Pernah dok berada dalam situasi "kesesakan" misalnya di stadium bola, stesen bas ketika nak balik raya, kolam renang/pantai (gambar), dalam bas (gambar) atau keretapi ketika pergi/balik ke tempat kerja, di tol lebuhraya (gambar), pusat beli belah waktu jualan murah, berebut/berpusing-pusing cari parking di hospital dan sebagainya. Kesesakan buat kita tidak selesa - letih, sakit hati, bau peluh orang, bosan menunggu, ketidakadilan mudah terjadi di saat ini. Ini keadaan di dunia. Ketika berada dalam situasi begini, pernah terfikirkah kita bagaimana agaknya "kesesakan" atau kekalutan di Padang Mahsyar nanti? Semua manusia dari zaman Nabi Adam hinggalah manusia akhir zaman, umat Nabi Muhammad SAW, akan dihimpun di Padang Mahsyar. Bayangkanlah saat itu....Manusia dihalau ke situ umpama binatang keluar dari kandangnya atau kanak-kanak baru lahir, berkaki ayam dan bertelanjang bulat. Manusia akan bergerak dalam tiga bentuk: (1) berkenderaan, (2) berjalan kaki, dan (3) berjalan dengan muka tertungging ke bawah. Cuba bangkit sekejap dan berjalan dengan muka ke bawah...boleh ke? Ya Allah azabnya!!! Kepanasan di ketika itu digambarkan matahari sejengkal di atas kepala, dan manusia tenggelam dalam air peluh yang busuk bergantung kepada tahap amalannya di dunia. Bau busuk ketiak orang semasa bersesak dalam bas atau keretapi pun kita sudah tidak tahan...Ketika tersangat dahaga, datang Malaikat Zabaniah bawa air. Mulanya, semua gembira. Malangnya air itu panas mendidih hinggakan bila didekatkan ke bibir, habis luruh daging di bibir tersebut. Sampai bila berada di Padang Mahsyar ini? Ada pendapat mengatakan selama 300 tahun mengikut tahun akhirat. Dalam kegawatan ini, baru teringat Rasulullah SAW. Masa di dunia lupa, hina, perlekeh ajaran/sunnah baginda tapi di Padang Mahsyar, tercari-cari baginda untuk mohon syafaat. Muhasabahlah diri...adakah kita layak dapat syafaat Nabi SAW di saat kalut itu nanti. Berusahalah memperbaiki diri agar kita tergolong dalam golongan al_Mugarrabun, iaitu orang yang dekat dengan Allah, patuh hukum hakam dan suruhan Allah serta tinggalkan larangan Allah. Golongan ini mendapat naungan Arasy Allah yang redup di padang mahsyar nanti.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari qiamat sehingga ia disoal empat perkara: tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan tentang masa mudanya untuk apa digunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang apa amalan yang telah dilakukan sesuai dengan apa yang telah diketahuinya?"(At-Tirmizi)
No comments:
Post a Comment