Friday, December 31, 2010

Hebatnya Allah SWT

Firman Allah yang bermaksud, "Dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya." (Surah al-An'am: 59)

Ertinya, Dia mengetahui gugurnya daun dari pokok termasuk jumlah, masa dan seumpamanya. Bahkan Dia juga mengetahui pergerakan makhluk lain termasuk jin dan manusia sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Allah Mengetahui pengkhianatan (keserongan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa tersembunyi di dalam hati." (Surah al-Mukmin: 19)

Sambutan tahun baru....

Jauhilah program maksiat. Saya pasti tidak sukar untuk kita membezakan sesuatu program itu suatu yang maksiat atau sebaliknya. Saban tahun, kita sedia maklum bagaimana sambutan tahun baru Masihi diraikan, terutamanya oleh muda mudi di lokasi-lokasi tertentu. Cuma kita biasa cari alasan untuk menyenangkan hati sendiri. Adakah aktiviti seharian kita sejajar dengan ucapan dan janji kita dalam solat, "Sesungguhnya solatku, amalku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah....". Nasihatilah diri, isteri, tunang, anak, abang, kakak, adik, cucu, anak saudara, sepupu dan mereka yang kita sayangi agar tidak menyertai program maksiat. Firman Allah S.W.T; “Hai anak Adam, peliharalah diri kamu serta ahlimu dari api neraka dimana bahan bakarnya ialah manusia, jin dan batu-batu….” Allah berfirman dalam surah Al-Isra’ ayat ke-32 yang bermaksud: “Janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu amat keji dan jalan yang sesat”.

Ikhlas

Orang ikhlas, sedikit kecewanya.
Orang ikhlas sentiasa bersemangat dan istiqamah dengan amalnya walaupun ketika ketiadaan orang, tidak dihargai, tidak dipuji, dicaci.
Orang ikhlas tidak bezakan amal kecil atau amal besar.
Orang ikhlas tidak buat kebajikan untuk kelompoknya saja.
Orang ikhlas akan menyembunyikan kebaikannya umpama orang menyembunyikan keburukan mereka.
Orang ikhlas akan rasa lazat/bahagia/tenang bila solat, bersedekah, tolong orang, bekerja dan berbuat amal kebajikan lain.
Orang ikhlas akan dapat ganjaran walaupun sebelum buat amal, orang buat amal tapi tidak ikhlas tidak dapat apa-apa.

Ya Allah! Jadikanlah tiada yang kami tuju dalam hati ini selain Engkau…

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Aku beritahukan bahwa ada suatu kaum dari umatku datang di hari kiamat dengan kebaikan seperti Gunung Tihamah yang putih, tetapi Allah menjadikannya seperti debu-debu yang beterbangan. Mereka adalah saudara-saudara kamu, dan kulitnya sama dengan kamu, melakukan ibadah malam seperti kamu. Tetapi mereka adalah kaum yang jika sendiri melanggar yang diharamkan Allah.” (HR Ibnu Majah)

Thursday, December 30, 2010

Kenal, sebab tu takut....Tak takut sebab tak kenal!

Kalau kita sedang memandu dan terserempak dengan polis, secara otomatik kita akan tercari-cari jika ada kesalahan lalulintas yang mungkin kita lakukan walaupun hakikatnya tiada apa-apa kesalahan yang kita lakukan. Kita akan lebih menggelabah jika ada kesalahan lalulintas yang kita buat seperti tak pakai tali pinggang keledar, melebihi had laju, cukai jalan tamat tempoh, memotong di garisan berkembar, langgar lampu isyarat dan sebagainya – kita akan membetulkan kesalahan, antaranya ada disengajakan dan ada yang tak disengajakan. Ada juga yang bila nampak je kelibat polis, kaki tanpa sedar terus tekan brek hingga tertonggeng anak bini. Malu sendiri atau disindir anak bini bila rupa-rupanya polis hanya berhenti minum atau bukan polis pun…hanya pekerja kontrak jalan pakai baju belang berfloresen macam polis. Mengapa kita memberikan reaksi sebegitu? Sebab kita kenal polis! – kita maklum tentang kuasa menyaman yang ada pada polis. Bagaimana dengan Allah? Allah jadikan semua makhluk, termasuk kita dan polis!. Tapi mengapa kita tak takut dengan Allah? Kita janji dalam solat, “Sesungguhnya, solat ku, ibadah ku, hidup ku dan mati ku hanya untuk Allah….”. Selepas solat, kita langgar hukum-hakam Allah. Syariat Allah kita letak belakang dan bukannya di depan dalam menjalani kehidupan seharian. Malang sungguh jika kita lebih kenal polis daripada Allah SWT.

Wednesday, December 29, 2010

Kena hulur, susah nak tidur...

Aisyah pada suatu ketika mendapati Rasulullah SAW sukar untuk melelapkan mata. Apabila ditanya mengapa, baginda memberitahu bahawa baginda resah memikirkan apa lagi yang ada di rumahnya untuk disedekahkan kepada orang. Sesetengah daripada kita pula terbalik - susah nak tidur kerana mencari jalan agar pitih atau harta tidak mengalir kepada orang lain. Dengar adik-beradik dalam kesempitan, terdetik, "Alamakkkkk....nanti nok mari pinjam duit atau minta tolong aku doh la!". Bila dengar anak saudara dapat banyak A dalam peperiksaan atau dapat masuk U, terdetik dalam hati, "Alamakkk....kena hulur lah pulok!".

Tuesday, December 28, 2010

Death, are we ready?

Hati....


"...Ketahuilah bahwa di dalam jasmani manusia ada segumpal darah. Jika baik segumpal darah itu, maka akan baik pula jasmaninya. Sebaliknya, jika rusak, maka akan rusak pula jasmaninya. Segumpal darah itu adalah Hati." (HR Bukhari dan Muslim).

Sentiasalah muhasabah diri...

Dalam surah Al-Hasyr, Allah berfirman yang maksudnya, “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang Telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)” (Surah Al-Hasyr: 18)

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Orang yang bijak ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…” (Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah).

Imam Hasan Al-Bashri r.a. pernah berkata: “Berbahagialah orang yang sibuk melihat keaiban diri sendiri daripada sibuk melihat keaiban orang lain”.


Berhenti mengeluh, banyakkan bersyukur.

