Wednesday, September 22, 2010

PILIH JODOH - Islam kata gini, kita kata gitu...

Orang dulu dulu tanya calon menantu, "Dah khatam ke tidak Quran 30 juzuk?, solat 5 waktu tinggal ke tidak?, Boleh jadi imam solat ke tidak ni?". Zaman maju dan membangun ni, orang letak agama belakang sekali dalam urusan memilih calon menantu. Yang penting, "kerja apa?", "gaji berapa?", "pakai kereta apa?". Dulu, ibubapa cari calon, anak diam ikut patuh. Lo ni, anak bawa balik calon suami/isteri (kekadang belum apa-apa, dah bawa balik 2 atau 3 hari untuk beraya dengan keluarga di kampung), ibubapa pula diam ikut patuh.
Antara hadis berkaitan pemilihan jodoh:
  • "Seseorang wanita itu dikahwini kerana empat perkara: Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Utamakanlah yang mempunyai agama, nescaya kamu akan selamat”- (Riwayat Bukhari dan Muslim)
  • “Janganlah kamu kahwini wanita kerana kecantikan mereka, kerana kemungkinan kecantikan itu akan menghancurkan mereka sendiri. Dan janganlah kamu kahwini kerana harta mereka, kerana mungkin harta itu menyebabkan mereka derhaka. Tetapi kahwinilah mereka atas dasar agama. Sesungguhnya hamba yang berkulit hitam, tetapi beragama adalah lebih baik”-(Riwayat Ibnu Majah)

Bilal bin Rabbah...

Bilal bin Rabbah tak hebat di mata manusia - fizikal beliau hodoh, beliau hamba dan bukannya tuan, tidak berharta. Namun, beliau hebat di sisi Nabi SAW dan Allah SWT - tetap teguh keimanan walaupun di seksa (konsisten ucapkan "Allah Yang Satu! Allah Yang Satu!, walaupun diseksa dengan dibaringkan di atas panas terik padang pasir dengan batu di atas perut) beliau diangkat menjadi tukang bang Nabi SAW, laungan azan Bilal sampai ke Arasy Allah SWT, kebaikannya disebut-sebut sampai sekarang (orang yang azan di surau/masjid sampai lo ni dipanggil "tok Bilal"), Nabi SAW bermimpi mendengar hentakan kaki Bilal di Syurga (walaupun ketika itu Bilal masih hidup). Mengapa Bilal bin Rabbah hebat? Kerana keikhlasan dan keimanannya yang mantap terhadap Allah SWT - Bilal sentiasa simpati dengan nasib anak yatim, Bilal mudah menangis dalam perjuangan Islam (mendengar ayat Al-Quran, dan bukannya melihat peserta pilihan tewas/terkeluar dalam rancangan realiti TV). Bilal meninggal dunia di Syam, semasa umurnya 63 tahun (seusia dengan Nabi SAW).
Contohilah Bilal bin Rabbah.....didik anak kita untuk mencontohi Nabi SAW, para sahabat baginda, para alim ulamak. Jangan ajar anak kita mencontohi para artis dan ikon lain yang jauh dari Allah SWT.

Jangan rasa rugi infak di jalan Allah!

Firman Allah SWT bermaksud, Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha luas, Maha Mengetahui. ~ Al-Baqarah, Ayat 261

Tuesday, September 21, 2010

Azan....

AZAN - Nilai lah sendiri diri kita bila dengar azan. Ada rasa apa-apa atau biasa saja? Ada orang Islam sendiri yang menyampah bila dengar azan di subuh hari - "ahh!ganggu tidur", cetus hatinya. Tahu ko dok maksudnya? Anak-anak lelaki kita boleh azan ko dok? Apa reaksi ketika atau selepas dengar azan? Zaman Nabi SAW dulu, tiada mikrofon, speaker dan amplifier tapi berduyun ke masjid bila Bilal azan. Lo ni, azan di surau masjid disokong sistem bunyi canggih, dalam TV/radio/handphone ada azan tapi masjid surau tetap ketandusan...pengunjung!!

