Sunday, October 31, 2010

Adab ziarah orang mati

1 Nov 2010, 11 pagi - baru pulang dari ziarah rakan sekerja yang meninggal pagi tadi. Baru beberapa hari lepas, saya tulis pasal kematian seorang rakan lama, semasa di sekolah rendah. Bila dah menjangkau umur 40an ini, peringatan Allah SWT tentang kematian diakui semakin kerap - berita kematian orang yang dikenali semakin kerap sampai ke telinga ini. Umur rakan sekerja saya yang meninggal pagi tadi sekitar 58-59 tahun. Baru 2 tahun pencen. Seorang yang baik dan berbudi pekerti tinggi. Saya doakan rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Apa yang nak diutarakan di sini ialah adab semasa menziarahi jenazah.
ADAB ZIARAH ORANG MATI

a) Dilarang orang-orang yang menziarahi keluarga yang baru ditimpa kematian hadir di tempat rumah tersebut dengan bergurau senda dengan teman-teman yang lain. Perkara ini akan menyinggung perasaan keluarga tersebut. Mereka haruslah mengucapkan takziah kepada keluarga tersebut perkataan: "Semoga Allah menambahkan ganjaran pahala kamu, dan memperbaiki kedudukan kamu serta mengampunkan dosa ahli keluarga kamu yang baru meninggal."
b) Disunatkan bagi orang yang menziarahi kematian agar membaca Surah Yasin seperti yang disebutkan di dalam hadis yang bermaksud "Bacalah ke atas mereka yang sedang menghadapi kematian dengan membaca Surah Yasin." (Riwayat Abu Daud)
c) Digalakkan agar dihulurkan bantuan yang berbentuk wang atau makanan kepada keluarga yang ditimpa kematian khususnya bagi keluarga yang miskin.
d) Makruh bagi orang yang menziarahi rumah yang ada kematian, makan/minum di rumah tersebut kerana ianya menyibukkan lagi ahli keluarga tersebut. Melainkan jika makanan atau minuman tersebut disediakan oleh jiran tetangga bagi keluarga yang ditimpa kematian.

SOLAT JENAZAH

a) Sedia maklum bahwa hukum menyelenggarakan mayat dan menyembahyangkannya ialah fardhu kifayah yakni jika ada segolongan orang yang melaksanakannya maka tidak wajib bagi orang yang lain melakukannya akan tetapi diberi pahala bagi orang yang melakukannya. Salat jenazah ini tidak sah dilakukan melainkan sesudah mayat tersebut sempurna dimandikan.
b) Sewaktu hendak mula menyembahyangkannya, mayat yang telah berkafan itu hendaklah diletakkan dihadapan orang yang mensalatkannya.
c) Bagi mayat lelaki, imam haruslah berdiri di bahagian kepala si mati manakala jika ianya wanita maka imam haruslah berdiri di bahagian badannya.
d) Disunatkan agar mereka yang sama-sama menyembahyangkan mayat tersebut sekurang- kurangnya membuat tiga barisan (saf) atau lebih dengan jarak antara satu barisan dengan barisan di belakang hanya satu jengkal setengah atau dua jengkal.
e) Salat jenazah mmepunyai empat takbir termasuk takbiratul ihram. Pada takbir pertama diniatkan: "Sahaja aku sembahyangkan jenazah (hadir/ghaib) empat kali takbir fardhu kifayah kerana Allah Ta'ala".
f) Selepas takbir pertama hendaklah membaca Surah Al-Fateha. Setelah habis Fateha maka diangkat takbir yang kedua dan membaca selawat Ibrahimiyyah yakni selawat yang dibaca sewaktu kita bertahiyyat. Selepas itu diangkat takbir ketiga dan disusuli dengan membaca doa ke atas mayat sekurang- kurangnya membaca *"Allahummaghfirlahu warhamhu" ertinya "Ya Allah ampunkanlah dosanya dan limpahkan rahmatmu keatasnya." Selepas itu diangkat takbir keempat diikuti dengan membaca *"Allahumma laa tahrimna ajrahu, walaa taftinna ba'dahu waghfirlana walahu" ertinya " Ya Allah janganlah kau halangkan pahalanya kepada kami dan janganlah kami diberi bala atau cubaan selepasnya dan ampunkanlah kami dan dia (si mati)". Selepas itu, memberi salam ke kanan dan ke kiri seperti salat-salat yang lain.