Semasa saya ke KL atas urusan kerja, saya berkongsi bilik hotel dengan seorang rakan. Bangkit dari tidur, rakan saya memberitahu, "Demo kena bersyukur sebab demo dikurniakan Tuhan anugerah ini!". Saya kebingungan dan bertanya, "Anugerah gapo?" Jawab rakan tersebut, "Anugerah mudah lelap!. Semalam kawe timing demo letok saja kepala, tak sampai dua minit, krohhhhhh...krohhhhhh..." Pagi itu, saya baru ketahui yang rakan saya itu sukar untuk tidur malam. Katanya, kekadang berpusing kiri kanan berpuluh kali, mata lip lap lip lap, sampai berjam berbaring baru dapat tidur. Balik daripada KL, saya ke hospital menziarahi anak seorang rakan lain yang terlibat dalam kemalangan - kepala lututnya tercabut!. Saya juga menziarahi anak saudara seorang kenalan berumur 2 tahun yang terlantar di hospital kerana masalah usus. Sebelum pulang dari hospital, saya terserempak dengan seorang lagi kenalan yang datang menjaga ibunya yang mengidap penyakit kencing manis. Katanya apabila saya menanyakan keadaan ibu beliau, "dah berbulan saya ulang-alik ke sini, hari-hari! Minggu lepas dah potong jari. Hari ini doktor kata nak potong peha pula!" Kerisauan jelas terbayang di wajahnya. Dua tiga hari ini saya ditemukan dengan kenalan yang menghadapi masalah. Ia buat saya berfikir…..kita sering mengeluh walaupun hakikatnya, kita sudah cukup bernasib baik berbanding ramai yang lain.

"Ambo ikut ramai!"


Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, "Jangan sampai seseorang kamu menjadi pak turut, lalu dia berkata, "Aku bersama orang ramai. Jika mereka berbuat baik, aku pun berbuat baik, dan jika mereka berbuat jahat, aku pun berbuat jahat. Tetapi hendaklah kamu menyediakan diri kamu, jika orang ramai berbuat baik, hendaklah kamu berbuat baik, dan jika orang ramai berbuat jahat, hendaklah kamu menjauhkan diri dari kejahatan mereka itu." (Tirmizi)

Thursday, December 23, 2010

HOUSE vs HOME

HOUSE ≠ HOME : Walaupun maksudnya serupa tapi tak sama. HOUSE maksudnya rumah manakala HOME maksudnya kediaman. Ada HOUSE tak semestinya ada HOME. Ada yang memiliki rumah besar serta cantik tapi suami isteri asyik bergaduh hingga didengari oleh jiran yang hanya tinggal dalam rumah kecil dengan atapnya kerap bocor semasa... hujan. Cetus hati jiran tersebut,”Hei…kalu aku ada rumah sebegitu, tiada dah masalah rasanya.” Dalam rumah lampu dah banyak tapi tiada nur (cahaya). Makanan banyak dan enak di rumah tapi selera ada di luar rumah. Ahli rumah panas punggung dudu di rumah - anak tak lekat d rumah, keluar malam dan balik awal pagi. Suami balik, isteri tiada atau isteri balik, suami tiada. Susah nak cari ketika yang semua ahli keluarga duduk semeja makan bersama dan berbual. Kalau ada masa berbual pun, sering berlaku pertikaman lidah walaupun tentang hal yang remeh – sikap egois wujud dan sikap tolak ansur lenyap. HOUSE = HOME bila ada keberkatan.

Wednesday, December 22, 2010

Untungnya orang perempuan...

Pada suatu hari, Asma' binti Yazid bertanya kepada Rasulullah SAW, tentang kaum wanita, "......Adapun kami para wanita terkurung dan terbatas gerak langkah kami. Kami menjadi penyangga rumah tangga kaum lelaki, dan kami adalah tempat melampiaskan syahwat mereka, kamilah yang mengandung anak-anak mereka, akan tetapi kaum lelaki mendapat keutamaan melebihi kami dengan shalat jum`at, mengantar jenazah dan berjihad. Apabila mereka keluar untuk berjihad kamilah yang menjaga harta mereka, yang mendidik anak-anak mereka, maka apakah kami juga mendapat pahala sebagaimana yang mereka dapat dengan amalan mereka?

Rasulullah SAW menjawab kepada Asma', ".......Kembalilah wahai Asma` dan beritahukanlah kepada para wanita yang berada di belakangmu bahwa perlakuan baik salah seorang diantara mereka kepada suaminya, dan meminta keridhaan suaminya, mengikuti (patuh terhadap) apa yang ia disetujuinya, itu semua setimpal dengan seluruh amal yang kamu sebutkan yang dikerjakan oleh kaum lelaki”.

Sombongnya kita dengan Allah.....

Nak kereta, dapat kereta. Nak rumah, dapat rumah. Nak bini, dapat bini. Nak anak, dapat anak. Nak gaji RM5,000 sebulan, dapat gaji RM5,000 sebulan. Nak projek, dapat projek. Nak anak cerdik, dapat anak cerdik. Nak sihat, dapat sihat. Nak muka cantik, dapat muka cantik. Nak ada selera makan, dapat selera makan sampai sendawa erkkkkkk....Nak ada bisnes besar, dapat bisnes besar. Nak punyai penglihatan terang benderang, dapat penglihatan terang benderang. Orang lain ada yang telah lama ditanam 7 kaki dalam tanah, kita masih berpeluang ke hulu hilir atas dunia. Malangnya, nak dengar kuliah yang mendekatkan kita kepada Allah SWT di masjid surau yang tak sampai sejam pun, kita tak sudi!. Lalu depan masjid surau entah berapa kali dalam sehari tapi untuk singgah, tidak sekali. Allah minta kita solat hanya 5 kali sehari dengan setiap kali tak lebih 10 minit pun, kita buat tak buat. Sombongnya kita dengan Allah...

Monday, December 20, 2010

Ayam golek...