Kita buih!

Perhatikan buih yang datang bersama ombak menghempas pantai. Buih di lautan banyak tapi tak kuat, mudah pecah bila menghempas pantai. Hilang dalam sekelip mata! Nabi SAW sudah bercerita tentang kita, umat baginda di akhir zaman, sejak dulu lagi. Kata baginda, musuh akan mengerumuni umat Islam seperti mereka mendatangi makanan ketika mereka sangat lapar. Kata Nabi SAW lagi, ketika itu kita ramai tapi sayangnya macam buih di lautan! Kita ramai tetapi lemah, tak kuat. Mengapa kita begitu? Jawapannya pun Rasulullah SAW dah beritahu iaitu terlalu cintakan dunia dan takut mati! MUSUH JUGA TAK TAKUT SELAGI MASJID/SURAU KOSONG TETAPI PASARAYA SESAK, KONSERT/KERAMAIAN YANG MELALAIKAN SESAK, PANGGUNG WAYANG SESAK!!

Monday, September 20, 2010

UPSR. Insyaallah Berjaya!

Hari ini Selasa, 21 September 2010, peperiksaan UPSR bagi pelajar tahun 6 bermula. Saya ada 2 orang anak saudara (Amar & Amirah) yang menduduki UPSR tahun ini. Saya doakan kejayaan mereka berdua. Insyaallah berjaya! Peperiksaan apa-apa pun akan memberi tekanan kepada pelajar dan juga ibubapa. Kekadang ibubapa yang lebih tekanannya. Bila terima keputusan yang anak dapat semua A, heboh sekampung hingga orang tak tanya pun nak cerita. Bila anak tak dapat jumlah A yang diimpikan, ada ibubapa yang tak sanggup keluar rumah, malah ada yang sampai memaki hamun sianak. Ibubapa anggap kejayaan dalam peperiksaan adalah segala-galanya - kalau tak dapat semua A atau banyak A, gelap masa depan. Kalau gagal dalam UPSR/PMR/SPM, gagallah kehidupan. INI TAK BETUL! Berhati-hati! Jangan sampai kita terjerumus ke dalam kekufuran kerana fahaman ini. Tak dinafikan umat Islam yang kuat/cemerlang/berjaya lebih disukai Allah berbanding umat Islam yang lemah/mudah putus asa/gagal. Namun, perlu diingat bahawa ukuran dan nilaian kejayaan/kecemerlangan di sisi Allah SWT berbeza daripada nilaian manusia. Peperiksaan (UPSR/PMR/SPM/universiti) hanyalah 1 penilaian daripada banyak penilaian dalam kehidupan. Pelajar yang dapat semua A dalam peperiksaannya tapi buat maksiat kepada Allah (misalnya tak solat, bergaul bebas, derhaka ibubapa) tidak dikira cemerlang atau berjaya jika dibandingkan dengan pelajar yang tak dapat semua A tapi tinggi ketaqwaannya kepada Allah. Selain daripada itu, saya ada rakan yang tak berapa berjaya semasa alam persekolahannya tetapi kini menjalani kehidupan yang baik. Dalam setandang kelapa, ada yang koming. Sememangnya Allah jadikan manusia tidak sama tahap keupayaan, pemikiran, fizikal mereka. Semua ada hikmahnya - saya lihat ramai ibubapa yang ditinggalkan di kampung ditemani oleh anak mereka yang kurang berjaya dalam pelajaran. Anak yang berjaya pula tinggal jauh dan hanya balik sekali sekala. Itupun jika mereka balik. Malangnya, ada ibubapa yang hanya menganggap duit yang di bank-in setiap bulan sebagai sumbangan manakala bantuan cepat (oleh anak yang kurang berjaya yang berada bersama mereka di rumah) yang memapah mereka ke klinik itu perkara biasa.
Artikel ini bertujuan menyedarkan ibubapa yang terasa malu besar/terhina sangat/teruk menghukum anak-anak apabila mereka gagal mendapat jumlah A yang diingini dalam peperiksaan. Apa-apapun, kepada semua pelajar yang menduduki peperiksaan UPSR/PMR/SPM/PERINGKAT UNIVERSITI, didoakan semoga berjaya. Sentiasalah mendekatkan diri dengan ALLAH SWT kerana hanya Dia Yang Maha Berkuasa.

