Saturday, January 29, 2011

NAK DAPAT ILMU PAYAH, NAK HILANG ILMU MUDAH!

Susah atau tidak kita nak gi nadah kitab di masjid/surau? Susahhhh....macam-macam halangan. Bisikan syaitan sungguh kuat. Masa nak gi masjid/surau, anak ajak gi beli ayam goreng di pasar malam, gas memasak pula habis, syaitan pula berbisik, "minyak lo ning mahal, kelmarin mu gi doh ke masjid. Ok doh tu...lihat, jiran mu tu pun dok gi!", punggung pula asyik nok tubit angin put...put..put..prutttt...sebab tadi makan ubi kayu rebus banyak sangat!, dan bermacam lagi. Namun, untuk lupa ilmu tak susah. Cuba kita tinggal nadoh kitab sekali dua, nescaya kita akan dengan mudah lupa ilmu yang dipelajari.

Tuesday, January 25, 2011

BILA TIADA SYURGA NERAKA DALAM DIRI,

HALAL HARAM TIADA BEZA.....

PRINSIP ORANG YANG BERTAQWA DALAM

MENGURUS/MENTADBIR DUNIA IALAH

"DUNIA DI TANGAN, AKHIRAT DI HATI"

Kira untung rugi...

Kita banyak buat perkiraan untung rugi dalam menjalani kehidupan. Orang berniaga akan hari-hari kira - beli barang berapa? nak jual pula berapa? Untung ke rugi berniaga ni? Macam mana nak pastikan sentiasa untung atau nak elak rugi?
Suri rumah pun congak "untung rugi" masa beli barangan keperluan harian keluarga - untung beli beras 5 kg ke 10 kg? Ibubapa juga buat perancangan dalam hal pendidikan anak-anak agar tak merugikan masa depan mereka. Orang makan gaji akan buat perkiraan simpanan EPF atau pencen, pelaburan untuk masa tua dan sebagainya. Bagaimana dengan pengiraan untung rugi kehidupan di akhirat kita? Ada kita buat? Jika ada sejauh mana? sesungguh mana?

Rasulullah SAW menangis lihat umat di Padang Mahsyar

Qunut


Kita ni setiap hari baca Qunut. Dah berpuluh tahun dah pun. Kita faham dok maksudnya. Yang kita dok amin..amin..selepas imam baca tu, kita tahu dok maksudnya. Kita usahalah untuk memahaminya. Kita sanggup bersusah payah untuk perkara lain dalam hidup. Takkanlah untuk memperelokkan ibadah solat, iaitu yang pertama disoal di akhirat nanti, kita ambil mudah. Cuba semak/cek/selidik/kaji/hitung, solat kita sekarang guna ilmu yang kita dapat bila - tadika, kelas fardhu ain masa sekolah rendah/sekolah menengah?

Monday, January 24, 2011

Pesakit mental - cerminan kita.

Pesakit mental meningkat 15.6% tahun lalu – Tiong Lai
PUTRAJAYA 18 Jan. 2011 – Kementerian Kesihatan amat peka dan bimbang tentang peningkatan masalah kesihatan mental di mana sepanjang tahun lalu sebanyak 400,227 pesakit mental menjalani rawatan di hospital kerajaan.“Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 15.6 peratus daripada tahun 2009,” kata Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental di sini hari ini.

Saya ikuti perbincangan mengenai isu ini dalam MHI, TV3 pada 25/1/2011, antara jam 8.05-8.15 pagi. Wartawan menemuduga beberapa pelajar tentang bagaimana mereka menangani tekanan yang dihadapi. Dari 3 pelajar Melayu yang ditemuduga, antara jawapannya ialah, "gi karaoke, meraung/berteriak kuat, balik rumah, lepak dengan kawan, main game di internet". Saya tunggu jawapan yang berunsur agama seperti "solat", "mengaji al-qur'an", "doa" dan seumpamanya, malangnya jawapan yang dinanti tidak terungkap di mulut ketiga-tiga remaja Melayu tersebut. Nasib baik juga jawapan berunsur agama tidak juga diucap oleh seorang remaja Cina dan seorang remaja India yang juga ditemuduga.

