Friday, December 31, 2010

Hebatnya Allah SWT

Firman Allah yang bermaksud, "Dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya." (Surah al-An'am: 59)

Ertinya, Dia mengetahui gugurnya daun dari pokok termasuk jumlah, masa dan seumpamanya. Bahkan Dia juga mengetahui pergerakan makhluk lain termasuk jin dan manusia sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Allah Mengetahui pengkhianatan (keserongan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa tersembunyi di dalam hati." (Surah al-Mukmin: 19)

Sambutan tahun baru....

Jauhilah program maksiat. Saya pasti tidak sukar untuk kita membezakan sesuatu program itu suatu yang maksiat atau sebaliknya. Saban tahun, kita sedia maklum bagaimana sambutan tahun baru Masihi diraikan, terutamanya oleh muda mudi di lokasi-lokasi tertentu. Cuma kita biasa cari alasan untuk menyenangkan hati sendiri. Adakah aktiviti seharian kita sejajar dengan ucapan dan janji kita dalam solat, "Sesungguhnya solatku, amalku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah....". Nasihatilah diri, isteri, tunang, anak, abang, kakak, adik, cucu, anak saudara, sepupu dan mereka yang kita sayangi agar tidak menyertai program maksiat. Firman Allah S.W.T; “Hai anak Adam, peliharalah diri kamu serta ahlimu dari api neraka dimana bahan bakarnya ialah manusia, jin dan batu-batu….” Allah berfirman dalam surah Al-Isra’ ayat ke-32 yang bermaksud: “Janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu amat keji dan jalan yang sesat”.

Ikhlas

Orang ikhlas, sedikit kecewanya.
Orang ikhlas sentiasa bersemangat dan istiqamah dengan amalnya walaupun ketika ketiadaan orang, tidak dihargai, tidak dipuji, dicaci.
Orang ikhlas tidak bezakan amal kecil atau amal besar.
Orang ikhlas tidak buat kebajikan untuk kelompoknya saja.
Orang ikhlas akan menyembunyikan kebaikannya umpama orang menyembunyikan keburukan mereka.
Orang ikhlas akan rasa lazat/bahagia/tenang bila solat, bersedekah, tolong orang, bekerja dan berbuat amal kebajikan lain.
Orang ikhlas akan dapat ganjaran walaupun sebelum buat amal, orang buat amal tapi tidak ikhlas tidak dapat apa-apa.

Ya Allah! Jadikanlah tiada yang kami tuju dalam hati ini selain Engkau…

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Aku beritahukan bahwa ada suatu kaum dari umatku datang di hari kiamat dengan kebaikan seperti Gunung Tihamah yang putih, tetapi Allah menjadikannya seperti debu-debu yang beterbangan. Mereka adalah saudara-saudara kamu, dan kulitnya sama dengan kamu, melakukan ibadah malam seperti kamu. Tetapi mereka adalah kaum yang jika sendiri melanggar yang diharamkan Allah.” (HR Ibnu Majah)

Thursday, December 30, 2010

Kenal, sebab tu takut....Tak takut sebab tak kenal!

Kalau kita sedang memandu dan terserempak dengan polis, secara otomatik kita akan tercari-cari jika ada kesalahan lalulintas yang mungkin kita lakukan walaupun hakikatnya tiada apa-apa kesalahan yang kita lakukan. Kita akan lebih menggelabah jika ada kesalahan lalulintas yang kita buat seperti tak pakai tali pinggang keledar, melebihi had laju, cukai jalan tamat tempoh, memotong di garisan berkembar, langgar lampu isyarat dan sebagainya – kita akan membetulkan kesalahan, antaranya ada disengajakan dan ada yang tak disengajakan. Ada juga yang bila nampak je kelibat polis, kaki tanpa sedar terus tekan brek hingga tertonggeng anak bini. Malu sendiri atau disindir anak bini bila rupa-rupanya polis hanya berhenti minum atau bukan polis pun…hanya pekerja kontrak jalan pakai baju belang berfloresen macam polis. Mengapa kita memberikan reaksi sebegitu? Sebab kita kenal polis! – kita maklum tentang kuasa menyaman yang ada pada polis. Bagaimana dengan Allah? Allah jadikan semua makhluk, termasuk kita dan polis!. Tapi mengapa kita tak takut dengan Allah? Kita janji dalam solat, “Sesungguhnya, solat ku, ibadah ku, hidup ku dan mati ku hanya untuk Allah….”. Selepas solat, kita langgar hukum-hakam Allah. Syariat Allah kita letak belakang dan bukannya di depan dalam menjalani kehidupan seharian. Malang sungguh jika kita lebih kenal polis daripada Allah SWT.

