Hari ini (14 Rabi’ul Awal 1433H/ 7 Feb 2012) saya kena gout lagi. Kaki sebelah kanan bengkak cobong warna merah macam udang kena bakar. Sakit yang dicari sendiri - mungkin sebab musababnya, kelmarin “cuit” gulai daging di kenduri rumah jiran. Terliur juga sebab saya sama-sama terlibat gotong royong potong daging seekor kerbau dan seekor lembu. Selepas jumpa doctor, telefon isteri minta datang ambil. Kata isteri, “nak sampai doh ni!”. Lepas 5 minit menunggu di luar klinik, nampak kelibat kereta yang dipandu isteri menghala ke arah klinik. Saya pun berjalan “heret kaki” menghampiri jalan, supaya isteri tak payah cari parking, hanya berhentikan kereta di gigi jalan, saya terus naik, balik telan ubat dan tidur sebab dapat MC. Tiba-tiba……kereta dipandu isteri decung (meluncur laju) melintasi depan klinik tanpa berhenti. Saya lihat isteri macam robot pandu kereta sambil pandang ke depan…..terdetik dalam hati saya ketika itu,
“Eh! Bakpo pulok mek ni dok berhenti. Toleh kepada aku pun tidak. Takkan dia tak tahu klinik ni. Dah bertahun ulang-alik ke klinik ni!!.
Perasaan ketika itu tak rasa nak marah tapi lucu nampak cara isteri pandu kereta….laju macam klinik ni terletak lagi 1 kilometer di depan!. Telefon dua tiga kali, tak angkat. Selepas seketika, ternampak kereta isteri sedang keluar dari jalan bersebelahan klinik. Dia senyum kememek (bahasa Terengganu yang saya tak tahu nak terjemahkan). Bila saya buka pintu dan tanya mengapa tak berhenti tadi, dia jawab,
“Dok mmikir banyak benda sampai dok ingat klinik kat mana!”.
Saya jawab, “Emmmm…tua doh kita ni…saya sakit gout! Awak pulok dok ingat!.”
Rasa berduar (marah) dan nak belebel (berleter) ada juga tapi ditimbus oleh rasa lucu. Alhamdulillah!. Kadang-kadang perkara remeh temeh buat kita cepat marah dan melenting. Kita mesti sentiasa berdoa agar diberi kekuatan oleh Allah swt untuk mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w. Sehari dua ni, sempena sambutan Maulidul Rasul, banyak diperkatakan tentang akhlak Rasulullah s.a.w yang mulia. Rasulullah s.a.w berjenaka, menjahit sendiri pakaiannya, membantu urusan isteri di dapur, tidak memarahi isterinya bila tiada makanan untuk dimakan di rumah sebaliknya membuat keputusan untuk berpuasa, tidak pernah memukul isteri-isteri baginda s.a.w. dan marah bila melihat ada suami yang memukul isteri. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang baik budi pekertinya dan lemah lembut terhadap isterinya.”(Riwayat Abu Daud)
No comments:
Post a Comment