Lebih menghampakan saya lagi, perbincangan dalam studio yang melibatkan 2 pengacara dan seorang pakar juga tidak memberi penekanan kepada aspek agama. Dalam surah Ar-Ra'd, ayat 28, Allah berfirman yang maksudnya, "(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram".

Mengapa sesetengah daripada kita, orang Islam sendiri semacam takut dengan Islam. Takut nak kaitkan musibah yang berlaku adalah kerana kita semakin jauh dengan Allah, ujian daripada Allah, peringatan daripada Allah. Kalau kena gempabumi, tsunami, hujan lebat, taufan dan sebagainya, kita akan kata, "Oooo...ni natural disaster.....pergerakan lapisan bumi....memang berlaku beberapa dekad sekali..". Takut juga nak mengaku yang penyelesaian kepada segala permasalahan juga hanyalah dengan kembali mendekati Allah. MENGAPA?

Allah sendiri suruh kita ingat kepadaNya, di ketika senang dan susah, biar sentiasa basah bibir kerana menyebut namaNya. Kita lebih bersungguh untuk buat orang takut orang atau hantu, daripada takutkan Allah. INGATLAH SAUDARA-SAUDARAKU, KITA BERTANGGUNGJAWAB DALAM KONTEK TUGAS MASING-MASING UNTUK MENDEKATKAN DIRI DAN MANUSIA LAIN KEPADA ALLAH. JIKA KITA BERBUAT SEBALIKNYA, KITA BERSEDIALAH MENJAWABNYA DI DEPAN HAKIM YANG MAHA ADIL, DI AKHIRAT NANTI...

Sunday, January 23, 2011

Bila pembangunan rohaniah dipinggirkan....



Maklumat tentang gambar-gambar di atas: (http://www.bharian.com.my) 19 Jan 20111,REMBAU: Sebahagian daripada RM74,000 wang syiling bertaburan di tengah lebuh raya selepas sebuah pacuan empat roda yang mengisi wang itu dalam sebuah tong besar terbalik di Kilometer 244 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini, semalam. Dalam kejadian jam 3 petang itu, sebuah Toyota Hilux dipercayai milik syarikat mengedarkan wang syiling kepada premis perniagaan di Melaka, terbabas sebelum terbalik ke tepi jalan akibat dirempuh sebuah kenderaan lain. Berikutan itu, sebahagian syiling didakwa mencecah RM74,000 disimpan dalam sebuah tong besar, bertaburan di sekitar kawasan berkenaan, sebelum disedari pengguna jalan raya yang kemudian berhenti mengutip wang itu.

Dalam post sebelum ini, saya ada membicaraan tentang saat kehancuran yang sedang menanti kita akibat dari tidak mengimbangi pembangunan rohaniah sejajar dengan tuntutan Islam, dengan pembangunan fizikal kebendaan. Rasulullah SAW ada bersabda yang maksudnya,
"akan sampai satu zaman dimana manusia tidak lagi menghiraukan dari sumber mana diperolehi hartanya, sama ada dari yang halal atau yang haram" (Riwayat Al-Bukhari).

Sikap sesetengah pengguna jalanraya (iaitu, mereka yang mengutip syilling untuk poket sendiri dan bukannya bertujuan memulangkan kepada sipemilik) yang mengambil kesempatan daripada kesusahan orang lain, dengan "mencuri secara terbuka", tidak hormat sipemilik yang sedang terlantar trauma, tidak takut kepada pihak berkuasa (apatah lagi Allah SWT) mencerminkan keruntuhan akhlak generasi kita masakini. Jika anda ingat, ini bukan pertama kali perkara seumpama ini berlaku. Dulu di pantai Terengganu, orang ramai mengambil barangan dari kontena-kontena hanyut dari kapal yang kemalangan di tengah lautan.

Nampaknya sikap sebegini sudah jadi budaya. Malangnya kita!. Kita sedang menanggung kehinaan akibat meminggirkan Islam dalam pembangunan diri, keluarga, kejiranan, masyarakat dan negara. Hanya satu sebab kepada masalah ini - individu yang tidak kenal Allah SWT. Bila tak kenal, maka tak takut! Persoalan seterusnya, sejauh mana kita komited untuk melahirkan diri serta generasi yang kenal Allah SWT? Cuba jawab kepada diri sendiri dengan ilmu dan keikhlasan.

