Tuesday, January 31, 2012

TUO!

Saya sudah 2 kali disuruh menjadi jurucakap majlis pertunangan anak-anak saudara. Seingat saya, dulu-dulu biasanya tugas “tok jora” (jurucakap) majlis-majlis penting dalam keluarga diserahkan kepada orang-orang yang dianggap tua dan berpengalaman dalam keluarga. Selain daripada itu, kalau saya pergi membeli di pasar malam atau gerai-gerai, penjual akan kata,

“Nok mende pok?”.

Di Terengganu ni, panggilan “pok” special…..untuk orang-orang tua!.

Semua ini menguatkan bukti-bukti sedia ada yang saya sudah termasuk dalam golongan orang tua. Dulu kita tengok orang lain tua – seluar diangkat sampai paras pinggang, rambut, misai dan janggut dah jadi macam bendera Terengganu (kombinasi putih dan hitam, seimbang atau dah lebih putih daripada hitam) dan sebagainya. Tup! Tup! Kita pula dah jadi begitu. Terasa amat cepat – masa kanak-kanak, remaja, dewasa, 40an…..aku sudah tua!!!!!

Dua tahun lepas, saya ke majlis reunionpelajar sekolah rendah (SK Hamzah Machang Kelantan). Melihat kawan-kawan yang kebanyakannya dah lebih 30 tahun tak jumpa, terdetik dalam hati,

“Emmmm….tuo doh mamat/mek ni!”.

Orang lain pun mungkin berpandangan sama terhadap saya. Rata-ratanya, muka masih boleh cam tapi “frame” dah semacam!.

Tua membawa maksud lama dan kalau dilihat dari perspektif sesebuah perjalanan, sudah nak sampai destinasi. Minggu lepas, saya ke rumah adik melihat persiapan untuk menghantar anaknya ke sekolah Menengah Sains Alam Shah (SMSAS), Kuala Lumpur. Merasakan barangan yang dibawa tak banyak, saya bertanya kepada adik,

“Hai! Kecil je beg ni. Barang-barang cukup semua ke?”.

Jawab adik saya,

“Tak apa lah. Kalu tak cukup, masa balik cuti ke Dungun ni atau keluar bandar ke KL tu, kita beli lah barang-barang yang tak cukup tu”.

Destinasi kehidupan kita yang sebenar iaitu akhirat, tidak sama dengan SMSAS, destinasi anak saudara saya pada minggu lepas. Bekalan ke akhirat mesti dipastikan cukup kerana ianya one-way journey. Tak boleh U-Turn. Bila dah sampai sana, tak boleh “keluar” untuk cari semula bekalan yang tak cukup!.

Persoalan tua yang saya utarakan di sini bertujuan menyentap diri kita yang mungkin sedang terbuai alpa, bahawa kita sedang pantas menghampiri destinasi. Kalau yang muda pun sudah semakin ramai “dipanggil”, apatah lagi kita yang tua ini. Seterusnya, ini membawa kepada persoalan – setakat mana bekalan kita? Apa tindakan kita untuk mencukupkan bekalan?.

Sunday, January 29, 2012

Nak pergi ke A, ikut jalan ke B...

Ada pelajar datang berjumpa saya dan memberitahu, "Encik, saya nak lulus subjek ini. Saya nak grad (tamat pengajian) semester ini". Tapi pelajar yang sama tidak mengambil pendekatan merealisasikan impiannya - ponteng kuliah, tak hantar tugasan, tak ambil ujian dan sebagainya. Bila ini berlaku, kita rasa geram dan marah sebab semacam kita ini dipermain-mainkan.

Coretan di atas adalah analogi hubungan kita dengan Allah swt. Setiap hari melalui bacaan Al-Fatihah (ayat 6 dan 7 bermaksud seperti di bawah),

[6] Tunjukilah kami jalan yang lurus.
[7] Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang dimurkai ke atas mereka, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

kita minta ditunjukkan jalan yang lurus. Maksud "jalan yang lurus" pun sudah jelas kepada kita.
Rasulullah saw memberitahu bahawa kita tidak akan sesat selagi kita jadikan Al-Qur'an dan As-Sunnah baginda sebagai "GPS" kehidupan. Dalam menjalani kehidupan, sentiasalah semak samada kita ikut jalan yang membawa kita ke destinasi yang ingin dituju. Kita nak Syurga Allah tapi malanglah jika kita sedang bergerak mendekati NerakaNya.