Sunday, September 19, 2010

Pakaian dalam grobok!

Mungkin kita sentiasa kemaskini email atau sms. Kemaskini dalam ertikata delete yang lama kerana mailbox penuh. Pernah dok kita kemaskini grobok (atau mmari kata orang Kelate) pakaian kita? Lepas raya ni, mungkin grobok kita dipenuhi pakaian baru. Setiap kali raya, pakaian bertambah. Saya percaya bukan sepasang tapi berpasang-pasang. Kain pelekat pun sama - satu yang kita beli sendiri, satu yang ibu bagi hadiah raya, satu yang adik-beradik bagi, satu yang kawan bagi. Hingga kekadang coraknya sama. Pun kita simpan! Raya Aidil Fitri lain, Raya Aidil Adha lain. Sahabat Nabi SAW sampai berkongsi kain dengan isteri untuk solat. Kita? Hari ni kain lain, esok kain lain. Subuh kain lain, zohor kain lain. Subhanallah! Mewahnya kita. Carilah masa untuk bersela sekejap di depan grobok pakaian, pilih pakaian, masukkan dalam beg plastik dan cari orang miskin untuk kita sedekahkan pakaian kita tu. Bila kali terakhir kita buat perkara ini? Masalahnya, kita sayang pakaian, apatah lagi bila sebut nak beri kepada orang!! Kita rela simpan hingga lusuh dalam grobok kita tu. Jarang pakai pun. Sesetengahnya dah tak pakai pun...Bila pilih baju untuk disedekahkan, jiwa rasa berbelah bahagi - rasa nak pakai lagi, baju baru lagi, rasa akan slim untuk pakai baju tu semula (walaupun hakikatnya, orang lain kurus selepas Ramadhan, kita semakin "ke hadapan"), akhirnya pilih yang dah carik rabak, macam kain buruk untuk disedekahkan. Syaitan dok jolok hati kita. Allah SWT kata sedekah yang paling kita sayang paling banyak pahalanya. Bila dah masukkan dalam plastik, tak tahu pula nak bagi kepada siapa. Kita tak tahu pun siapa orang miskin di sekeliling kita. Masyaallah! Alpanya kita. Lekanya kita. Kita tiada database orang miskin yang patut kita sentiasa ambil kisah. Allah SWT kata jangan kita tidur dalam keadaan kenyang sedangkan ada jiran yang dalam kelaparan. KITA SENTIASA MINTA SYURGA ALLAH TAPI ADAKAH KITA SENTIASA MELAKUKAN PERKARA YANG MELAYAKKAN KITA UNTUKNYA.

