Saturday, July 31, 2010

"KESIK"nya dia.....

“Kesik” ialah bahasa Kelantan yang saya definisikan sebagai perasaan kesunyian dalam kalbu yang teramat sangat. Ia biasanya timbul dalam sanubari ketika keseorangan di malam hari atau senja. Berbanding dengan sunyi, kesik lebih tinggi tahapnya, datang menyentuh perasaan secara sekilas/cepat dan jangkamasanya, sedetik. Namun bila perasaan kesik datang, ia bisa menitiskan air mata.....

Saya memandu berseorangan daripada Terengganu ke Kedah atas urusan kerja. Singgah sekejap di Kelantan untuk menziarah bonda. Betullah kata orang, kasih ibu sampai bila bila...walaupun kita semakin berumur dan dah bekeluarga sendiri, kasihnya tetap sama atau semakin bertambah. Bila kita balik, dihidangnya makanan penuh meja dan istimewa. Pada hari tanpa kunjungan kita, mungkin hanya nasi dan ikan tamban rebus goreng saja jadi santapan. Adakah kasih sayang dan layanan siibu kepada kita sama dengan kasih sayang dan layanan kita terhadap siibu bila umurnya semakin meningkat? Saya sampai di rumah ibu hampir senja. Suasana rumah beliau dan kejiranannya sunyi. Sukar nak gambarkan perasaan di ketika itu tetapi itulah mungkin yang didefinisikan sebagai kesik!. Kenangan zaman kecil, riuh rendah sedang bermain di laman bersama adik-beradik/sepupu/rakan, menjelma di fikiran. Tiba-tiba....di petang itu, semuanya jadi sepi, hilang! Perasaan “missing” dan kekosongan muncul....Gambar di atas, saya ambil semasa ibu sibuk menyiapkan sesuatu untuk anaknya yang datang ziarah. Ibu saya asyik mengatakan dia teringatkan menantu dan cucunya apabila melihat saya kerana biasanya mereka datang bersama-sama saya. Saya berbaring sambil melihatnya – hanya dia dan saya di dalam rumah tersebut! Di saat tiada apa yang kami bualkan, terdetik di fikiran saya, “kesiknya dia....”.

Tak dapat saya bayangkan beliau mengharungi hari hari tanpa suami dan anak-anak di sisi. Kekesikan beliau mungkin gagal saya fahami sepenuhnya kerana di ketika ini, saya masih dikelilingi isteri dan anak-anak. Yang merisaukan saya ialah fenomena ibu atau ayah tinggal berseorangan ini sudah menjadi seakan lumrah. Jika begitulah gayanya, insyaallah panjang umur, sianak yang sekarang ini sedang selesa berada dalam keramaian akan suatu masa berada dalam kekesikan, seperti yang dialami siibu sekarang. Jika kekesikan menjadi realiti di usia tua, saya berdoa saya akan setabah ibu. Setiap kita ada kekangan (limitasi) masing-masing. Orang tua sememangnya ingin tinggal di rumah mereka sendiri (walaupun berseorangan). Anak-anak pula perlu merantau untuk mencari rezeki. Inilah kehidupan.....

No comments:

Post a Comment