Istidraj


ISTIDRAJ ialah pemberian nikmat oleh Allah SWT kepada manusia tetapi ianya tidak mendapat keredhaan Allah SWT. Seorang ayah atau ibu juga mungkin akan memenuhi (tanpa redha) kehendak anaknya yang asyik menderhaka, dengan mengatakan, "Dah kamu tak dengar cakap sangat, buatlah ikut suka kamu!. Selepas ni, kami tak nak ambil tahu apa-apa lagi."

Rasullulah s.a.w. bersabda :" Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT ". (Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi).


Lihat Firaun. Dapat nikmat tapi nikmat yang menjauhkannya daripada Allah dan membinasakannya. Firaun tak pernah sakit. Bersin pun tak pernah! Orang lain asyik mati tetapi Firaun panjang umur hingga dia mendabik dada kata dia tuhan. Lihat juga Qarun yang kaya-raya, hingga sekarang pun jika orang menemui harta tertanam dalam tanah, orang akan kata, "harta Qarun". Anak kunci gedung hartanya pun kena dibawa oleh 40 ekor unta. Jadi, jangan sombong sangat. Walaupun bagaimana kaya pun kita, tidak akan dapat menandingi kekayaan si Qarun. Qarun yang paling kaya tu pun akhirnya ditenggelamkan bersama-sama hartanya oleh Allah SWT dek keangkuhannya.

Friday, January 21, 2011

Ciri-ciri orang yang beriman

Dalam surah al-Mukminun, ayat 1-11, Allah SWT menggariskan ciri-ciri orang beriman:

[1] Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
[2] Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;
[3] Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
[4] Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);
[5] Dan mereka yang menjaga kehormatannya, -
[6] Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: -
[7] Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;
[8] Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;
[9] Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;
[10] Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi -
[11] Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.

sarang labah-labah


“Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah kalau mereka mengetahui.” (Al-‘Ankabut, 29: 41)

Wednesday, January 19, 2011

Orang dustakan ayat Allah macam anjing!

Hina sungguh kita jika mendustakan ayat-ayat Allah SWT. Dalam surah al-A'raf, ayat 176, Allah umpamakan orang yang mendustakan ayat-ayatNya macam anjing. Jika ada yang kata kita mendustakan ayat-ayat Allah, kita mungkin marah kerana berpendapat kita tida pernah mendustakan ayat-ayat Allah. Tapi cuba selidik betul-betul - adakah kita buat semua suruhan dan tinggal semua larangan Allah? Allah kata jangan bohong, kita bohong. Allah kata jangan rasuah, kita beri/terima rasuah, malah kita boleh kata, "Ah! semua orang buat. Kalau tak buat, kita tak boleh hidup lah..". Allah kata tutup aurat, kita/bini/anak tak tutup aurat. Allah kata hukumlah dengan hukumNya, kita menghukum dengan hukum ciptaan manusia. Betul ke kita tak pernah mendustakan ayat-ayat Allah?

“Dan kalau Kami Menghendaki sesungguhnya Kami tinggikan darjatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dihulurkan lidah dan jika kamu biarkannya dia menghulurkan lidahnya juga. Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Cerita-cerita demikian bermaksud agar manusia memikirkannya.” (al-A’raf, 7: 176)





Belanja harta semata-mata kerana Allah...

“Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya) dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Baqarah, 265)

Saturday, January 15, 2011

Kita pengemis!

Bagaimana reaksi kita bila melihat pengemis? Kesian? Benci? Meluat? Tengok saja? Mata tengok, mulut kata? Hulur dengan manis muka? Hulur dengan muka masam macam cuka? Ada yang berdiam diri di sebalik langsir bila lihat pengemis berada di pagar rumah. Ada yang pura-pura jadi bibik, "tuan rumah tak ada!", katanya bila pengemis datang minta bantuan. Ali bin Abi Thalib menangis takutkan penghinaan Allah kerana dalam tempoh seminggu itu, tiada seorang pun yang datang meminta kepadanya. Kita pula mungkin berasa lega jika tiada yang datang meminta. Allah SWT memberikan gelaran Khalilullah (kekasih Allah) kepada nabi Ibrahim kerana baginda suka memberi makan orang miskin dan solat di ketika orang lain sedang tidur nyenyak. Rasulullah SAW mengatakan bahawa kunci syurga ialah mencintai orang-orang miskin. Dalam kontek ini, kitalah yang sebenarnya pengemis! Kita memerlukan orang-orang miskin dan orang yang memerlukan bantuan, untuk kita memasuki syurga Allah. Jika kita sendiri tiada upaya, bukan bermakna kita tidak dapat bantu mereka. Temukan mereka yang memerlukan dengan yang ingin membantu - itupun satu bentuk bantuan.