Saat kalut





Pernah dok berada dalam situasi "kesesakan" misalnya di stadium bola, stesen bas ketika nak balik raya, kolam renang/pantai (gambar), dalam bas (gambar) atau keretapi ketika pergi/balik ke tempat kerja, di tol lebuhraya (gambar), pusat beli belah waktu jualan murah, berebut/berpusing-pusing cari parking di hospital dan sebagainya. Kesesakan buat kita tidak selesa - letih, sakit hati, bau peluh orang, bosan menunggu, ketidakadilan mudah terjadi di saat ini. Ini keadaan di dunia. Ketika berada dalam situasi begini, pernah terfikirkah kita bagaimana agaknya "kesesakan" atau kekalutan di Padang Mahsyar nanti? Semua manusia dari zaman Nabi Adam hinggalah manusia akhir zaman, umat Nabi Muhammad SAW, akan dihimpun di Padang Mahsyar. Bayangkanlah saat itu....Manusia dihalau ke situ umpama binatang keluar dari kandangnya atau kanak-kanak baru lahir, berkaki ayam dan bertelanjang bulat. Manusia akan bergerak dalam tiga bentuk: (1) berkenderaan, (2) berjalan kaki, dan (3) berjalan dengan muka tertungging ke bawah. Cuba bangkit sekejap dan berjalan dengan muka ke bawah...boleh ke? Ya Allah azabnya!!! Kepanasan di ketika itu digambarkan matahari sejengkal di atas kepala, dan manusia tenggelam dalam air peluh yang busuk bergantung kepada tahap amalannya di dunia. Bau busuk ketiak orang semasa bersesak dalam bas atau keretapi pun kita sudah tidak tahan...Ketika tersangat dahaga, datang Malaikat Zabaniah bawa air. Mulanya, semua gembira. Malangnya air itu panas mendidih hinggakan bila didekatkan ke bibir, habis luruh daging di bibir tersebut. Sampai bila berada di Padang Mahsyar ini? Ada pendapat mengatakan selama 300 tahun mengikut tahun akhirat. Dalam kegawatan ini, baru teringat Rasulullah SAW. Masa di dunia lupa, hina, perlekeh ajaran/sunnah baginda tapi di Padang Mahsyar, tercari-cari baginda untuk mohon syafaat. Muhasabahlah diri...adakah kita layak dapat syafaat Nabi SAW di saat kalut itu nanti. Berusahalah memperbaiki diri agar kita tergolong dalam golongan al_Mugarrabun, iaitu orang yang dekat dengan Allah, patuh hukum hakam dan suruhan Allah serta tinggalkan larangan Allah. Golongan ini mendapat naungan Arasy Allah yang redup di padang mahsyar nanti.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari qiamat sehingga ia disoal empat perkara: tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan tentang masa mudanya untuk apa digunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang apa amalan yang telah dilakukan sesuai dengan apa yang telah diketahuinya?"(At-Tirmizi)

Saturday, September 18, 2010

RASUAH..."sakit"nya manusia

Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu menyuap dengan harta itu kepada para hakim, dengan maksud agar kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain itu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui ~ (Al-Baqarah, Ayat 188).

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tabrani mafhumnya, “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka”.

Friday, September 17, 2010

Anak nak exam!

Insyaallah UPSR mula Selasa ini. PMR pun dalam bulan September 2010 ini juga. Lepas solat Jumaat tadi pun, di masjid diadakan solat hajat untuk anak-anak yang akan menduduki peperiksaan pada bulan ini. Bila tiba musim peperiksaan, bukan sahaja anak, ibubapa pun bimbang dan tertekan. Islam menyarankan umatnya agar sentiasa menjalin hubungan baik dengan Allah SWT, dalam apa jua keadaan, sukar mahupun senang, tertekan mahupun tenang. Komunikasi dengan Allah SWT terbuka 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 365 hari setahun. Tak perlu bayar apa-apa pun! Namun, kena tahu lah juga adab-adabnya. Kalau kita nak minta apa-apa daripada ibubapa pun, kita guna diplomasi. Ini kan pula dengan Allah SWT, Pencipta segala-galanya. Ada ibubapa yang minta orang solat hajat untuk anak tapi mereka sendiri tak sanggup bangun tengah malam, solat hajat dan berdoa kepada Allah (Kes 2). Ada yang tak bersungguh-sungguh dengan doa mereka (kes 3). Ada yang ghairah minta agar anak dapat 10A/20A/A+++ semata-mata (Kes 1). Kepada mereka ini, ukuran kejayaan dan kesejahteraan hidup adalah jumlah A dalam peperiksaan. Mereka minta anak dapat A (pada kacamata manusia) tapi lupa minta anak dapat A (pada kacamata Allah SWT - jadi anak soleh/solehah yang menyejukkan hati ibubapa serta bawa kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat).

Thursday, September 16, 2010

Homestay closed! See U next season.

