Setakat kita hidup ini, mungkin tiada ujian hebat ke atas kita. Ada orang dah diuji dengan kematian anak/suami, penyakit kronik, kemalangan, kebinasaan harta benda, kegagalan, kemiskinan, empat daripada lima anak cacat…Macam ada orang kata, “Malaysia ini berkat sebab tak seperti banyak negara lain yang dah kena macam-macam- Tsunami sampai berkali-kali, gempa bumi, ribut taufan, gunung berapi, malapetaka berganda, peperangan”. Adakah kita berkat/beruntung/baik/Allah sayang, sebab tidak diuji dan yang diuji itu dilaknat/rugi/jahat/Allah benci?. Firman Allah SWT bermaksud,
“Apakah kamu mengira, kamu akan dimasukkan ke dalam syurga, selagi belum tiba kepada kamu ujian yang telah didatangkan kepada orang-orang sebelum kamu? Mereka diuji dengan kepapaan dan serangan penyakit serta digoncangkan. Sehingga berkatalah rasul dan orang yang beriman dengannya: Bilakah pertolongan Allah (hendak sampai)?…” (Al-Baqarah, ayat 214).
Selepas sekian lama berjalan di jalan mendatar, tiba-tiba kita berhadapan dengan pendakian….ujian hebat buat kita didatangkan Allah melalui ibu atau ayah yang uzur! …di masa kita sendiri berstatus ibu atau ayah!. Adakah kita sanggup, bersedia dan ikhlas - Ambil cuti tanpa gaji? Berhabis duit? Berkorban masa, keringat, rehat dan hobi? Berpisah seketika dengan isteri/suami/anak-anak? Atau kita hanya sanggup terlibat macam jiran-jiran dan kenalan – datang ziarah untuk 30 minit, kemudian balik tidur lena…hanya hulur duit sebab kita orang berduit?. Kita hanya ada seorang ibu dan seorang ayah. Justeru, kita hanya ada satu peluang dengan ibu dan satu peluang dengan ayah. Bersabarlah….sangguplah….bersedialah….ikhlas lah….Mungkin kesabaran kita atas satu-satunya ujian hebat ini yang membawa kepada reda Allah untuk kita menjejakkan kaki ke syurgaNya.
No comments:
Post a Comment