Monday, February 27, 2012

Kerja berpasukan

Kalau kita amalkan kerja berpasukan, yang berat jadi ringan. Saya pernah tengok semut bawa seekor lipas yang telah mati dari kaki katil saya ke penjuru siling bilik saya. Bukan seekor semut, tapi kumpulan, deretan, rantaian semut-semut. Subhanallah! Allah didik kita melalui binatang. Semut selaku binatang tiada akal. Kita pula manusia berakal. Malangnya, ada antara kita bila tengok kawan tertekan/terbeban, makin tekan..tekan..tekan...kita senang tengok orang lain susah dan susah tengok orang lain senang!!

Saturday, February 25, 2012

Asyik merungut???

Kita asyik merungut....merungut atas setitis derita. Lihatlah juga kepada segunung kurniaNya!

Jangan mengelak tanggungjawab....

Jangan kita nak mudah, mengelak daripada tanggungjawab menjaga ibubapa yang tua/sakit. Kerana apa? Kerana Allah itu Maha Adil. Mungkin di suatu ketika dalam hidup kita tidak dapat mengelak lagi dan terpaksa juga bersusah - misalnya, jaga mertua/anak/saudara mara yang tua/sakit....

Wednesday, February 22, 2012

Jangan kita jadi orang yang menyesal di akhirat

“Dan (sungguh ngeri) jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.” (as Sajadah: 12)

”Dan mereka berkata: ‘Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) niscaya tidaklah kami termasuk penghuni neraka yang menyala’.”(Al-Mulk: 10).

Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada manusia yang ingkar itu jangan mereka lupakan hari kiamat yang padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang-orang yang berlaku zalim akan merayu dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, (kembalikanlah kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada kami hingga ke suatu masa yang dekat, supaya kami menyahut seruanMu (untuk mengesakanMu dan mentaati perintahMu), dan supaya kami menurut ugama yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu". Dan (rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada mereka): "Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian, dan bukankah kamu telah bersumpah (semasa kamu dalam dunia) dahulu, bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan?, surah Ibrahim, ayat 44

Firman Allah swt: Pada masa Muka mereka dibalik-balikkan dalam Neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau kami Dahulu (semasa di dunia) Taat kpd Allah serta Taat kpd Rasul Allah. (Al-Ahzaab 66)

Kesudahan golongan yg kufur ingkar itu apabila sampai ajal Maut kepada salah seorang di antara Mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah Daku (hidup semula di dunia) "Supaya aku mengerjakan amal-amal yang Soleh dalam perkara-perkara yg telah Aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya Perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang Mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam Barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari Kiamat). (Al-Mu'minun 99,100)

Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang Tersebut), Kami memberi amaran kepada Kamu mengenai Azab yang dekat (masa Datangnya), - iaitu hari Seseorang melihat apa yang telah Diusahakannya; dan org yang Kafir akan berkata (pada hari itu): "Alangkah baiknya kalau Aku menjadi Tanah (supaya aku tidak Dibangkitkan untuk Dihitung Amalku dan Menerima Balasan)". (An-Naba' 40)

Dan sungguh Ngeri jika Engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi Neraka (untuk menyaksikan azabnya yg tidak Terperi), lalu mereka Berkata : "Wahai kiranya kami Dikembalikan ke Dunia, dan kami tidak akan Mendustakan lagi Ayat-ayat Keterangan Tuhan kami, dan menjadilah Kami dari golongan yang Beriman". (Al An'aam 27)

Dan (ingatkanlah) perihal hari Orang-orang yang Zalim Menggigit kedua-dua tangannya (marahkan Dirinya sendiri) sambil berkata : "Alangkah baiknya kalau aku (di Dunia dahulu) mengambil jalan yg Benar bersama-sama Rasul? (Al-Furqaan 27)

"Wahai Tuhan Kami, keluarkanlah Kami dari Neraka ini (serta kembalikanlah kami ke Dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (Mengerjakan Kufur dan Maksiat), maka sesungguhnya Kami Orang-orang yg Zalim." (Allah) berfirman: "Diamlah kamu dengan kehinaan di dalam Neraka, dan Janganlah kamu Berkata-kata (memohon sesuatupun) kepadaKu! (Al-Mu'minun 107,108)

Monday, February 20, 2012

Hadith : Berbuat Baik Dan Bersabar Di Atas Perilaku Manusia

Seorang lelaki bertanya:“ Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar mengahadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.” Kemudian baginda menjawab,” Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah Taala selama mana engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu”. Riwayat Muslim