Hari ini 8 Syawal 1431H/Jumaat 17 September 2010. Saya pun baru semalam sampai ke rumah setelah seminggu beraya di kampung. Bila tengok keadaan kita - lepas satu keluarga satu keluarga meninggalkan rumah ayah bonda untuk pulang ke kediaman masing-masing, dan melihat lambaian selamat tinggal bonda, saya berseloroh dengan isteri, "homestay closed! See you next season!". Balas isteri saya, "Balik keadaan asal!". Ini hakikat kehidupan. Walaupun seronoknya berkumpul bersama keluarga - bilik-bilik rumah bonda yang sebelum ini kosong tiba-tiba penuh rumbu, tandas tiba-tiba kena beratur pulak, ditambah dengan yang bujang "camping" di ruang tamu depan TV, habis semua toto/loto/sofa/ dikeluarkan dan jadi alas tidur, minuman (terutamanya) lepas se jug se jug dibuat dan habis dalam sekelip mata, hilal tawa bersama adik beradik sampai tengah malam atau awal pagi berbual tentang kisah lama/kerja/salasilah keluarga. Sayang, ianya tak boleh diteruskan begitu selama-lamanya. Kena kembali bertugas, cari rezeki dan teruskan hidup masing-masing.

Nak seribu daya...

Ramadhan telah buktikan bahawa kita boleh buat jika mahu - solat sunat, solat fardhu berjemaah di masjid/surau/bersama keluarga, baca Al-Quran, bangkit malam solat/bermunajat kepada Allah SWT, puasa, dll. Mengapa tidak diteruskan amalan (yang telah dibuat dalam bulan Ramadhan) di bulan Syawal ini dan seterusnya di bulan-bulan yang lain. Janganlah tekan brek amalan kita macam tekan brek kecemasan kereta kita. Sebab itulah Allah SWT anugerahkan pahala besar jika kita berpuasa 6 enam hari dalam bulan Syawal selepas berpuasa sebulan di bulan Ramadhan. Cuba ambil satu amalan (misalnya baca Al-Quran 1 mukasurat 1 hari) dan amalkan sehingga sampai Ramadhan tahun depan, insyaallah. Jika berjaya lakukan ini, kita telah buktikan kepada diri yang dalam hal agama ini, kita boleh buat jika kita mahu. Selain daripada itu, kita akan rasa puas hati walaupun hanya kita dan Allah SWT saja yang tahu. Allah SWT suka amal kecil yang dilakukan secara istiqamah (berterusan) daripada amal besar tapi diamalkan secara hangat-hangat tahi ayam!

Wednesday, September 15, 2010

Sayang anakku sayang....


Dua perkara dapat kita rumuskan daripada skrip di atas - (1) sayang yang bawa padah, (2) ibubapa tidak sepakat dalam mendidik anak-anak. Semasa balik beraya di kampung baru-baru ni, saya lihat semua pokok bunga kertas di laman ibu saya telah dicantas. Bunga yang sebelum ini penuh warna-warni, hilang. Yang tinggal hanyallah batang-batang pohon dan rantingnya, macam kepala baru lepas dicukur! Saya tanya ibu, "Tak sayang ke cantas pohon-pohon bunga tu?". Jawab ibu, "Sebab sayanglah cantas ni! Kalau tak cantas, dia meliar. Lepas dicantas ni, dia akan tumbuh semula dengan lebih kemas dan cantik!".

Monday, September 6, 2010

Anak-anak: Bawa sentosa atau seksa?

Anak-anak adalah pelaburan akhirat kita. Itupun, jika mereka menjadi insan soleh atau solehah yang bertaqwa kepada Allah SWT. Ramai orang yang berbangga dengan kejayaan anak-anak mereka di dunia tetapi mampukah kejayaan mereka menjamin kesejahteraan hidup di akhirat. Anak dapat 8A/10A/20A/A++++. Adakah tutup aurat? Berakhlak mulia? A juga dalam bacaan Al-Qurannya, solatnya, menghormati ibubapanya? Adakah dia menyejuk mata kita memandang? Ingat! amalan baik atau buruk sianak di atas dunia akan memberi kesan kepada ibubapanya walaupun setelah ibubapanya meninggal dunia. Jika anak buat maksiat atas dunia, seksa ibubapa di dalam kubur. Jika anak buat amalan soleh, sejahtera ibubapa di dalam kubur. Amalan terputus daripada kita bila kita mati. Apa yang tinggal menjadi harapan kita ialah doa/amalan anak yang soleh.