Wednesday, January 12, 2011

Nak "makan" apa?

Kita sentiasa fikir pasal makan. Bangun pagi dah fikir nak makan/masak apa pagi ini. Nak makan kat mana?. Lepas tu, fikir nak makan tengahari pula, lepas tu makan petang, lepas tu makan malam, lepas tu makan tengah malam pula. Isteri pula kekadang habis idea nak masak apa untuk keluarga tercinta. Habis resepi dah dicuba.
Persoalannya, adakah kita sentiasa fikir dan rancang untuk pemakanan jiwa/rohani kita?. Pagi ni nak gi dengar kuliah subuh kat mana?. Nak solat dhuha pukul berapa? Hari ini nak sedekah kepada siapa? Nak belanja makan siapa? Dah baca Al-Qur'an ke tidak atau bila nak baca?. Malam ni, nak gi dengar kuliah maghrib kat mana?

Doa ditetapkan iman

Apa yang kita ada tidak kekal, termasuklah iman. Justeru, kita kena sentiasa mohon kepada Allah untuk sentiasa ditetapkan iman dan berada di landasanNya.

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya ...Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya” (Surah Ali Imraan, ayat 8 )

Tuesday, January 11, 2011

Umat Rasulullah SAW tidak COD.....


Nasib kita baik (buat sementara waktu) kerana umat Nabi Muhammad SAW tidak terus menerima balasan atau hukuman atas kemaksiatan yang dilakukan. Bagi yang sedar, ini satu rahmat kerana peluang bertaubat sentiasa terbuka selagi nyawa tidak sampai di halkum. Bagi yang alpa, ketiadaan "Cash On Delivery (COD)" atas dosa yang dilakukan menjadikan mereka angkuh dan semakin jauh dari Allah SWT. Tidak seperti kita, umat terdahulu terus mendapat balasan atas ketidakpatuhan kepada hukum-hakam Allah SWT. Allah paparkan dalam Al-Quran kisah-kisah umat terdahulu untuk kita jadikan pengajaran. Dalam Surah Asy-Syu’araa’, ayat 128 hingga 139, Allah menceritakan perihal kaum 'Ad.

Apakah kamu mendirikan pada tiap-tiap tanah tinggi bangunan untuk bermain-main, dan kamu membuat benteng-benteng dengan maksud supaya kamu kekal (di dunia)?. Dan apabila kamu menyiksa, maka kamu menyiksa sebagai orang-orang yang kejam dan bengis. Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku. Dan bertakwalah kepada Allah yang telah menganugerahkan kepadamu apa yang kamu ketahui. Dia telah menganugerahkan kepadamu binatang-binatang ternak dan anak-anak, dan kebun-kebun dan mata air, sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa azab hari yang besar. Mereka menjawab:”Adalah sama saja bagi kami, apakah kamu memberi nasihat atau tidak memberi nasihat, (agama kami) ini tidak lain hanyalah adat kebiasaan orang dahulu, dan kami sekali-kali tidak akan diazab”.Maka mereka mendustakan Hud, lalu Kami binasakan mereka. Sungguh, pada demikian itu terdapat tanda (kekuasaan Allah), tetapi kebanyakan mereka tidak beriman.