Susah untuk senang, senang untuk susah!

Semasa hidup di dunia ini kalau kita sanggup bersusah untuk agama Allah, di akhirat nanti insyaallah kita akan senang dan tenteram. Begitulah sebaliknya.

Ada orang hidup dunianya senang. Senang sebab tak payah fikir nak solat bila, bagaimana dan di mana. Tak payah tolak selimut dalam dingin pagi semasa orang lain enak tidur kemudian berjalan kaki/berbasikal/bermotosikal/berkereta ke masjid/surau untuk solat Subuh. Senang sebab tak payah berperang dengan kemalasan dan kelesuan penat bekerja untuk solat jemaah di masjid/surau dan menadah kitab di sebelah malamnya. Senang sebab tak payah tutup aurat setiap kali keluar rumah ataupun dalam rumah apabila adanya mereka yang bukan mahramnya. Senang sebab tak payah menundukkan pandangan apabila berjalan di kawasan yang “pusat-pusat….” melata macam tumbuhnya kulat selepas hujan. Senang sebab boleh kata apa yang saja yang nafsu nak kata. Senang sebab tak payah kongsi harta (melalui zakat, derma dan sebagainya) yang susah-susah dicari dengan orang lain. Senang sebab boleh kaut harta melalui rasuah apabila kita berkuasa.

Hakikatnya, orang yang ingin bersama Allah akan bertemankan kesusahan, tekanan, keperitan, cubaan, halangan dan rintangan. Umar bin Al-Khattab pernah bertanyakan Ubai bin Kaab tentang takwa. Ubai bertanya: “Pernahkah engkau berjalan di jalan yang berduri? Umar menjawab, “Bahkan!” Ubai bertanya: “Apa yang engkau lakukan apabila berjalan di jalan tersebut? Jawab Umar: “Aku berhati-hati dan berusaha (melepasi nya).” Lalu Ubai berkata: “Maka yang demikian itulah ketakwaan”.

Kesusahan di dunia yang ditanggung oleh orang yang ingin bersamaNya tidak Allah sia-siakan. Janji Allah itu benar!!. Mereka bersusah dahulu untuk kesenangan kemudian hari yang kekal abadi. Hidup kedua di akhirat never ending story!

Thursday, January 26, 2012

AL-QUR'AN

Jika kita 'lari' daripada Al-Qur'an, ia akan 'lari' daripada kita - kita dah lama khatam Al-Qur'an tapi kita dah lama juga tak belek Al-Qur'an. Nanti kita akan kembali tergagap-gagap baca Al-Qur'an.
Kita baca Al-Qur'an hanya untuk tujuan tertentu atau surah tertentu sahaja (contohnya surah Yasin) - naik rumah baru, anak nak exam, malam Jumaat dan sebagainya. Kita baca suratkhabar setiap hari, kita boleh habiskan novel-novel yang tebal, buku teks / tesis walaupun membosankan...tapi Al-Qur'an yang dapat memberikan manfaat kepada kita di dunia apatah lagi di akhirat, kita pandang sepi!
KEMBALILAH KEPADA AL-QUR'AN......

Suka tak baik, tak suka baik....

MELIHAT APA YANG BERLAKU KEPADA DIRI SERTA KELUARGA HANYA DARIPADA KACAMATA KITA SEMATA-MATA DAN TIDAK DARI KACAMATA ISLAM BUAT KITA MUDAH KECEWA.

Dalam surah Al-Baqarah, sebahagian daripada ayat 216, Allah berfirman yang bermaksud, "......dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya".

Tuesday, January 10, 2012

"Nasi Ayam"

Kita kata yang kita bertuhankan Allah tapi dalam menjalani kehidupan, banyak yang kita tidak "sandarkan" kepada Allah. Setiap apa jua yang berlaku, kita tidak "pulangkan" kepada Allah. Bila kita atau anak berjaya, kita kata sebab kita atau anak pandai/keturunan pandai (tengok kaki laaaa....)/cikgu tuisyen pandai/sekolah yang hebat. Bila kita dapat naik pangkat (atau SKT tinggi), kita kata sebab kita kerja kuat/kita rajin buat itu dan ini/pendekatan kita betul/kita work smart bukan work hard. Kalaupun kita ingat Allah, ianya setelah diingatkan. Mulut dan hati tidak secara otomatik Allah...Allah...Allah...Ironinya, dalam menjalani kehidupan, jika kita baik/sayang si A, si A akan sentiasa dalam ingatan kita dan didahulukan. Sikit sikit si A, sikit sikit si A.