Sunday, September 5, 2010

Mari jalan ke rumah orang, buatlah cara mari jalan....

Ada orang mari bertandang ke rumah kita. Tiba-tiba dia masuk dengan kasut ke dalam rumah kita. Kita kata, "Rumah saya ni tak boleh pakai kasut. Sila tanggalkan kasut ya!". Jawab orang tu, "Ikut suka aku lah!". Kemudian, dia terus ke dapur kita, buka peti ais, tegok air dan makan makanan kita tanpa minta kebenaran. Terimakasih pun tak ucap. Mengapa dia sombong sangat dengan kita walaupun kita benarkan dia masuk ke rumah kita? Mengapa dia buat harta kita macam hakmilik dia sendiri? Apa perasaan kita? Marah? Sakit hati? Terkilan? Sedih? Kita pun suruh dia keluar daripada rumah kita. Malangnya, dia buat tak dengar saja....Allah SWT benarkan kita tinggal di bumiNya. Dia suruh kita tutup aurat, menghukum dengan hukum ciptaanNya, jalani kehidupan berdasarkan kitab Al-QuranNya dan hadis Nabi SAW, solat, syukuri nikmatNya, dll. Kita tak ikut....kita kata, "Ikut pandai aku lah!". Allah SWT kata kalau kita tak nak dengar Dia, kita carilah bumi lain untuk kita tinggal!. Kita nilai sendirilah bagaimana hubungan kita dengan Allah SWT. Dia yang menciptakan kita dan segala-galanya. Dia yang telah anugerahkan kita macam-macam.

Kerana Ramadhan? Kerana Allah? Ada beza ke?

Para alim ulamak menangis bila Ramadhan dah nak habis. Kalau boleh mereka nak Ramadhan pada setiap bulan, sepanjang tahun. Mungkin iman kita tak sehebat mereka untuk secara setulus hati menginginkan perkara yang sama. Jika tidak masakan dapat kita lihat pada minggu terakhir Ramadhan ni (setepatnya, sejak 10 hari terakhir), tempat parking di Mydin megamall dan Pasar besar Giant penuh walaupun ianya seluas padang bola. Tempat parking di masjid/surau pula hampir kembali kepada keadaan asal sebelum Ramadhan. Namun, jika dilihat kepada perkara-perkara positif yang banyak berlaku dalam bulan Ramadhan, kita mungkin bersetuju dengan para alim ulamak. Kekadang, kita pun hairan dengan diri sendiri dalam bulan Ramadhan ni - kuat/semangat pulok solat Terawih 8 atau 20 rakaat walaupun sunat saja. Berjemaah di masjid/surau pulok lagi! Penghisap rokok yang sebelum ini kata tak boleh buat kerja kalu tak hisap rokok, boleh pula tak berasap selama (lebih kurang) 13 jam pada siang hari. Hebat sungguh Ramadhan! Kami pasti merinduimu. Maha Pemurah dan Maha Agung sungguh Allah SWT di atas hadiah Ramadhannya kepada kita. Walaupun, Ramadhan akan meninggalkan kita, bersama-samalah kita hayati "rohnya" di 11 bulan yang lain.

Yang dah sampai dan belum sampai...

Kelebihan yang kita ada sepatutnya digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sepatutnya kena guna motto, "jauh berjalan, luas pandangan, tingkat ketaqwaan". "Makan angin" tak salah tapi jangan sampai lupa Allah SWT atau kita pekakkan telinga kepada seruan ke rumahNya. Dalam National Geographic ada ditunjukkan bahawa orang yang daki gunung Everest mesti ingat "base camp"nya. Jika tidak, boleh sesat, tak jumpa jalan turun, dan mati beku entah di mana-mana.