Huraian:

  1. Islam mengajar umatnya supaya banyak bersabar di dalam semua keadaan sama ada ketika senang atau pun susah kerana ia merupakan pengukur darjat keimanan seseorang.
  2. Islam mengajar umatnya supaya jangan membalas keburukan orang sebaliknya menambahkan lagi kebaikan terhadap mereka mudah-mudahan dengan itu hati mereka menjadi lembut dan baik.
  3. Allah sentiasa memberi pertolongan kepada orang yang sentiasa sabar dan benar dalam bertindak.
  4. Setiap umat Islam wajib menghubungkan silaturrahim dan haram memutuskannya.

(sumber: Himpunan Hadith, JAKIM)

Syukur...

SYUKUR (Doa) - kita mungkin biasa baca doa sebelum makan tapi jarang baca doa selepas makan. Kita mungkin biasa baca doa sebelum masuk tandas tapi jarang baca doa selepas keluar tandas. Bagaimana jika kita makan tapi rasa tak kenyang-kenyang, atau nak kencing/berak tapi tak boleh keluar.
SYUKUR (Anak) - Bila balik rumah, anak-anak berlari-lari menuju kepada kita. Kita pula marah, "Eiiiii...jauh!jauh!Panas ni!!!" Kena bersyukur dengan bersikap ihsan kepada anak-anak sebab ada orang tak dok anak, anak yang sakit, anak yang derhaka dan lain-lain.


Saturday, February 18, 2012

"Cahaya"

Grafik di atas menunjukkan satu dewan kuliah dengan dua situasi iaitu gelap dan cerah. Andaikata anda pertama kali menjejakkan kaki ke dewan kuliah ini dan anda diarahkan bergerak dari pintu A ke pintu B. Anda tentunya bersetuju dengan saya bahawa situasi dewan yang gelap tanpa cahaya memberikan kesukaran. Silap hari bulan tak sampai langsung ke pintu B. Kalau sampai pun, dengan injury, pada diri kita dan juga harta benda - mungkin kaki berdarah, mungkin mesin OHP/transparency pecah!.
Berbeza dengan situasi dewan yang terang benderang disinari cahaya lampu. Walaupun pertama kali menjejakkan kaki ke dewan itu, kita tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk bergerak dari pintu A ke pintu B. Ini kerana cahaya membantu kita untuk melihat laluan ke pintu B dengan jelas.

Situasi di atas adalah analogi kepada kita yang sedang menjalani kehidupan di dunia ini - sebuah perjalanan menuju destinasi yang ingin kita tuju iaitu syurga Allah swt. Tanpa ilmu agama yang mencukupi, kita akan mengalami kesukaran untuk ke syurga Allah atau lebih menakutkan, gagal menemuinya. Dengan ilmu agama yang mencukupi, kita dapat lihat jalannya sebelum kita melangkah, dapat lihat bahawa bukan hanya satu jalan menujunya......

Wednesday, February 15, 2012

JIKA KITA JADI TETAMU ORANG BESAR-BESAR, KITA RASA HEBAT DAN CERITA KEPADA SEMUA ORANG. MENGAPA KITA TAK RASA HEBAT/BERKEHENDAK UNTUK JADI TETAMU ALLAH - SOLAT BERJEMAAH DI MASJID/SURAU.
JADILAH AHLI TETAP MASJID/SURAU. JANGAN HANYA JADI AHLI BERSEKUTU - mari kadang kadang, jarang jarang, semasa majlis tertentu sahaja...

