Orang kata bila tua, perangai macam budak-budak. Bezanya, budak-budak baru nak memulakan perjalanan, manakala orang tua sudah menghampiri penghujung jalan. Namun, sikap kedua-duanya lebih kurang sama - mudah merajuk, mengharapkan bantuan orang lain, tingkah lakunya tidak dapat diagak, sensitif dan sebagainya. Bulan lepas, semasa saya berada dalam sebuah bank, seorang pak cik tua terkencing hingga basah kerusi tempat beliau duduk. Semua ini menginsafkan kerana jika umur panjang, kita juga berkemungkinan akan "ke situ". Zaman Rasulullah SAW dulu, dunia diumpamakan macam orang tua yang sudah bongkok. Bagaimana keadaan "orang tua bongkok" itu lo ni agaknya?. Jika diamati, dunia dah semakin haru-biru. Dulu-dulu, akhir dan awal tahun, hanya negeri-negeri di pantai Timur sahaja banjir. Lo ni, negeri di Selatan pula banjir. Dulu-dulu, kalau bulan Mac ni, orang di Terengganu dah turun ke laut mencandat sotong. Namun, sejak minggu lepas, di Terengganu, keadaannya macam musim tengkujuh bulan November dan Disember. Kelmarin, saya tidak boleh ke bandar Dungun melalui jalan pantai kerana ombak melepasi hadangan simen dan airnya menutupi jalan......di siang hari!! Hujan turun sejak dua hari lepas tanpa henti.....hujan + angin!. Anginnya pula datang dengan "siulan" yang sesekali menggerunkan. Subhanallah! Banyak sudah peringatan Allah untuk orang yang mahu beringat. Semoga kita semua dirahmati Allah dan memperoleh kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.
No comments:
Post a Comment