Tengok ayam golek terutamanya di bulan Ramadhan, air liur boleh tubit tanpa disedari. Kepanasan sedikit pun tidak menakutkan kita. Malah ada yang boleh kata, "Eh! tak masak lagi tu...panaskan sikit lagi! Biar garing sikit baru sedap". Kalau kita jadi ayam yang dibakar itu bagaimana agaknya - dibakar atas, bawah, kiri, kanan, belakang dan depan. Ditusuk pula dengan besi yang panas membara, kemudian dipusing-pusing!. Kalau rambut kita terbakar api pun baunya macam ayam dilayor api. Itu bayangan di dunia. Di neraka nanti tak boleh dibayangkan dahsyatnya!. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yng kasar, yang keras, yang yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”. (QS At-Tahrim : 6)




Penapis


Kita guna penapis air untuk memastikan air yang kita minum bersih. Kita guna penapis teh (sekarang orang guna uncang) kerana nak asingkan serbuk teh dan kita hanya minum air teh yang bersih daripada serbuk teh. Cakna sungguh kita kepada kebersihan, terutama kepada apa yang masuk dalam tubuh badan kita!. Bagaimana dengan harta kita? Adakah ianya bersih untuk kita dan keluarga guna serta telan, yang kemudiannya jadi darah daging. Bagaimana nak bersihkan harta kita? Jawabnya dengan mengeluarkan zakat. Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan doakanlah mereka karena sesungguhnya doamu dapat memberi ketenangan bagi mreka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (QS. At Taubah : 103)

Biasanya kita patuh undang-undang manusia tapi tak patuh undang-undang Allah SWT. Cukai kita berusaha untuk bayar - kita takutkan denda. Zakat pula lupa, buat lupa atau cari jalan untuk tak tunaikan. Kita tak takut azab Neraka Allah bagi mereka yang ingkar. Rasulullah SAW bersabda, “Setiap daging yang tumbuh dari harta yang haram, maka api neraka akan cepat membakarnya”.

Wednesday, December 15, 2010

Doa malaikat setiap pagi...

“Tiada matahari masih menyinari bumi melainkan ada dua malaikat. Masing-masing menyeru manusia dan berdoa, ‘ Wahai manusia, bergegaslah menuju Tuhanmu sedikitnya harta tapi mencukupi lebih baik daripada banyak tapi kau lupa. Sedangkan satunya berkata, ‘ Wahai Allah, berikan ganti harta kepada mereka yang bederma dan bagi si kikir segera binasakan saja hartanya.” ( HR.Abu Darda ).

Mana satu yang kita nak jadi? Adakah kita nak jadi orang yang didoakan malaikat untuk Allah tambah hartanya atau kita nak jadi orang yang didoakan malaikat untuk Allah hilangkan hartanya?.

Tuesday, December 14, 2010

Hari Asyura & Bulan Muharram

Abul-Laits Asssamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibnu Abbas r.a berkata: Nabi SAW. bersabda yang bermaksud;
Barangsiapa yang berpuasa pada hari Assyuuraa' yakni 10 Muharram, maka Allah akan memberikan kepadanya pahala 10,000 malaikat; dan barangsiapa yang puasa pada hari Assyuuraa', maka akan diberikan pahala 10,000 orang Haji dan Umrah, dan 10,000 orang mati syahid; dan siapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari Assyuuraa', maka Allah akan menaikkan dengan rambut satu darjat. Dan barangsiapa yang memberi buka puasa orang mukmin yang berpuasa pada hari Assyuuraa', maka seolah-olah memberi buka puasa semua umat Muhammad SAW. dan mengenyangkan perut mereka.

Sahabat bertanya; Ya, Rasulullah, Allah telah melebihkan hari Assyuuraa' dari lain-lain hari. Jawab Rasulullah: Benar!.
  • Allah telah menjadikan langit dan bumi pada hari Assyuuraa',
  • dan menjadikan Adam juga Hawa pada hari Assyuuraa';
  • dan menjadikan Syurga serta memasukkan Adam di syurga pada hari Assyuuraa';
  • dan Allah menyelamatkan dari api neraka pada hari Assyuuraa';
  • dan menenggelamkan Fir'aun pada hari Assyuuraa';
  • dan menyembuhkan bala Nabi Ayyub pada hari Assyuuraa'
  • dan Allah memberi taubat kepada Adam pada hari Assyuuraa';
  • dan diampunkan dosa Nabi Daud pada hari Assyuuraa';
  • dan juga kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman pada hari Assyuuraa';
  • dan akan terjadi Qiyamat pada hari Assyuuraa'
Hari 10 Muharram dinamakan juga Hari Asyura. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.Bertanya para sahabat : "Wahai Rasulullah! Apakah kelebihan 10 Muharram berbanding dengan hari-hari yang lain ?" Sabdanya :
  1. ALLAH menciptakan alam, langit, bintang dan sebagainya
  2. ALLAH menciptakan gunung-ganang pada 10 Muharram
  3. Diciptakan lautan pada 10 Muharram
  4. Diciptakan Qalam (pena untuk menulis amal manusia) pada 10 Muharram
  5. Diciptakan Arasy, Luh Mahfuz pada 10 Muharram
  6. Diciptakan Nabi Adam a.s. pada 10 Muharram
  7. Dimasukkan Nabi Adam a.s. ke dalam syurga pada 10 Muharram
  8. Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s. pada 10 Muharram
  9. Diselamatkan Nabi Ibrahim a.s. dari api Namrud pada 10 Muharram
  10. Diselamatkan anaknya Nabi Ismail a.s. dari sembelihan pada 10 Muharram
  11. Ditenggelamkan Fir'aun pada 10 Muharram
  12. Diampunkan kesilapan Nabi Daud a.s. pada 10 Muharram
  13. Dilahirkan Nabi Isa a.s. pada 10 Muharram
  14. Dikeluarkan Nabi Yunus a.s. daripada perut ikan Nun setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam pada 10 Muharram
  15. Disembuhkan penyakit Nabi Ayub a.s. pada 10 Muharram
  16. Diangkat Nabi Isa a.s. ke langit pada 10 Muharram
  17. Diterima taubat Nabi Adam a.s. pada 10 Muharram
  18. Dianugerahkan tahta kerajaan kepada Nabi Sulaiman a.s.
  19. Diciptakan Arasy pada 10 Muharram
  20. Awal-awal hujan yang turun dari langit pada 10 Muharram
  21. Awal-awal rahmat diturunkan pada 10 Muharram
  22. Diselamatkan bahtera Nuh a.s. daripada tenggelam sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan pada 10 Muharram
Peristiwa lain:
  1. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  2. Diangkat Nabi Idris a.s. ke langit pada 10 Muharram
  3. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  4. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkan oleh Allah.
  5. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
  6. Allah menjadikan 'Arasy.
  7. Allah menjadikan alam.
  8. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
(credit to http://www.scribd.com/doc/1359152/FADHILAT-BULAN-MUHARRAM)

Wednesday, December 8, 2010

Buat "ketupat ddakap"!

Ada orang panggil pulut dan ada yang panggil ketupat. Kalau balik Kelate, ketupat ddakap (manis dan ada kacang) antara kuih yang saya sekeluarga cari. Kalau dalam kuliah ilmu, ketupat sering dikaitkan dengan mengumpat. Mengumpat memang best! Orang nak tertidur akan terbeliak biji mata dan berkata, “Gapo dio?” bila dengar gossip/umpatan. Pada masa yang sama, jarang kita dengar orang tertidur masa mengumpat! Yang biasa dengar dan terjadinya, tertidur masa dengar kuliah ilmu di masjid atau surau.

Sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a.: Bertanyalah Nabi SAW kepada mereka, Tahukah kamu apakah yang disebut mengumpat?", Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih tahu.” Maka jawab Nabi SAW, “Iaitu kamu membicarakan saudaramu tentang sesuatu yang tidak disukainya". Salah seorang sahabat bertanya: “Bagaimana jika apa yang saya perkatakan itu memang ada pada diri saudara saya". Baginda menjawab: “Jika padanya terdapat apa yang kamu bicarakan tadi, maka bererti kamu telah mengumpatnya dan jika tidak seperti apa yang kamu bicarakan itu bererti kamu telah menuduh dia”. (Muslim dan Bukhari).

Sunday, December 5, 2010

Api makan kayu api...

Imam Al-Ghazali kata hasad itu haram dan maknanya ialah engkau suka hilang nikmat daripada orang yang engkau dengki atau turun bala kepada orang itu (Hidayatus Salikin 206). Rasulullah SAW bersabda bermaksud: ”Takutlah kamu semua akan sifat dengki sebab sesungguhnya dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” (Riwayat Abu Daud daripada Abi Hurairah Riadus Salihin 4:1441). Percayalah, jika ada perasaan hasad dengki dalam diri, hati kita tak tenang - dengar orang naik pangkat kita jadi serabut dalam perut, tengok orang beli perabut/kereta/rumah baru kita susah hati, dengar anak orang dapat 5A dalam UPSR kita sakit hati walaupun tiada anak kita yang menduduki peperiksaan.

Sedikit tapi banyak - Fadhilat solat SUBUH

Solat subuh hanya 2 rakaat. Walaupun bilangannya sedikit tapi fadhilatnya Masyallah! Pahalanya melebihi dunia dan isinya. Hadis riwayat Imam at-Termizi: “Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”

Sebab apa banyak? Sebab walaupun ianya 2 rakaat, hanya orang yang kuat imannya dapat melakukannya dengan sebaik mungkin. Ada orang body kkatang (bahasa orang Terengganu yang bermaksud badan kuat), boleh angkat berat beratus kilogram, tapi nak angkat selimut sehelai tak boleh. Ada orang boleh berusaha bangun pagi untuk tujuan tengok bola atau berjogging atau nak outsation atau buka kedai (berniaga) atau nak ke tempat kerja atau sebagainya, tapi tidak berusaha bangun pagi untuk solat Subuh.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi, ayat 28)

Wednesday, December 1, 2010

Kecantikan wajah turun ke hati...

Kata seorang kawan, "Bila semakin berumur, kecantikan wajah seorang perempuan turun ke hati". Wajah ni, kita soleklah macam mana pun, akan berkurang kecantikannya bila umur semakin meningkat. Kulit dari terik mecin (licin gebu) jadi kedut bberut (banyak kedutan). Jadi, bagaimana untuk seorang wanita terus menjadi cantik walaupun sudah berumur? Jawabnya, dengan memastikan kecantikan wajah turun ke hati. Hakikatnya, orang cantik nampak hodoh jika hati tak cantik. Sebaliknya, orang tak cantik pun nampak cantik jika hati cantik. Contoh mudah ialah dalam hubungan suami isteri. Masa sama-sama muda, mungkin sisuami tak kisah jika bila dia balik kerja, siisteri masih belum ada di rumah. Masa sama-sama muda, mungkin sisuami tak kisah rumah macam kapal pecah. Masa sama-sama muda, mungkin sisuami tak kisah jika "tempahan" tea O lambat sampai atau tak sampai langsung. hati makin sensitif bila umur meningkat. Masa inilah mungkin kecantikan hati dirasakan lebih penting dari kecantikan wajah!

Main wau di baroh

Minggu lepas, anak saya yang berumur 11 tahun beritahu, "Abah! Ada game minum arak dalam PS2". Saya buat sedikit "penyelidikan" dan mendapati betul yang game itu menggunakan konsep "jika nak power lebih, kena minum arak". Cuma game itu direka sebegitu rupa dan halus agar terdetik dalam hati sesetengah orang, "Ah! Bukannya betul-betul. Nama lagi game!". Bijak sungguh strategi musuh Islam untuk meracuni pemikiran anak-anak Islam agar mereka sedikit demi sedikit mengingkari Islam. Mendidik anak macam menaikkan wau - tak boleh sentiasa dilepas talinya. Kena juga ditarik bila perlu. Mendidik anak dulu-dulu macam menaikkan wau di baroh - mudah sebab ada angin saja, wau tak elok pun boleh naik dengan baik. Mendidik anak zaman lo ni macam menaikkan wau di kawasan perumahan - wau elok dengan ada angin kuat pun, tak semestinya boleh naik dengan baik. Ada banyak perkara lain seperti tiang letrik, piring Astro, dan rumah 2 atau 3 tingkat di sekeliling yang mampu menghalang wau dari naik dengan baik. Dalam kes saya tadi, saya tiada PS2, PS3 atau PSP di rumah tapi rumah kawan anak ada. Dilema sungguh - nak disekat 100% agar tak main game bersama kawan-kawan, kita tak nak juga anak-anak tidak mengenali langsung teknologi dan alat mainan zaman moden ini. Ada juga ibubapa yang "redha" anak main game demi untuk kesenangan ibubapa itu sendiri. Contohnya, "Elok juga main game. sekurang-kurangnya mereka terperap di rumah dan tidak pergi merayau tak tentu hala terutamanya musim hujan ni". Kita sendiri nak jadi juruaudit game yang digunakan...bak kata orang, "dok dang nak kejar". Bunyi muzik game tu pun kita dah pening!.

Mengapa masih tiada lagi cerdik pandai pakar IT kita orang Islam yang cipta game yang berkonsepkan Islam. "Perisai" kita semakin rapuh!

Tuesday, November 30, 2010

Bila waktu telah berhenti

Bolehkah aku jadi VIP....

Melihatkan layanan yang diterima VIP di dunia ini, telan air liur juga nak jadi VIP. Namun, apakan daya , tak mampu. Layanan untuk VIP hebat - kalau gi majlis, VIP ada meja khas, orang buka pintu kereta untuk VIP, ada polis iring di jalanraya, lampu isyarat hanya warna hijau untuk VIP, VIP tak payah beratur, sentiasa "laluan clear" untuk VIP, VIP boleh bagi "syafaat" anak masuk asrama atau permohonan kerja atau tukar tempat kerja, VIP tak payah menunggu tetapi sentiasa ditunggu.....