Wednesday, December 29, 2010

Kena hulur, susah nak tidur...

Aisyah pada suatu ketika mendapati Rasulullah SAW sukar untuk melelapkan mata. Apabila ditanya mengapa, baginda memberitahu bahawa baginda resah memikirkan apa lagi yang ada di rumahnya untuk disedekahkan kepada orang. Sesetengah daripada kita pula terbalik - susah nak tidur kerana mencari jalan agar pitih atau harta tidak mengalir kepada orang lain. Dengar adik-beradik dalam kesempitan, terdetik, "Alamakkkkk....nanti nok mari pinjam duit atau minta tolong aku doh la!". Bila dengar anak saudara dapat banyak A dalam peperiksaan atau dapat masuk U, terdetik dalam hati, "Alamakkk....kena hulur lah pulok!".

Tuesday, December 28, 2010

Death, are we ready?

Hati....


"...Ketahuilah bahwa di dalam jasmani manusia ada segumpal darah. Jika baik segumpal darah itu, maka akan baik pula jasmaninya. Sebaliknya, jika rusak, maka akan rusak pula jasmaninya. Segumpal darah itu adalah Hati." (HR Bukhari dan Muslim).

Sentiasalah muhasabah diri...

Dalam surah Al-Hasyr, Allah berfirman yang maksudnya, “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang Telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)” (Surah Al-Hasyr: 18)

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Orang yang bijak ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…” (Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah).

Imam Hasan Al-Bashri r.a. pernah berkata: “Berbahagialah orang yang sibuk melihat keaiban diri sendiri daripada sibuk melihat keaiban orang lain”.


Berhenti mengeluh, banyakkan bersyukur.

Semasa saya ke KL atas urusan kerja, saya berkongsi bilik hotel dengan seorang rakan. Bangkit dari tidur, rakan saya memberitahu, "Demo kena bersyukur sebab demo dikurniakan Tuhan anugerah ini!". Saya kebingungan dan bertanya, "Anugerah gapo?" Jawab rakan tersebut, "Anugerah mudah lelap!. Semalam kawe timing demo letok saja kepala, tak sampai dua minit, krohhhhhh...krohhhhhh..." Pagi itu, saya baru ketahui yang rakan saya itu sukar untuk tidur malam. Katanya, kekadang berpusing kiri kanan berpuluh kali, mata lip lap lip lap, sampai berjam berbaring baru dapat tidur. Balik daripada KL, saya ke hospital menziarahi anak seorang rakan lain yang terlibat dalam kemalangan - kepala lututnya tercabut!. Saya juga menziarahi anak saudara seorang kenalan berumur 2 tahun yang terlantar di hospital kerana masalah usus. Sebelum pulang dari hospital, saya terserempak dengan seorang lagi kenalan yang datang menjaga ibunya yang mengidap penyakit kencing manis. Katanya apabila saya menanyakan keadaan ibu beliau, "dah berbulan saya ulang-alik ke sini, hari-hari! Minggu lepas dah potong jari. Hari ini doktor kata nak potong peha pula!" Kerisauan jelas terbayang di wajahnya. Dua tiga hari ini saya ditemukan dengan kenalan yang menghadapi masalah. Ia buat saya berfikir…..kita sering mengeluh walaupun hakikatnya, kita sudah cukup bernasib baik berbanding ramai yang lain.

"Ambo ikut ramai!"


Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, "Jangan sampai seseorang kamu menjadi pak turut, lalu dia berkata, "Aku bersama orang ramai. Jika mereka berbuat baik, aku pun berbuat baik, dan jika mereka berbuat jahat, aku pun berbuat jahat. Tetapi hendaklah kamu menyediakan diri kamu, jika orang ramai berbuat baik, hendaklah kamu berbuat baik, dan jika orang ramai berbuat jahat, hendaklah kamu menjauhkan diri dari kejahatan mereka itu." (Tirmizi)

Thursday, December 23, 2010

HOUSE vs HOME

HOUSE ≠ HOME : Walaupun maksudnya serupa tapi tak sama. HOUSE maksudnya rumah manakala HOME maksudnya kediaman. Ada HOUSE tak semestinya ada HOME. Ada yang memiliki rumah besar serta cantik tapi suami isteri asyik bergaduh hingga didengari oleh jiran yang hanya tinggal dalam rumah kecil dengan atapnya kerap bocor semasa... hujan. Cetus hati jiran tersebut,”Hei…kalu aku ada rumah sebegitu, tiada dah masalah rasanya.” Dalam rumah lampu dah banyak tapi tiada nur (cahaya). Makanan banyak dan enak di rumah tapi selera ada di luar rumah. Ahli rumah panas punggung dudu di rumah - anak tak lekat d rumah, keluar malam dan balik awal pagi. Suami balik, isteri tiada atau isteri balik, suami tiada. Susah nak cari ketika yang semua ahli keluarga duduk semeja makan bersama dan berbual. Kalau ada masa berbual pun, sering berlaku pertikaman lidah walaupun tentang hal yang remeh – sikap egois wujud dan sikap tolak ansur lenyap. HOUSE = HOME bila ada keberkatan.

Wednesday, December 22, 2010

Untungnya orang perempuan...

Pada suatu hari, Asma' binti Yazid bertanya kepada Rasulullah SAW, tentang kaum wanita, "......Adapun kami para wanita terkurung dan terbatas gerak langkah kami. Kami menjadi penyangga rumah tangga kaum lelaki, dan kami adalah tempat melampiaskan syahwat mereka, kamilah yang mengandung anak-anak mereka, akan tetapi kaum lelaki mendapat keutamaan melebihi kami dengan shalat jum`at, mengantar jenazah dan berjihad. Apabila mereka keluar untuk berjihad kamilah yang menjaga harta mereka, yang mendidik anak-anak mereka, maka apakah kami juga mendapat pahala sebagaimana yang mereka dapat dengan amalan mereka?

Rasulullah SAW menjawab kepada Asma', ".......Kembalilah wahai Asma` dan beritahukanlah kepada para wanita yang berada di belakangmu bahwa perlakuan baik salah seorang diantara mereka kepada suaminya, dan meminta keridhaan suaminya, mengikuti (patuh terhadap) apa yang ia disetujuinya, itu semua setimpal dengan seluruh amal yang kamu sebutkan yang dikerjakan oleh kaum lelaki”.

Sombongnya kita dengan Allah.....

Nak kereta, dapat kereta. Nak rumah, dapat rumah. Nak bini, dapat bini. Nak anak, dapat anak. Nak gaji RM5,000 sebulan, dapat gaji RM5,000 sebulan. Nak projek, dapat projek. Nak anak cerdik, dapat anak cerdik. Nak sihat, dapat sihat. Nak muka cantik, dapat muka cantik. Nak ada selera makan, dapat selera makan sampai sendawa erkkkkkk....Nak ada bisnes besar, dapat bisnes besar. Nak punyai penglihatan terang benderang, dapat penglihatan terang benderang. Orang lain ada yang telah lama ditanam 7 kaki dalam tanah, kita masih berpeluang ke hulu hilir atas dunia. Malangnya, nak dengar kuliah yang mendekatkan kita kepada Allah SWT di masjid surau yang tak sampai sejam pun, kita tak sudi!. Lalu depan masjid surau entah berapa kali dalam sehari tapi untuk singgah, tidak sekali. Allah minta kita solat hanya 5 kali sehari dengan setiap kali tak lebih 10 minit pun, kita buat tak buat. Sombongnya kita dengan Allah...

Monday, December 20, 2010

Ayam golek...