Wednesday, February 8, 2012

Hidup berjemaah

Islam mengutamakan hidup berjemaah. Indahnya hidup berjemaah:
  • Dua hari lepas saya kena gout. Seorang jiran menyapa saya, "Lama tak nampak di surau?".Saya kata, "bahang di gout pulok!". Hari ini di surau, saya disapa beberapa rakan jemaah. Semuanya memberikan motivasi dan sokongan, "Macam mana gout?. Baik dah ke?", "Sabar ya. Sakit tu ujian Allah!", "Mung kena gout sebab Allah sayang mung Zif. Dia nak bagi pahala kepada mung". Rasa sakit gout yang masih berbaki itu hilang terus kerana keperihatinan yang ditunjukkan rakan-rakan jemaah.
  • Tiga hari lepas, seorang jiran buat kenduri kahwin 2 orang anaknya sekaligus. Dua ekor kambing, seekor kerbau dan seekor lembu tumbang. Tenaga ahli jemaah surau digembeling bersama ahli keluarga hingga majlis dapat berjalan dengan sempurna. Jam 7.30 pagi sembelih, potong daging, masak. Jam 11.30 tetamu mula sampai. Ahli-ahli jemaah surau juga bertungkus lumus membantu melayan tetamu yang seramai lebih kurang 3,000 orang, sehingga jam 4.00 petang.
  • Dua minggu lepas, anak seorang jiran yang berumur 27 tahun meninggal kerana barah. Meninggal di hospital lebih kurang jam 8.30 pagi. Alhamdulillah, lepas zohor, solat jenazah dan dikebumikan sejurus selepas itu. Saya lihat sekali lagi jemaah surau berperanan besar. Kali ini dalam mempercepatkan proses dari mula sampai akhir (di hospital, bawa pulang jenazah, pemandian jenazah, solat jenazah, urusan gali kubur, talkin dan tahlil).

Mungkin peristiwa-peristiwa di atas adalah antara kebaikan tersirat daripada saranan Allah untuk orang Islam mengimarah dan solat berjemaah di masjid/surau.

Tuesday, February 7, 2012

Sikap terhadap isteri: Sejauh mana kita mencontohi Rasulullah s.a.w.?

Hari ini (14 Rabi’ul Awal 1433H/ 7 Feb 2012) saya kena gout lagi. Kaki sebelah kanan bengkak cobong warna merah macam udang kena bakar. Sakit yang dicari sendiri - mungkin sebab musababnya, kelmarin “cuit” gulai daging di kenduri rumah jiran. Terliur juga sebab saya sama-sama terlibat gotong royong potong daging seekor kerbau dan seekor lembu. Selepas jumpa doctor, telefon isteri minta datang ambil. Kata isteri, “nak sampai doh ni!”. Lepas 5 minit menunggu di luar klinik, nampak kelibat kereta yang dipandu isteri menghala ke arah klinik. Saya pun berjalan “heret kaki” menghampiri jalan, supaya isteri tak payah cari parking, hanya berhentikan kereta di gigi jalan, saya terus naik, balik telan ubat dan tidur sebab dapat MC. Tiba-tiba……kereta dipandu isteri decung (meluncur laju) melintasi depan klinik tanpa berhenti. Saya lihat isteri macam robot pandu kereta sambil pandang ke depan…..terdetik dalam hati saya ketika itu,

“Eh! Bakpo pulok mek ni dok berhenti. Toleh kepada aku pun tidak. Takkan dia tak tahu klinik ni. Dah bertahun ulang-alik ke klinik ni!!.

Perasaan ketika itu tak rasa nak marah tapi lucu nampak cara isteri pandu kereta….laju macam klinik ni terletak lagi 1 kilometer di depan!. Telefon dua tiga kali, tak angkat. Selepas seketika, ternampak kereta isteri sedang keluar dari jalan bersebelahan klinik. Dia senyum kememek (bahasa Terengganu yang saya tak tahu nak terjemahkan). Bila saya buka pintu dan tanya mengapa tak berhenti tadi, dia jawab,

“Dok mmikir banyak benda sampai dok ingat klinik kat mana!”.

Saya jawab, “Emmmm…tua doh kita ni…saya sakit gout! Awak pulok dok ingat!.”

Rasa berduar (marah) dan nak belebel (berleter) ada juga tapi ditimbus oleh rasa lucu. Alhamdulillah!. Kadang-kadang perkara remeh temeh buat kita cepat marah dan melenting. Kita mesti sentiasa berdoa agar diberi kekuatan oleh Allah swt untuk mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w. Sehari dua ni, sempena sambutan Maulidul Rasul, banyak diperkatakan tentang akhlak Rasulullah s.a.w yang mulia. Rasulullah s.a.w berjenaka, menjahit sendiri pakaiannya, membantu urusan isteri di dapur, tidak memarahi isterinya bila tiada makanan untuk dimakan di rumah sebaliknya membuat keputusan untuk berpuasa, tidak pernah memukul isteri-isteri baginda s.a.w. dan marah bila melihat ada suami yang memukul isteri. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,

Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang baik budi pekertinya dan lemah lembut terhadap isterinya.”(Riwayat Abu Daud)