Tapi tak usah kecil hatilah tak jadi VIP di dunia sebab keistimewaannya ada titik noktah. Lagipun, tak jadi VIP di dunia tak semestinya hidup menderita. VIP di Padang Mahsyar (akhirat ) yang sepatutnya jadi impian. Ada7 golongan VIP di Padang Mahsyar (rujuk hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra):

  1. Pemimpin yand adil
  2. Pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT
  3. Seseorang yang hatinya terpaut pada masjid
  4. Dua lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT
  5. Lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah
  6. Seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya
  7. Seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.

Monday, November 29, 2010

Khusyuk dalam solat

Menurut Imam al-Ghazali, untuk mendapat khusyuk di dalam solat, ada enam perkara yang perlu kita lakukan semasa mengerjakan solat;

Sunday, November 28, 2010

Jangan sombong takabbur!

Nikmat Allah

Lelaki oh lelaki!

Ayahnda saya sudah meninggal. Ayahnda mertua saya juga sudah meninggal. Bulan lepas, saya mendapat tahu yang sahabat sekolah rendah saya telah pulang ke rahmatullah. Beliau juga seorang lelaki. Minggu lepas, semasa pulang ke kampung, ibu saya memberitahu yang dalam kampung saya itu empat orang baru meninggal dan tiga daripada mereka, bergelar suami. Apa yang saya nak kongsi di sini ialah kelihatannya orang lelaki dijemput “balik’ dulu oleh Allah SWT. Mungkinkah orang lelaki dimatikan dulu disebabkan oleh tanggungjawab yang dipikul orang lelaki amat berat berbanding orang perempuan?. Bila berat tanggungjawabnya, kemungkinan banyaklah juga dosa dibuat. Malangnya, ramai orang lelaki (malah, yang telah bergelar suami) tidak tahu atau sengaja buat tak tahu perihal tanggungjawab berat yang dipikulkan ke atas mereka. Diantara tanggungjawab lelaki atau suami:

1. Lelaki bujang – tanggung dosa sendiri bila sudah baligh manakala dosa gadis bujang masih ditanggung bapanya. Dosa wanita ditanggung oleh diri sendiri dan bapa mereka, dan bila sudah berkahwin, akan ditanggung oleh suami mereka.

2. Lelaki berkahwin terpaksa tanggung dosa diri sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan dosa anak lelaki yang belum baligh.

3. Seorang anak lelaki bertanggungjawab ke atas ibunya yang telah tua, terutama anak lelaki yang paling tua. Perempuan hanya perlu taat kepada suaminya. Kalau isteri buat baik, dia dapat pahalanya tapi kalau isteri buat kemungkaran, dosanya ditanggung sisuami. Aduh..duh..duh..duh!

4. Suami wajib beri nafkah kepada isterinya, tapi isteri tidak wajib beri nafkah kepada suami. Namun, jika suami benarkan, isteri boleh sama-sama bekerja cari rezeki untuk bantu tambahkan pendapatan keluarga.

5. Lelaki diberi kelebihan kekuatan fizikal berbanding kaum wanita. Maka lelaki bertanggungjawab melindungi kaum wanita. Janganlah dizalimi mereka terutamanya dari kalangan ahli keluarga seperti ibu, kakak dan adik perempuan.

Jika difahami betul-betul tanggungjawab berat orang lelaki, tiada anak lelaki/suami yang “salah guna kuasa” atau alpa tanggungjawab, tiada adik-beradik perempuan yang rasa tak adil sebab anak lelaki dapat 2 sedangkan anak perempuan dapat 1 dalam pembahagian harta pusaka mengikut Faraid, dan sebagainya.

Kaya harta? Kaya iman?

Khalifah Umar bin Abdul Aziz memerintah hanya selama 2 tahun 5 bulan. Namun, keadilan, ketaqwaan dan keikhlasannya telah berjaya mewujudkan satu sistem pemerintahan yang diredai Allah SWT. Kesannya, rakyat tidak memberontak, tidak menyeleweng dan mendapat layanan yang adil. Rakyat menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang layak atau mahu menerima zakat. Negara jadi berkat bila pemimpin dan rakyat sama-sama bertaqwa kepada Allah SWT. Zaman kita pula - cuba selidik sejauh mana masyarakat bersungguh untuk bayar zakat? Cuba juga selidik semudah mana mereka yang berhak, boleh mendapatkan zakat? Generasi di zaman khalifah Umar Abdul Aziz bukan sahaja kaya harta tetapi mereka juga kaya iman. Generasi di zaman kita pula, malang sungguh.....saya pernah lihat mereka yang berkereta mercedez atau kereta mewah lain turut "menceriakan" majlis menerima wang atau basikal yang sepatutnya dikhaskan hanya untuk orang-orang miskin.


Saturday, November 27, 2010

Mendidih!

Salah satu siksaan terhadap kaum wanita yang dilihat oleh Rasulullah SAW pada malam baginda diisra'kan ialah wanita yang digantung rambutnya dan otaknya mendidih, dibakar api neraka. Kata Rasulullah SAW, wanita yang diazab sebegini ialah mereka yang tidak menutup rambutnya hingga dilihat oleh lelaki yang bukan muhrimnya.

"buku panduan" - antara baca, hafaz & amal!

Jika kita nak dapat lesen memandu, ada ujian yang perlu diduduki dan lulus. Soalan-soalannya berkaitan dengan peraturan jalanraya, tatacara pemanduan dan sikap sebagai seorang pemandu. Ada buku panduan yang disediakan untuk membantu kita memandu dengan baik dan jadi seorang pemandu berhemah di jalanraya. Namun, ada yang sombong dan angkuh, tak ikut panduan - bila lampu isyarat merah yang sepatutnya berhenti, kita jalan. Di jalan bergarisan berkembar yang tidak boleh memotong kenderaan lain, kita memotong sampai 4 atau 5 buah sekaligus!. Had laju kata 90 km/j, kita kerah keng pandu sampai 150 km/j. Kenderaan mesti sentiasa diselenggara mengikut jadualnya tapi kita hanya selenggara bila ada masalah. Bateri ditukar hanya bila enjin kereta dah tak boleh dihidupkan kerana bateri kong! . Semua orang akui yang bila peraturan jalanraya dilanggar, malapetaka berlaku. Malapetaka buat manusia menderita. Malangnya, buku panduan tidak juga diikuti. Begitulah juga dengan kehidupan kita di dunia ini. Ada suruhan Allah SAW yang wajib kita turuti dan larangan yang wajib kita tinggalkan. Semuanya terkandung dalam "buku panduan kehidupan" iaitu Al-Quran. Allah kata wajib tutup aurat, ada yang tak tutup!. Allah kata dirikan dan jaga solat, malah solat yang pertama ditanya nanti. Ada yang remehkan. Allah kata berhukumlah dengan hukum-hukumNya. Kita ingat kita lebih tahu, lantas berhukum dengan hukum ciptaan manusia. Malah, lebih teruk ada yang kata hukum Allah tak sesuai, out-dated, tak sampai masa, tak adil dan sebagainya. Jika perlanggaran peraturan jalanraya akan bawa kepada malapetaka, inikan pula ketidakpatuhan dan perlanggaran hukum-hakam Allah SWT. Kita tunggu dan lihat nanti......kerana sesungguhnya janji Allah itu pasti!