Tengok ayam golek terutamanya di bulan Ramadhan, air liur boleh tubit tanpa disedari. Kepanasan sedikit pun tidak menakutkan kita. Malah ada yang boleh kata, "Eh! tak masak lagi tu...panaskan sikit lagi! Biar garing sikit baru sedap". Kalau kita jadi ayam yang dibakar itu bagaimana agaknya - dibakar atas, bawah, kiri, kanan, belakang dan depan. Ditusuk pula dengan besi yang panas membara, kemudian dipusing-pusing!. Kalau rambut kita terbakar api pun baunya macam ayam dilayor api. Itu bayangan di dunia. Di neraka nanti tak boleh dibayangkan dahsyatnya!. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yng kasar, yang keras, yang yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”. (QS At-Tahrim : 6)




Penapis


Kita guna penapis air untuk memastikan air yang kita minum bersih. Kita guna penapis teh (sekarang orang guna uncang) kerana nak asingkan serbuk teh dan kita hanya minum air teh yang bersih daripada serbuk teh. Cakna sungguh kita kepada kebersihan, terutama kepada apa yang masuk dalam tubuh badan kita!. Bagaimana dengan harta kita? Adakah ianya bersih untuk kita dan keluarga guna serta telan, yang kemudiannya jadi darah daging. Bagaimana nak bersihkan harta kita? Jawabnya dengan mengeluarkan zakat. Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan doakanlah mereka karena sesungguhnya doamu dapat memberi ketenangan bagi mreka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (QS. At Taubah : 103)

Biasanya kita patuh undang-undang manusia tapi tak patuh undang-undang Allah SWT. Cukai kita berusaha untuk bayar - kita takutkan denda. Zakat pula lupa, buat lupa atau cari jalan untuk tak tunaikan. Kita tak takut azab Neraka Allah bagi mereka yang ingkar. Rasulullah SAW bersabda, “Setiap daging yang tumbuh dari harta yang haram, maka api neraka akan cepat membakarnya”.

Wednesday, December 15, 2010

Doa malaikat setiap pagi...

“Tiada matahari masih menyinari bumi melainkan ada dua malaikat. Masing-masing menyeru manusia dan berdoa, ‘ Wahai manusia, bergegaslah menuju Tuhanmu sedikitnya harta tapi mencukupi lebih baik daripada banyak tapi kau lupa. Sedangkan satunya berkata, ‘ Wahai Allah, berikan ganti harta kepada mereka yang bederma dan bagi si kikir segera binasakan saja hartanya.” ( HR.Abu Darda ).

Mana satu yang kita nak jadi? Adakah kita nak jadi orang yang didoakan malaikat untuk Allah tambah hartanya atau kita nak jadi orang yang didoakan malaikat untuk Allah hilangkan hartanya?.

Tuesday, December 14, 2010

Hari Asyura & Bulan Muharram

Abul-Laits Asssamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibnu Abbas r.a berkata: Nabi SAW. bersabda yang bermaksud;
Barangsiapa yang berpuasa pada hari Assyuuraa' yakni 10 Muharram, maka Allah akan memberikan kepadanya pahala 10,000 malaikat; dan barangsiapa yang puasa pada hari Assyuuraa', maka akan diberikan pahala 10,000 orang Haji dan Umrah, dan 10,000 orang mati syahid; dan siapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari Assyuuraa', maka Allah akan menaikkan dengan rambut satu darjat. Dan barangsiapa yang memberi buka puasa orang mukmin yang berpuasa pada hari Assyuuraa', maka seolah-olah memberi buka puasa semua umat Muhammad SAW. dan mengenyangkan perut mereka.