Saturday, September 4, 2010

Hak seorang Islam ke atas saudara Islamnya

Ustaz Sayed Abu Bakar, Tazkirah subuh, Masjid Chabang 3, 26 Ramadhan 1431H/ 5 Sept. 2010 - Nabi SAW menyatakan bahawa ada 6 hak seorang Islam ke atas saudara Islamnya, iaitu:
  1. Bila bertemu beri salam walaupun tak kenal - kena ucap betul-betul salam takut lain pula maksudnya. Ada kaedahnya, misalnya, yang berkenderaan memberi salam kepada yang berjalan kaki, yang berjalan kaki memberi salam kepada yang tetap (duduk), yang dalam kumpulan kecil/seorang memberi salam kepada dalam kumpulan yang ramai.
  2. Hadir ke majlisnya bila dijemput - majlis walimatulurus wajib dihadiri bila dijemput kecuali ada kesukaran tertentu.
  3. Doakannya bila beliau bersin - yang bersin ucap "Alhamdulillah", yang dengar ucap "Yarhamukallah" (Allah merahmati kamu), yang bersin membalas dengan ucapan "Yaghfirullahu li walaka" (Allah mengampunkan dosaku dan dosamu) atau "Yahdikumullah wa yushlih baalakum" (Allah memberi hidayah kepada kamu dan memperbaiki keadaan kamu). rasulullah SAW menutup mulutnya dengan tangan atau bajunya serta merendahkan suaranya bila baginda bersin.
  4. Beri nasihat bila diminta
  5. Ziarahinya serta doakan beliau agar cepat sembuh bila beliau sakit - Islam menggariskan adab tertentu untuk diikuti bila menziarahi orang sakit misalnya, mendoakan sipesakit, tidak terlalu lama dan tidak membuat bising.
  6. Iringi jenazahnya ke kubur - bantu untuk percepatkan urusan pengebumiannya, dilarang makan-minum di rumah simati sebaliknya beri makan kepada keluarga simati (amalan kita sekarang memberi duit apabila hadir ziarah orang mati bertujuan meringankan bebanan yang ditanggung keluarga si mati). Bacalah apa-apa ayat Quran yang mampu dibaca dan elakkan dari berbual kosong, apatah lagi bergelak ketawa di luar rumah. Lebih malang, ramai yang hadir tapi tak ramai yang solat jenazah dengan pelbagai alasan diberikan.

Kita & Al-Quran

Bila kali terakhir baca Al-Quran? Adakah baca Al-Quran sekerap baca posting di facebook/suratkhabar/komik kegemaran? Adakah hafal ayat-ayat Al-Quran sebanyak hafal lirik/rangkap lagu-lagu? Adakah anak-anak dah khatam Al-Quran? Bila "temuduga" calon menantu, adakah tanya, "Dah khatam Al-Quran?" atau "Gaji berapa?". Adakah kita bersungguh belajar Al-Quran macam kita bersungguh belajar ijazah, Master, PhD? Adakah kita siulkan lagu kegemaran atau baca Al-Quran masa naik motosikal, pandu kenderaan, semasa bersiar-siar/beriadah? Adakah ayat-ayat surah Al-Fatihah yang kita baca sekurang-kurangnya 17 kali sehari dalam solat dan selama dah berpuluh-puluh tahun tu, kita ingat maksudnya? KITA NILAI SENDIRILAH SEAKRAB MANA KITA DENGAN AL-QURAN. Al-Quran boleh jadi lawyer kita dalam kubur tapi bagaimana jika ia tak kenal pun kita? Allah SWT Maha Pemurah dan Maha Penyayang - pahala membaca Al-Quran dikira ikut huruf dan bukannya ayat (1 huruf dapat 10 pahala). Bahkan, tengok Al-Quran pun dah dapat pahala!

Soalan & jawapan bocor!