Monday, November 22, 2010

Wahai pemimpin, contohilah Umar al-Khattab

Gabenor Azerbaijan pernah menghantar makanan enak bernama habish kepada Khalifah Umar. Umar bertanyakan kepada utusan gabenor samada makanan itu dimakan oleh semua penduduk Azerbaijan. Setelah dimaklumkan bahawa makanan tersebut adalah makanan orang-orang atasan, Umar memulangkan makanan terebut kepada gabenor dan berpesan,"MAKANAN YANG SELAZAT INI BUKAN DIBUAT DARIPADA WANG AYAH DAN IBUMU. KENYANGKAN PERUT RAKYATMU SEBELUM ENGKAU MENGENYANGKAN PERUTMU." Umar berkata lagi, "Kalau orang itu kenyang, akulah orang terakhir yang akan kenyang. kalau orang itu kelaparan, akulah orang pertama yang merasai kelaparan itu."

Suami isteri - pelajari dari kisah Umar

Seorang suami asyik bertengkar dengan isterinya yang suka membebel, Tidak tahan dengan perangai isterinya, beliau mengunjungi Saidina Umar Al-Khattab r.a. untuk mengadu. Namun, setibanya di rumah Umar, dia mendengar isteri khalifah Umar sedang membebel. Peliknya, tidak kedengaran suara Umar. Setelah ditanya Umar akan hajatnya, beliau memberitahu yang hajat asalnya ingin mengadu tentang perangai isteri yang suka membebel, tetapi membatalkan hajatnya setelah melihat isteri Umar juga berperangai sedemikian terhadap Umar. Saidina Umar tersenyum lalu berkata, “Tidak patut kalau aku tidak sabar dengan kerenahnya. Bukankah dia telah memasak makanan untukku, membasuh pakaianku, bersabung nyawa melahirkan zuriat untukku, menjaga anak-anakku dan dia tempat aku mendapat hajatku? Sabarlah, sesungguhnya keadaannya itu tidak lama (nanti akan baik sendiri).”

Ingat Allah, stres hilang!

Stres buat fikiran kita berserabut. Bila stres, pertimbangan hilang. Anak bini nampak macam bola yang sedia untuk disepak terajang! Subhanallah! Sebagai manusia, menghadapi stres itu mungkin lumrah. Namun, adakah kita mengambil pendekatan yang betul setiap kali menghadapi stres? . Ada orang ambil jalan salah setiap kali hadapi stres - mamah ubatlah, hantuk kepala ke dindinglah, togok araklah, cari perempuanlah dan sebagainya. Dalam surah Ar-Ra'd, ayat 28, Allah berfirman yang maksudnya, "(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram".

DUNIA atau AKHIRAT- yang mana keutamaan kita?

Rasulullah bersabda yang maksudnya; "siapa yang menjadikan akhirat sebagai pusat perhatiannya, nescaya Allah s.w.t akan membuatnya merasa kaya dalam hatinya, segala urusannya menjadi teratur dan dunia datang kepadanya tanpa perlu mengejarnya. Sementara siapa yang menjadikan dunia sebagai pusat perhatiannya, nescaya Allah s.w.t akan menjadikan kefakiran berada di depan matanya, segala urusannya menjadi kacau dan kepadanya dunia datang sekadar yang telah ditakdirkan baginya"
-hadis riwayat at-Tirmidzi-

Sunday, November 21, 2010

Usaha & pertolongan Allah

Usaha dan pertolongan Allah saling berkait. Usaha semata-mata tidak cukup tanpa bantuan Allah. Bantuan Allah pula tidak tiba jika tiada usaha. Dalam ayat 7, surah Muhammad, Allah berfirman yang maksudnya, "Wahai orang-orang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu."

Saturday, November 13, 2010

Caci ibubapa

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, "termasuk dosa-dosa yang besar ialah seseorang yang memaki ibubapanya". Lalu ada orang bertanya, "Adakah seseorang memaki ibubapanya?". Jawab Baginda, "Ada, iaitu seseorang yang memaki ibu orang lain sama dengan memaki ibunya sendiri". (Bukhari dan Muslim)

BERBISIK....

Dari Ibnu Mas'ud berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Jika kamu bertiga, maka janganlah yang dua berbisik-bisik tanpa yang ketiga, sehingga kamu berkumpul dengan orang ramai kerana perbuatan itu akan membuatkan ia sedih". (Bukhari dan Muslim).

Potong kuku.

Orang yang terbaik...

Grafik: Dipinjam drp. video berlaterbelakangkan lagu Ebiet G Ade

Abu Hurairah Radhiyallahu ‘Anhu meriwayatkan, bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bertanya kepada para sahabat,“Maukah kalian aku beritahu tentang orang yang terbaik di antara kalian?” para sahabat menjawab, “Ya, wahai Rasulullah.” Kata beliau, “Sebaik-baik kalian adalah yang paling panjang umurnya dan paling baik amalnya.” (Al-Hadits)

Masih ada waktu...

Untuk mu Ummi...

TUHAN

TUHAN...DENGARKAN AKU. KU MEMOHON KEPADAMU. KU ANGKAT TANGANKU, KU LAFAZKAN LIDAHKU MENYEBUT NAMAMU TUHAN. TUHAN...LIHATLAH AKU. KU BERSERAH KEPADAMU. KU LETAKKAN KENINGKU BERSUJUD PADAMU...AMPUNI DOSA-DOSAKU. TUHANKU, JANGAN AMBIL NYAWAKU SEBELUM KU DEKAT DENGANMU. TUHANKU, SIAPKAN DUNIAKU UNTUK NANTI TIBA AKHIRATKU...BERAPA NIKMAT YANG KAU BERI, BERAPA YANG TELAH KU ENGKARI. MASIH PANTASKAH SUJUDKU PADAMU. AKU MALU...AKU MALU....