Sahabat bertanya; Ya, Rasulullah, Allah telah melebihkan hari Assyuuraa' dari lain-lain hari. Jawab Rasulullah: Benar!.
  • Allah telah menjadikan langit dan bumi pada hari Assyuuraa',
  • dan menjadikan Adam juga Hawa pada hari Assyuuraa';
  • dan menjadikan Syurga serta memasukkan Adam di syurga pada hari Assyuuraa';
  • dan Allah menyelamatkan dari api neraka pada hari Assyuuraa';
  • dan menenggelamkan Fir'aun pada hari Assyuuraa';
  • dan menyembuhkan bala Nabi Ayyub pada hari Assyuuraa'
  • dan Allah memberi taubat kepada Adam pada hari Assyuuraa';
  • dan diampunkan dosa Nabi Daud pada hari Assyuuraa';
  • dan juga kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman pada hari Assyuuraa';
  • dan akan terjadi Qiyamat pada hari Assyuuraa'
Hari 10 Muharram dinamakan juga Hari Asyura. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.Bertanya para sahabat : "Wahai Rasulullah! Apakah kelebihan 10 Muharram berbanding dengan hari-hari yang lain ?" Sabdanya :
  1. ALLAH menciptakan alam, langit, bintang dan sebagainya
  2. ALLAH menciptakan gunung-ganang pada 10 Muharram
  3. Diciptakan lautan pada 10 Muharram
  4. Diciptakan Qalam (pena untuk menulis amal manusia) pada 10 Muharram
  5. Diciptakan Arasy, Luh Mahfuz pada 10 Muharram
  6. Diciptakan Nabi Adam a.s. pada 10 Muharram
  7. Dimasukkan Nabi Adam a.s. ke dalam syurga pada 10 Muharram
  8. Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s. pada 10 Muharram
  9. Diselamatkan Nabi Ibrahim a.s. dari api Namrud pada 10 Muharram
  10. Diselamatkan anaknya Nabi Ismail a.s. dari sembelihan pada 10 Muharram
  11. Ditenggelamkan Fir'aun pada 10 Muharram
  12. Diampunkan kesilapan Nabi Daud a.s. pada 10 Muharram
  13. Dilahirkan Nabi Isa a.s. pada 10 Muharram
  14. Dikeluarkan Nabi Yunus a.s. daripada perut ikan Nun setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam pada 10 Muharram
  15. Disembuhkan penyakit Nabi Ayub a.s. pada 10 Muharram
  16. Diangkat Nabi Isa a.s. ke langit pada 10 Muharram
  17. Diterima taubat Nabi Adam a.s. pada 10 Muharram
  18. Dianugerahkan tahta kerajaan kepada Nabi Sulaiman a.s.
  19. Diciptakan Arasy pada 10 Muharram
  20. Awal-awal hujan yang turun dari langit pada 10 Muharram
  21. Awal-awal rahmat diturunkan pada 10 Muharram
  22. Diselamatkan bahtera Nuh a.s. daripada tenggelam sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan pada 10 Muharram
Peristiwa lain:
  1. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  2. Diangkat Nabi Idris a.s. ke langit pada 10 Muharram
  3. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  4. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkan oleh Allah.
  5. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
  6. Allah menjadikan 'Arasy.
  7. Allah menjadikan alam.
  8. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
(credit to http://www.scribd.com/doc/1359152/FADHILAT-BULAN-MUHARRAM)

Wednesday, December 8, 2010

Buat "ketupat ddakap"!

Ada orang panggil pulut dan ada yang panggil ketupat. Kalau balik Kelate, ketupat ddakap (manis dan ada kacang) antara kuih yang saya sekeluarga cari. Kalau dalam kuliah ilmu, ketupat sering dikaitkan dengan mengumpat. Mengumpat memang best! Orang nak tertidur akan terbeliak biji mata dan berkata, “Gapo dio?” bila dengar gossip/umpatan. Pada masa yang sama, jarang kita dengar orang tertidur masa mengumpat! Yang biasa dengar dan terjadinya, tertidur masa dengar kuliah ilmu di masjid atau surau.

Sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a.: Bertanyalah Nabi SAW kepada mereka, Tahukah kamu apakah yang disebut mengumpat?", Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih tahu.” Maka jawab Nabi SAW, “Iaitu kamu membicarakan saudaramu tentang sesuatu yang tidak disukainya". Salah seorang sahabat bertanya: “Bagaimana jika apa yang saya perkatakan itu memang ada pada diri saudara saya". Baginda menjawab: “Jika padanya terdapat apa yang kamu bicarakan tadi, maka bererti kamu telah mengumpatnya dan jika tidak seperti apa yang kamu bicarakan itu bererti kamu telah menuduh dia”. (Muslim dan Bukhari).

Sunday, December 5, 2010

Api makan kayu api...

Imam Al-Ghazali kata hasad itu haram dan maknanya ialah engkau suka hilang nikmat daripada orang yang engkau dengki atau turun bala kepada orang itu (Hidayatus Salikin 206). Rasulullah SAW bersabda bermaksud: ”Takutlah kamu semua akan sifat dengki sebab sesungguhnya dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” (Riwayat Abu Daud daripada Abi Hurairah Riadus Salihin 4:1441). Percayalah, jika ada perasaan hasad dengki dalam diri, hati kita tak tenang - dengar orang naik pangkat kita jadi serabut dalam perut, tengok orang beli perabut/kereta/rumah baru kita susah hati, dengar anak orang dapat 5A dalam UPSR kita sakit hati walaupun tiada anak kita yang menduduki peperiksaan.