Kuliah subuh, 25 Ramadhan 1431H (4 Sept 2010), Masjid Chabang 3, K. Trg.- Apabila seseorang itu mati dan dikebumikan, akan ditanya 5 soalan iaitu:
  1. Siapa Tuhan kamu? (jawapannya, Allah Tuhanku)
  2. Siapa nabi kamu? (jawapannya, Muhammad SAW Nabiku)
  3. Apakah agamamu? (jawapannya, Islam adalah agamaku)
  4. Apa imam (ikutan dan pedoman) kamu? (jawapannya, Al-Quran adalah imam dan ikutanku)
  5. Siapa saudara kamu? (jawapannya, muslimin dan muslimat adalah saudaraku).
Soalannya mudah. Jawapannya pun mudah. Kalau ditanya sekarang masa kita hidup, kita boleh jawap dengan pantas dan penuh kenyakinan. Namun, keupayaan menjawab kesemua soalan di atas bila ianya ditanya di dalam kubur nanti, tidak bergantung kepada kecerdikan akal - walapun ada ijazah, master atau Phd, tak semestinya boleh jawab. Kalau rasa kuat ingatan dan ingin hafal jawapan-jawapannya pun tak guna. Keupayaan menjawab bergantung kepada tahap ketaqwaan kepada Allah SWT. Kalau masa hidup tak sembah sujud kepada Allah, Nabi SAW tak dijadikan ikutan, sangsi dengan Islam, Al-Quran tak digunakan sebagai user manual kehidupan dan tak hirau perihal orang Islam yang lain, maka soalan-soalan mudah yang sudah diketahui lebih awal pun, insyaallah gagal dijawap.

Wednesday, September 1, 2010

Bila kita ada ayah & ibu (Ustaz M. Kazim Elias)

Umat Nabi SAW yang buta di akhirat...

Kuliah Subuh, 23 Ramadhan 1431H (2/9/2010), Masjid Sura Lama: Di akhirat nanti, bendera Nabi SAW akan terpacak. Umat Nabi SAW akan berduyun-duyun ke arah bendera tersebut untuk menemui dan mendapatkan syafaat baginda. Walaubagaimanapun, ada antara umat baginda yang buta (walaupun di dunia mereka celik, mata ceroh nnerang dan tak pakai sepek mato pun!) dan tak nampak bendera serta tak menjumpai Nabi SAW. "Ya Allah! Lindungilah aku daripada termasuk dalam golongan ini." Siapakah mereka umat Nabi SAW yang buta semasa di akhirat ini? Mereka yang membuat maksiat kepada Allah SAW serta mengingkari Nabi SAW. Nabi SAW bertungkus lumus perjuangkan dan kembangkan Islam, kita pula runtuhkan Islam. Nabi SAW tinggalkan Al-Quran dan hadis baginda untuk kita ikuti 100% dan jadikan cara hidup, kita pula tak yakin - gunapakai yang kita rasa sesuai dengan nafsu kita dan tinggal yang bertentangan dengan nafsu kita. Nabi SAW kata tutup aurat, kita dedah aurat! Nabi kata utamakan solat, kita pula belakangkan solat! Nabi SAW kata pewaris baginda ialah para ulamak, kita pula membenci/memperlekehkan ulamak yang ikhlas menyambung tugas Nabi SAW. Tanya diri adakah kita layak jadi umat Nabi SAW? Adakah Nabi SAW akan menerima kita sebagai umat baginda?

3 mengiringi, 1 menemani!

Dalam keghairahan menjalani kehidupan, jangan kita lupa bahawa kita ada expiry date. Masalahnya, kita tak tahu bila. Bila ianya sampai, tak boleh tangguh walau sedetik atau cepat walau sedetik. Keluarga, harta dan amalan akan mengiringi kita ke kubur. Yang kita biasanya bersungguh-sungguh jaga di dunia ialah keluarga dan harta. Ironinya, kedua-duanya balik. Yang tinggal bersama kita hanyalah amalan. Buatlah persediaan yang secukupnya untuk saat dan ketika itu....