Daging qurban

Sebut pasal berkorban, ia mengenai perlakuan yang bertentangan dengan kehendak hati. Justeru, melakukannya tak semudah mengucapkannya. Naluri manusia, sentiasa menginginkan yang terbaik untuk diri dan keluarga. Namun, Allah menyuruh kita melawan naluri ini dan mengutamakan orang lain dalam hal berkaitan kualiti pemberian atau sedekah. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 267 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu, kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa terpuji.”
Orang yang mengambil bahagian dalam ibadah qurban biasanya orang yang mampu - nak makan daging walaupun mahal (kebiasaan, Terengganu RM18/kg, Kelante RM16/kg), boleh dengan mudah angkat punggung dan pergi beli. Ini tidak berlaku kepada orang fakir miskin. Kekerapan mereka memiliki dan merasai daging dalam setahun hanya sekali. Bukan tiada keinginan, tapi mengambilkira banyak lagi perkara penting lain untuk dibelanjakan, daging bukan jadi keutamaan. Memahami semua ini, wajarkah kita masih berkira-kira (misalnya, tamak/sayang sampai daging disimpan untuk keluarga sendiri hingga penuh peti sejuk, daging elok disimpan manakala daging tak elok disedekahkan, dll.) dalam pengagihan daging qurban.

Friday, November 12, 2010

Ikut akulah nak buat maksiat pun! Mu apa kisah?

Ada orang marah bila ditegur dia buat maksiat. Katanya,"Ikut akulah nak buat maksiat pun. Mu apa kisah?". Daripada Nu’man bin Basyir r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan mereka yang berada dalam batasan sempadan (agama) Allah dan mereka yang terjerumus ke dalamnya adalah seperti kaum yang mengundi untuk mendapatkan tempat masing-masing dalam sebuah kapal, antara mereka ada yang dapat di tingkat atas kapal dan sebahagian lain beroleh di tingkat bawah. Mereka yang berada di bawah akan melalui yang berada di bahagian atas untuk mengambil air, mereka berkata sekiranya kita tebuk saja tempat kita ini kita tidak perlu mengganggu mereka (yang di atas) lagi. Sekiranya dibiarkan mereka laksanakan cadangan tersebut, maka akan binasalah sekalian penumpang, dan kalau dicegah rancangan itu akan selamatlah mereka dan penumpang semuanya.” (Riwayat Bukhari)

Jangan jadi penganjur & terlibat program maksiat

Semalam, semasa berada di hadapan rumah sambil menghirup angin malam, saya terdengar "dentuman" muzik/nyanyian dari tapak pesta yang jaraknya lebih kurang 6 km daripada rumah saya. 10 hari awal bulan Zulhijjah ini merupakan antara waktu penting bagi umat Islam. Waktu ini, berlakunya perhimpunan tahunan umat Islam di Tanah Suci Mekah. Manusia melupakan perbezaan warna kulit dan pangkat, bersama-sama berkorban meninggalkan orang tersayang dan pekerjaan, semata-mata untuk mendekatkan diri dan mengagungkan Allah SWT. Umat Islam yang tidak hadir ke Mekah pun digalakkan meningkatkan amalan di waktu ini seperti berdoa, bersedekah, berkebajikan, berzikir dan berpuasa sunat Hari Arafah.

Diriwayatkan dari Ibn Abbas ra: Rasulullah SAW bersabda: “Tiada amal yang soleh yang dilakukan pada hari-hari lain yang lebih disukai daripada hari-hari ini (sepuluh hari pertama dalam bln Dzulhijjah).” (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Malangnya, pada masa yang sama, ada pula yang menganjur dan terlibat dengan pesta yang menjauhkan kita daripada Allah SWT. Khabarnya, penganjur ialah orang Melayu Islam. Selaku penduduk tempatan di sini, saya pasti 95% pengunjung pesta juga orang Melayu Islam. Sesungguhnya, dosa perlakuan kita sendiri pun sudah tak tertanggung. Sanggupkah kita menanggung dosa orang yang buat maksiat dek kerana hadir program yang dianjurkan oleh kita. Ada yang kata, "Eh! Saya hanya anjurkan saja. Niat saya baik - bila ada pesta, ramai orang datang dan peniaga dapat untunglah! Orang nak buat maksiat dia punya pasallah!." Ingatlah, niat tidak menghalalkan cara. Syaitan sendiri sudah kufur. Kejahatannya terhadap manusia ialah menghasut dan membuka laluan agar manusia sama-sama kufur dengannya.

Dosa dari pandangan orang jahat & orang baik.

Nabi s.a.w. telah mengkhabarkan kepada kita dalam sebuah hadis: “Orang yang jahat akan melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, dengan mudah dapat diusirnya hanya dengan mengibaskan tangan. Adapun seorang mukmin melihat dosa-dosanya bagaikan duduk di bawah kaki gunung yang siap menimpanya.”(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Thursday, November 11, 2010

Jangan didik anak macam ternak lembu!

Masa kecil, saya tinggal dengan datuk di kampung. Bila tak ke sekolah, rutin harian ialah ikut datuk bawa lembu ke padang untuk ragut rumput. Petangnya, pergi ambil lembu untuk dibawa balik ke kandang. Masa tu, saya fikir betapa indahnya jadi lembu sebab ia sangat disayangi oleh datuk saya, dan kerja lembu hanya makan, berak dan tidur sahaja. Datuk saya tak pernah lupa tugas hariannya ini. Biasanya, pagi-pagi lagi, dia bawa lembu makan, kemudian barulah dia balik makan. Datuk saya juga sentiasa "bercakap" dengan lembunya walaupun saya tak pasti samada ianya difahami oleh lembunya itu. Kelmarin (11/11/2010) dalam program Tanyalah Ustaz di TV9, ustaz ada mengingatkan kita agar tidak mendidik anak macam menternak lembu - kita sekadar beri makan minum, sediakan tempat tidur kepada anak tanpa menyediakannya untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa.