Dengan bersandarkan segalanya kepada Allah, kita akan rasa lemah/hina/rendah diri, tidak megah/riak/sombong/bangga diri/kita hebat dan lebih berilmu dan orang lain lemah serta cetek ilmu, tidak berlaku zalim dan sebagainya. Dalam surah Ali Imran, ayat 191 Allah menyuruh kita mengingatiNya sentiasa, semasa berdiri atau duduk atau ketika berbaring.

Saturday, January 7, 2012

Mimpi buruk

Pernah ke tidur malam bermimpi perkara buruk. Bila terjaga, kita rasa amat bernasib baik sebab perkara buruk yang dilalui bukannya benar-benar berlaku. Ianya hanya mimpi. Bila bangun pagi, mimpi buruk kita tadi pun lenyap....kita tak perlu menghadapinya lagi...lepas seketika, kita juga mungkin telah melupakannya.

Alim ulamak kata kebanyakan manusia tidur semasa hidup di dunia. Mereka hanya terjaga bila ditanam dalam kubur.

Jika ditanam dalam kubur, kita tidak akan kembali ke dunia yang fana lagi. Jika kita hamba Allah yang kufur, ingkar dan ahli maksiat, habislah kita. Terjaganya kita dalam kubur sudah terlambat dan bukannya penamat kepada "mimpi ngeri". Malangnya kita jika kubur kita menjadi salah satu dari lubang Neraka. JUSTERU, BUATLAH PERUBAHAN KE ARAH KEBAIKAN SEMENTARA KITA MASIH BERPELUANG MELIHAT MENTARI PAGI....

Pangkat

PANGKAT YANG ALLAH BERI TIDAK AKAN LUCUT SAMPAI BILA-BILA. PANGKAT YANG MANUSIA BERI, AKAN LUCUT BILA MATI.

ORANG ALIM, DISEBUT NAMA MEREKA WALAUPUN BERTAHUN DAH MENINGGAL DUNIA. AHLI MAKSIAT, MASIH HIDUP PUN ORANG TAK SEBUT NAMA MEREKA.

Friday, January 6, 2012

MOHON UNTUK BUAT BAIK...

JIKA KITA NAK BUAT BAIK, KITA KENA MINTA DENGAN ALLAH KEMUDAHAN DAN KELAPANGAN UNTUK MELAKUKANNYA, DAN INSYAALLAH DIA AKAN KABULKAN. TINGGAL LAGI, KITA BUAT ATAU TIDAK APABILA KITA BERPELUANG.

Kita mohon untuk terjaga untuk solat tahajjud. Kita terjaga (walaupun tanpa jam loceng), tapi kita tidur kembali. Kita mohon duit banyak untuk bersedekah tapi bila dapat bonus, rezeki melimpah, kita sayang untuk hulur. Kita mohon kesihatan untuk ke masjid/surau tapi bila sihat, kita melancong sana sini tetapi masjid/surau dekat rumah tak pernah/jarang sampai.

Wednesday, January 4, 2012

Syahid..

MACAM MANA KITA NAK SAMPAI KE TAHAP SYAHID DI JALAN ALLAH JIKA NAK HULUR PITIH SEDIKIT UNTUK PENGEMBANGAN ISLAM PUN KITA BERKIRA-KIRA...

Redha manusia atau redha Allah?

MALANGLAH KITA JIKA ASYIK CARI REDHA MANUSIA DAN TAK BIMBANG TENTANG REDHA ALLAH.
  • "kalau aku pakai tudung kan, nanti rakan-rakan/rakan sepejabat/jiran kata aku buang tabiat pulok!",
  • "kalau aku cakap hal agama, nanti orang kata aku alim kucing pulok!,
  • "kalau aku tegur kan, nanti orang kata aku hipokrit pulok!"