Bagaimana reaksi kita bila melihat pengemis? Kesian? Benci? Meluat? Tengok saja? Mata tengok, mulut kata? Hulur dengan manis muka? Hulur dengan muka masam macam cuka? Ada yang berdiam diri di sebalik langsir bila lihat pengemis berada di pagar rumah. Ada yang pura-pura jadi bibik, "tuan rumah tak ada!", katanya bila pengemis datang minta bantuan. Ali bin Abi Thalib menangis takutkan penghinaan Allah kerana dalam tempoh seminggu itu, tiada seorang pun yang datang meminta kepadanya. Kita pula mungkin berasa lega jika tiada yang datang meminta. Allah SWT memberikan gelaran Khalilullah (kekasih Allah) kepada nabi Ibrahim kerana baginda suka memberi makan orang miskin dan solat di ketika orang lain sedang tidur nyenyak. Rasulullah SAW mengatakan bahawa kunci syurga ialah mencintai orang-orang miskin. Dalam kontek ini, kitalah yang sebenarnya pengemis! Kita memerlukan orang-orang miskin dan orang yang memerlukan bantuan, untuk kita memasuki syurga Allah. Jika kita sendiri tiada upaya, bukan bermakna kita tidak dapat bantu mereka. Temukan mereka yang memerlukan dengan yang ingin membantu - itupun satu bentuk bantuan.
No comments:
Post a Comment