Hafaz & fahami maksud doa, sasaran cuti sekolah

Cuti sekolah sudah hampir. Apa perancangan kita untuk anak-anak? Hantar ke kelas Al-Qur'an? Hantar ke kelas muzik/tarian? Hantar ke kelas tuisyen? Atau biarkan saja anak-anak mengisi masa lapang cuti mereka sendiri? Pilihan ditangan kita selaku ibubapa yang menanggung amanah Allah SWT. Sekurang-kurangnya tanya diri apa pengisian/agenda kita sendiri di rumah untuk anak-anak? Jangan biarkan anak-anak berada dalam kejahilan macam kita. Contohnya, selepas 40 tahun hidup, mungkin kita masih gagal untuk berdoa dalam bahasa Arab dengan sempurna setiap kali selepas solat. Kalaupun kita mengaminkan doa imam, kita tak tahu maksudnya. Justeru, ambil masa cuti ini untuk buat sasaran bersama keluarga untuk hafaz dan fahami maksud doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Ianya nampak sasaran yang kecil tetapi ingatlah tanggapan beginilah yang buat kita gagal menghafaz dan memahami doa yang kita ucapkan setiap hari selepas solat selama berpuluh-puluh tahun lamanya. Allah SWT lebih menyukai amalan yang sedikit tetapi dilakukan secara berterusan berbanding amalan yang banyak tetapi dibuat secara "hangat-hangat tahi ayam mona". Berikut adalah satu doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW yang boleh diamalkan.

Wednesday, November 10, 2010

Doa mohon zuriat yang baik

Pastinya setiap ibubapa ingin anak mereka berjaya. Namun, kejayaan yang bagaimana yang kita ingin anak kita miliki? Kejayaan yang sebenar adalah yang berlandaskan ketaqwaan kepada Allah SWT. Tiada guna anak dapat 100A, dapat kerja bagus dengan gaji berpuluh ribu sebulan, tetapi tidak solat dan tidak jadi hamba Allah yang bertaqwa. Ketaqwaan kepada Allah akan bawa kejayaan bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat. Bukan sahaja kepada diri mereka sendiri, tetapi juga kepada kita, ibubapa mereka. Justeru, hati-hati dengan apa yang kita doakan untuk anak - janganlah kita doakan mereka untuk kejayaan materialistik semata-mata. Perihal doa untuk pasangan dan anak-anak, Allah SWT suruh kita berdoa dengan doa berikut:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَجِنَا وَذُرِّيَتُنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ إِمَامًا

“Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati ( kami ), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa. (Al-Furqaan, Ayat 74 )

Tuesday, November 9, 2010

Kecil lagi...Besar dah....

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,“Setiap anak lahir dalam keadaan fitrah, maka orang tuanyalah yang akan menjadikan ia seorang Yahudi, Nasrani ataupun Majusi’. Allah berfirman (sebahagian daripada ayat 6, Surah At-Tahrim) yang bermaksud, "Wahai orang-orang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu;.......".

Monday, November 8, 2010

Hisab sebelum dihisab...

Sebagai seorang usahawan atau pekerja atau ibubapa atau pelajar atau anak, kita tentunya pernah buat kira-kira. Kira-kira tentang gaji diterima setiap bulan, pendapatan, perbelanjaan, elaun itu, elaun ini, bonus, baki dalam bank ada berapa, berapa nak bagi kepada anak sekolah/universiti dan sebagainya. Pernah atau tidak kita buat kira-kira tentang kita sebagai hamba Allah SWT?. Adakah kita akan jadi hamba Allah yang untung atau yang rugi? Yang banyak buat amal kebajikan atau dosa? Grafik menunjukkan senarai sebahagian daripada amal yang kita boleh buat dalam sehari atau sebulan. Buat senarai, cetak, tampalkan di pintu peti ais di rumah, tandakan dan sebelum tidur malam tenung dan fikirkan! Ini kita namakan muhasabah diri. Kalau nak dikira, hisab di mahkamah Allah SWT nanti lebih teliti - amalan bukan hanya dilihat dari aspek kuantiti tetapi juga kualiti! Kalaupun bilangan solat dah lengkap dilaksanakan, bagaimana dengan keikhlasannya dan kusyuknya.

Kenyang tapi lapar!

Kita asyik "JALAN-JALAN CARI MAKAN" tetapi jarang "JALAN-JALAN CARI IMAN". Kita sanggup pergi jauh dan keluar duit banyak semata-mata untuk kenyangkan perut. Kekadang sampai seeh (sesak nafas kerana terlampau kenyang). Lepas makan pagi, dah fikir tengahari atau malam nanti nak masak atau makan apa, atau di mana? Malangnya, rohani kita yang lapar tidak kita usaha untuk kenyangkan walaupun makanannya percuma dan tak perlu pergi jauh untuk mendapatkannya - ceramah ilmu di surau/masjid berdekatan rumah kita pun kita tak pergi! Al-Quran dalam rumah sendiri pun kekadang kita lupa letak di mana, apatah lagi nak belik baca. Kita selesa terpacak 1 jam depan TV tengok program masakan tapi cepat panas punggung dan gatal telinga menonton program agama walaupun ia hanya 15 minit. Jika beginilah halnya, kita kenyang tapi lapar!.

MALANG SUNGGUH - budaya kita orang Melayu yang selesa berada dalam kejahilan!

Sunday, November 7, 2010

Sesak

Gambar kesesakan di stesen LRT masjid Jamek ini dihantar oleh anak saudara. Manusia sedang beratur untuk melalui mesin pengimbas tiket untuk menaiki keretapi ke tempat kerja di waktu pagi. Anak saudara saya kata nasib baik dia tahu laluan yang cepat sikit (mungkin sebab setiap hari guna stesen tersebut), jadi dia tak beratur lama sangat. Kesesakan buat kita tertekan, apatah lagi dalam keadaan nak cepat ke tempat kerja atau ada temujanji awal pagi. Tentunya, perasaan jadi keluh kesah, geram dan kebingungan. Ini baru kesesakan di dunia. Bayangkan "kesesakan" di Padang Mahysar nanti, selepas kita dibangkitkan dari kubur masing-masing dan berkumpul sambil menunggu pengadilan Allah SWT. Sesak di masjid Jamek ni mungkin ada yang tak malu muka memotong barisan atau guna "lesen besar" atau "talian hayat" mereka, untuk dapat cepat ke depan. Di padang Mahsyar, no way nak bertindak tidak adil demi untuk kepentingan diri sendiri. Sesak di masjid Jamek di waktu pagi ok lagi sebab maklumlah, waktu pagi, orang masih berbau wangi - pelbagai perfume digunakan. Di padang Mahsyar, keadaan manusia mengikut amalan mereka di dunia. Di khabarkan, ada yang tenggelam dalam lautan peluh manusia - bau badan orang semasa bersesak dalam LRT semasa balik kerja di waktu petang pun kita dah nak muntah, apatah lagi tenggelam dalam peluh manusia. Stesen LRT masjid Jamek ada air cond. Di padang Mahsyar pula, matahari ibarat sejengkal di atas kepala...Allahuakbar!