Sebagai sebuah tamadun, adakah kita berbeza dengan umat-umat terdahulu? Apa yang cuba kita bina sekarang ini? Adakah sebuah tamadun yang penuh dengan mercu tanda dan gah dengan pembangunan fizikal kebendaannya ATAU sebuah tamadun yang didokong oleh umatnya yang takut kepada Allah, tunduk patuh serta memertabatkan hukum-hakamNya sejajar dengan status khalifah di muka bumi? Analogi mudah - saban hari kita ambil langkah perlu untuk jaga kesihatan diri seperti bersenam, banyak minum air dan kurangkan makanan berkolestrol tinggi. Namun, kita semakin sakit!. Bila ini berlaku, pastinya kita tertanya-tanya, "Eh! Betul ke cara aku jaga kesihatan ni?". Samalah, sekarang kita kata kita dah amal Islam dan negara kita dah negara Islam. Malangnya, akhlak generasi kita semakin parah - mat rempit, dadah, jenayah, buang bayi, hiburan melampau, pergaulan bebas, rasuah, tak solat, cara hidup ala barat dan sebagainya. Justeru, setiap kita patut tanya, "Eh! Betul ke cara kita amal Islam ini?". Islam bukan hanya untuk diletak dalam Kad Pengenalan atau ditonjolkan dalam program tertentu. Islam ialah cara hidup. Justeru, ianya perlu dipraktik berdasarkan Al-Quran dan hadis Nabi SAW, sepenuhnya dan bukannya ambil yang sesuai dan tinggal yang tak sesuai (mengikut ukuran nafsu kita).

Leburkan sifat takabbur!

Orang takabbur akan rasa dirinya hebat. Tiga (3) jenis takabbur, iaitu takabbur dengan Allah SWT, takabbur dengan Rasulullah SAW, dan takabbur dengan manusia. Imam Al_Ghazali kata, manusia takabbur disebabkan oleh:

  1. ilmu - sepatutnya semakin tinggi ilmu, semakin tawaduklah kita. Jika ilmu buat kita takabbur, maknanya ilmu yang dimiliki tidak berkat, menuntut ilmu pula tidak kerana Allah.
  2. amal ibadat - datang dalam hati, "orang lain tak rajin amal ibadat, akuuuu je yang rajin beramal kepada Allah!"
  3. harta - "Dalam banyak-banyak kereta di sini, kereta aku yang hebat, kereta aku yang kereta import!".
  4. kekuatan/kegagahan - kaum Ad diberi kekuatan oleh Allah, mampu buat bangunan pencakar langit. Kaum Tsamud pula mampu taroh bukit dengan tangan-tangan mereka. Mereka takabbur dengan kelebihan yang dianugerahi Allah. Lihat apa yang jadi pada mereka..
  5. keturunan - Rasullullah kata tiada perbezaan antara kulit putih atau kulit hitam.
  6. kecantikan - "muka aku licin, muka dia berjerawat", "di pejabat ni, aku lah hok comel sekali!"
  7. ramai pengikut, ramai anak - "Anak saya ramai, semuanya berjaya!"

Tanda-tanda orang sombong:

  1. Tak suka berdoa
  2. Pantang ditegur
  3. jika tegur orang lain, tegur dengan kasar
  4. suka menonjolkan diri
  5. kalau berjalan, bersiap angkuh
  6. tidak endah nasihat
  7. suka menindas
  8. pandang rendah orang lain
  9. tak boleh terima kebenaran orang lain

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya sujud melainkan Iblis; ia enggan dan takbur dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. (al-Baqarah 2:34)

Allah berfirman: Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?Iblis menjawab: Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah. (al-Araaf 7:12)

Allah berfirman: Turunlah engkau dari (langit) ini, kerana tidak patut engkau berlaku takbur di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina. (al-Araaf 7:13)

Monday, January 10, 2011

No U-Turn Please!

Iman adalah anugerah terbesar Allah buat kita. Namun, permulaan yang baik tidak bermakna pengakhirannya juga baik. Iman yang dimiliki perlu dijaga dan ditatang umpama minyak yang penuh. Amat malang bagi mereka yang membuat "pusingan U selepas diberi laluan selesa untuk bergerak ke hadapan di jalan yang lurus".

Sunday, January 9, 2011

Malangnya kita jika...

Rumah bertingkat-tingkat…

Kenderaan tak muat tempat…

Jawatan berpangkat-pangkat...

Pitih berlipat-lipat…

Namun, hari-hari ibarat kiamat!