sesuatu pun dari bawaan hidupnya di dunia, sekalipun yang sulit.

Selain daripada itu, suasana dalam dewan konvokesyen yang saya hadiri penuh damai, tenteram dan ceria. Graduan berbaris dengan penuh disiplin dan tertib. Saya lihat kegembiraan terpancar di wajah setiap graduan semasa mereka berjalan naik dan turun daripada pentas untuk menerima skrol masing-masing. Di Padang Mahsyar pula, digambarkan kepada kita tentang keadaan sengsara, perit, penuh seksa seperti tenggelam dalam air peluh manusia, keadaan berjalan dengan muka ke bumi dan sebagainya. Seluruh makhluk tunduk kerana ketakutan dan penyesalan menunggu penentuan nasib, samada ke Syurga atau ke Neraka.

Apabila habis orang-orang yang disoal oleh Tuhan yang Maha Adil; maka suratan amal manusia dikeluarkan untuk diberi ke tangan masing-masing yang apabila menerimanya ia dapati suratan amalnya itu terbuka, boleh ditatap dan dibaca olehnya sendiri; (13, Surah al-Isra').

Suratan amal itu ada yang diberi ke tangan kanan tuannya dan ada yang diberi ke tangan kirinya. Orang yang diberikan suratan amalnya ke tangan kanannya merasa besar hati dan berbangga dengan yang demikian sehingga ia menyeru orang-orang lain supaya membacanya; (91, Surah al-Haqqah). Sebaliknya orang yang diberikan suratan amalnya ke tangan kirinya merasa runsing hati dan merungut-rungut kerana keburukan nasibnya; (25, Surah al-Haqqah)

Allahuakbar!. Bagaimanakah ‘skrol’ ku?????

Tuesday, October 18, 2011

Tahi lembu perlu cepat dibasuh...

Saya memandu di sebatang jalan yang terlalu banyak “jerangkap samar” hingga tak dapat dielak lagi. Habis cara dah - pusing, brek, pulas, kiri, kanan – kena jugok tahi lembu…percik sampai ke body kereta!. Sampai di rumah, buka pintu kereta, baunya semerbak. Saya dengan cepat basuh kereta untuk menghilangkan tahi lembu tu. Kena cepat-cepat basuh sebab jika dah jadi keras, ia sukar nak dibersihkan. Kena dibasuh cepat dan berterusan sebab saya melalui jalan tersebut setiap hari. Jalan yang memang jadi “tandas” sekumpulan lembu. Ditambah dengan sikap lembu yang tak pandai “flush” tahi mereka.

Begitulah juga dengan dosa-dosa kita. Kita terdedah kepada maksiat dan dosa setiap hari, samada secara sedar ataupun tidak. Jadi, kena cepat-cepat dan berterusan bertaubat. Dosa menggelapkan dan mengeraskan hati. Bila dah gelap dan keras, akhirnya hati mati. Bila hati mati, tak rasa bersalah buat maksiat, malah rasa bangga pula. Segala tazkirah ditolak mentah-mentah dan sukar diterima.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya,

Siapa yang melakukan suatu dosa, maka akan tumbuh di hatinya setitik hitam, kiranya ia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu dari muka hatinya. Jika ia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak sehingga seluruh muka hatinya menjadi hitam. (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Berkaitan dengan hal ini juga, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud,


Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.”
Al-Muthaffifiin:14

Sunday, October 16, 2011

Didik anak...

Semalam ustaz bercerita tentang kisah seorang ibu kepada seorang ulamak besar (saya lupa namanya) mendidik anaknya. Siibu tak pernah menyusu anaknya tanpa beliau berada dalam keadaan berwudhuk. Allahuakbar!. "Sehalus" itu dia menjaga hubungan dengan Allah dalam mendidik anak. Bagaimana dengan kita?

Saturday, October 15, 2011

Punca segala masalah kita....

Segala kekalutan dan haru biru yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang ini adalah disebabkan oleh kita sendiri - samada kita itu selaku diri sendiri, keluarga (ibubapa, adik-beradik, saudara mara, dsbnya), rakan, masyarakat (jiran, dll.), kerajaan, institusi pengajian dan media - kita yang jauh daripada Allah SWT. Kita yang tidak berpegang teguh kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Friday, October 14, 2011

Sijil

Anak saya baru lepas UPSR. Minggu lepas saya bantu beliau isi borang permohonan ke sekolah berasrama penuh melalui internet. Borang tu perlu dicetak dan dihantar kepada pihak sekolah bersama sijil-sijil penglibatan dalam sukan, kelab, unit uniform, pencapaian khas dan kepimpinan. Bila disemak, beliau ada 4 sijil, iaitu kurang 1 sijil. Dalam sukan, penglibatannya ‘sukaneka’….emmmm. Tahap penglibatan (samada wakil negeri/daerah/sekolah)?. Saya rumuskan….wakil diri sendiri lah!. Saya difahamkan, selain daripada pencapaian akademik, sijil-sijil penglibatan dalam aktiviti lain penting dan diambilkira dalam pemilihan ke sekolah berasrama penuh.

Terfikir saya tentang permohonan kita untuk ke Syurga Allah. Pastinya banyak “sijil-sijil” yang diperlukan dan diambilkira. Terdetik dalam hati,

“Aku ada ke semua sijil-sijil tu?, Cukup ke sijil-sijil aku?, Boleh digunakan ke sijil-sijil yang aku ada tu?, Kalau tak cukup sijil-sijil aku tu, nak buat macam mana?”.

Monday, October 10, 2011

Ibubapa derhaka!

Masalah sosial remaja sekarang sudah sampai ke tahap kritikal. Persoalan tentang salah siapa, banyak ditimbulkan. Pada saya, antara faktor utamanya ialah ibubapa yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka seperti yang disarankan Islam. Islam mengutarakan kaedah "prevention better than cure" - misalnya, suruh anak solat di usia 7 tahun dan pukul ketika umur 10 tahun jika ingkar. Islam suruh ajar anak untuk jauhi zina. Ibubapa pula ajar anak-anak pakai skirt dari kecil lagi, selesa dengan anak gadisnya hanya berbaju T-shirt dan berseluar jean, biarkan pergaulan bebas anak-anak, dll. Bila "buluh dah jadi rebung", itulah kita nampak lo ni, ayah yang berjubah dan ibu bertudung, berjalan bersebelahan dengan anak lelaki yang pakai rantai dan anak perempuan yang berseluar sendat, "baju adik" dan rambut fesyen penyanyi pujaan..