Tuesday, January 11, 2011

Umat Rasulullah SAW tidak COD.....


Nasib kita baik (buat sementara waktu) kerana umat Nabi Muhammad SAW tidak terus menerima balasan atau hukuman atas kemaksiatan yang dilakukan. Bagi yang sedar, ini satu rahmat kerana peluang bertaubat sentiasa terbuka selagi nyawa tidak sampai di halkum. Bagi yang alpa, ketiadaan "Cash On Delivery (COD)" atas dosa yang dilakukan menjadikan mereka angkuh dan semakin jauh dari Allah SWT. Tidak seperti kita, umat terdahulu terus mendapat balasan atas ketidakpatuhan kepada hukum-hakam Allah SWT. Allah paparkan dalam Al-Quran kisah-kisah umat terdahulu untuk kita jadikan pengajaran. Dalam Surah Asy-Syu’araa’, ayat 128 hingga 139, Allah menceritakan perihal kaum 'Ad.

Apakah kamu mendirikan pada tiap-tiap tanah tinggi bangunan untuk bermain-main, dan kamu membuat benteng-benteng dengan maksud supaya kamu kekal (di dunia)?. Dan apabila kamu menyiksa, maka kamu menyiksa sebagai orang-orang yang kejam dan bengis. Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku. Dan bertakwalah kepada Allah yang telah menganugerahkan kepadamu apa yang kamu ketahui. Dia telah menganugerahkan kepadamu binatang-binatang ternak dan anak-anak, dan kebun-kebun dan mata air, sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa azab hari yang besar. Mereka menjawab:”Adalah sama saja bagi kami, apakah kamu memberi nasihat atau tidak memberi nasihat, (agama kami) ini tidak lain hanyalah adat kebiasaan orang dahulu, dan kami sekali-kali tidak akan diazab”.Maka mereka mendustakan Hud, lalu Kami binasakan mereka. Sungguh, pada demikian itu terdapat tanda (kekuasaan Allah), tetapi kebanyakan mereka tidak beriman.

Sebagai sebuah tamadun, adakah kita berbeza dengan umat-umat terdahulu? Apa yang cuba kita bina sekarang ini? Adakah sebuah tamadun yang penuh dengan mercu tanda dan gah dengan pembangunan fizikal kebendaannya ATAU sebuah tamadun yang didokong oleh umatnya yang takut kepada Allah, tunduk patuh serta memertabatkan hukum-hakamNya sejajar dengan status khalifah di muka bumi? Analogi mudah - saban hari kita ambil langkah perlu untuk jaga kesihatan diri seperti bersenam, banyak minum air dan kurangkan makanan berkolestrol tinggi. Namun, kita semakin sakit!. Bila ini berlaku, pastinya kita tertanya-tanya, "Eh! Betul ke cara aku jaga kesihatan ni?". Samalah, sekarang kita kata kita dah amal Islam dan negara kita dah negara Islam. Malangnya, akhlak generasi kita semakin parah - mat rempit, dadah, jenayah, buang bayi, hiburan melampau, pergaulan bebas, rasuah, tak solat, cara hidup ala barat dan sebagainya. Justeru, setiap kita patut tanya, "Eh! Betul ke cara kita amal Islam ini?". Islam bukan hanya untuk diletak dalam Kad Pengenalan atau ditonjolkan dalam program tertentu. Islam ialah cara hidup. Justeru, ianya perlu dipraktik berdasarkan Al-Quran dan hadis Nabi SAW, sepenuhnya dan bukannya ambil yang sesuai dan tinggal yang tak sesuai (mengikut ukuran nafsu kita).

No comments:

Post a Comment