Sedikit tapi banyak - Fadhilat solat SUBUH

Solat subuh hanya 2 rakaat. Walaupun bilangannya sedikit tapi fadhilatnya Masyallah! Pahalanya melebihi dunia dan isinya. Hadis riwayat Imam at-Termizi: “Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”

Sebab apa banyak? Sebab walaupun ianya 2 rakaat, hanya orang yang kuat imannya dapat melakukannya dengan sebaik mungkin. Ada orang body kkatang (bahasa orang Terengganu yang bermaksud badan kuat), boleh angkat berat beratus kilogram, tapi nak angkat selimut sehelai tak boleh. Ada orang boleh berusaha bangun pagi untuk tujuan tengok bola atau berjogging atau nak outsation atau buka kedai (berniaga) atau nak ke tempat kerja atau sebagainya, tapi tidak berusaha bangun pagi untuk solat Subuh.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi, ayat 28)

Wednesday, December 1, 2010

Kecantikan wajah turun ke hati...

Kata seorang kawan, "Bila semakin berumur, kecantikan wajah seorang perempuan turun ke hati". Wajah ni, kita soleklah macam mana pun, akan berkurang kecantikannya bila umur semakin meningkat. Kulit dari terik mecin (licin gebu) jadi kedut bberut (banyak kedutan). Jadi, bagaimana untuk seorang wanita terus menjadi cantik walaupun sudah berumur? Jawabnya, dengan memastikan kecantikan wajah turun ke hati. Hakikatnya, orang cantik nampak hodoh jika hati tak cantik. Sebaliknya, orang tak cantik pun nampak cantik jika hati cantik. Contoh mudah ialah dalam hubungan suami isteri. Masa sama-sama muda, mungkin sisuami tak kisah jika bila dia balik kerja, siisteri masih belum ada di rumah. Masa sama-sama muda, mungkin sisuami tak kisah rumah macam kapal pecah. Masa sama-sama muda, mungkin sisuami tak kisah jika "tempahan" tea O lambat sampai atau tak sampai langsung. hati makin sensitif bila umur meningkat. Masa inilah mungkin kecantikan hati dirasakan lebih penting dari kecantikan wajah!

Main wau di baroh

Minggu lepas, anak saya yang berumur 11 tahun beritahu, "Abah! Ada game minum arak dalam PS2". Saya buat sedikit "penyelidikan" dan mendapati betul yang game itu menggunakan konsep "jika nak power lebih, kena minum arak". Cuma game itu direka sebegitu rupa dan halus agar terdetik dalam hati sesetengah orang, "Ah! Bukannya betul-betul. Nama lagi game!". Bijak sungguh strategi musuh Islam untuk meracuni pemikiran anak-anak Islam agar mereka sedikit demi sedikit mengingkari Islam. Mendidik anak macam menaikkan wau - tak boleh sentiasa dilepas talinya. Kena juga ditarik bila perlu. Mendidik anak dulu-dulu macam menaikkan wau di baroh - mudah sebab ada angin saja, wau tak elok pun boleh naik dengan baik. Mendidik anak zaman lo ni macam menaikkan wau di kawasan perumahan - wau elok dengan ada angin kuat pun, tak semestinya boleh naik dengan baik. Ada banyak perkara lain seperti tiang letrik, piring Astro, dan rumah 2 atau 3 tingkat di sekeliling yang mampu menghalang wau dari naik dengan baik. Dalam kes saya tadi, saya tiada PS2, PS3 atau PSP di rumah tapi rumah kawan anak ada. Dilema sungguh - nak disekat 100% agar tak main game bersama kawan-kawan, kita tak nak juga anak-anak tidak mengenali langsung teknologi dan alat mainan zaman moden ini. Ada juga ibubapa yang "redha" anak main game demi untuk kesenangan ibubapa itu sendiri. Contohnya, "Elok juga main game. sekurang-kurangnya mereka terperap di rumah dan tidak pergi merayau tak tentu hala terutamanya musim hujan ni". Kita sendiri nak jadi juruaudit game yang digunakan...bak kata orang, "dok dang nak kejar". Bunyi muzik game tu pun kita dah pening!.

Mengapa masih tiada lagi cerdik pandai pakar IT kita orang Islam yang cipta game yang berkonsepkan Islam. "Perisai" kita semakin rapuh!