"Ya Allah jadikanlah akhir kehidupan kami dengan kebaikan dan rahmatmu dan jangan jadikan akhir hidup kami dengan keburukan dan kemurkaanmu". Amin.

* Pengganti nama "Hu" adalah untuk mayat lelaki, jika mayat wanita digantikan dengan pengganti nama "Ha".
(rujukan:http://www.muis.gov.sg/webpub/warita/warita9-96/panduan.html )

Sama dengan berjihad!

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, "Ya Rasulullah, saya ingin sekali berjihad, tetapi saya tidak mampu".
Jawab Rasulullah SAW, "Masih adakah salah seorang daripada orang tuamu?".
Lelaki itu menjawab, "Masih ada".
Kemudian Rasulullah SAW bersabda, "Jumpailah Allah SWT dengan berbakti kepada orang tuamu itu. Apabila engkau telah lakukannya, maka samalah engkau dengan telah berhaji, berumrah dan berjihad".

Saturday, October 30, 2010

Semut penenun

Allah SWT suruh kita lihat dan pelajari daripada kejadian atau penciptaanNya. Jika dibandingkan dengan kita, semut adalah makhluk kecil, lemah dan tak berakal. Namun, lihat cara hidup bermasyarakat koloni semut - aspek pengagihan tugas mengikut kemahiran masing-masingnya, komitmen serta ketelitiannya, semangat kerjasamanya. Jika kita boleh tanya semut, mungkin kita boleh tanya, "Dalam proses pembinaan sarang mereka, ada tak semut yang bahang pitih projek, bujet overrun, kronisma, curi tulang, rasuah, ali baba, tikam belakang, makan sorang, gosok belakang dan pijak rakan?".

Surah Al-Fil: Burung & Jet Pejuang?

Saya percaya ramai yang mengetahui kisah Allah SWT hantar tentera burung ababilNya untuk memusnahkan tentera bergajah Abrahah yang ingin meruntuhkan Kaabah. Dalam ayat 3-5 surah Al-Fil, Allah berfirman yang maksudnya, "dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong, yang melempari mereka dengan batu dari tanah liat yang dibakar, sehingga mereka dijadikanNya seperti daun-daun yang dimakan (ulat)". Sekarang, negara-negara Barat dilihat mempunyai angkatan tentera udara yang lebih kuat berbanding negara-negara Islam. Setiap kali mereka melancarkan serangan ke atas umat Islam seperti di Iraq dan Afghanistan, strateginya mereka hantar tentera udara berupa jet-jet pengebom dulu bagi melumpuhkan musuh. Tidakkah kita lihat orang-orang kafir ini menggunakan kekuatan umat Islam (iaitu Al-Quran) untuk memusnahkan umat Islam itu sendiri - dalam kes ini mempelajari dan mendalami surah Al-Fil, mengkaji burung Ababil yang bawa tanah liat yang dibakar, lalu mencipta jet pejuang yang mampu bawa bom! Malangnya, kita pula semakin jarang baca Al-Quran, jauh sekali nak kaji dan amalkan kandungannya.

Soal jawab Nabi SAW dengan Iblis

Nabi SAW: "Hai iblis! Jika umatku sembahyang kerana Allah, bagaimana hal engkau?".
Iblis: "Sebesar-besar kesusahan kepada hamba. Gementarlah badan hamba dan lemah tulang sendi hamba. Maka hamba kerahkan berpuluh-puluh iblis datang menggoda seorang manusia, pada setiap anggota badannya. Setengah-setengahnya datang pada setiap anggota badannya supaya malas sembahyang, was-was, terlupa bilangan rakaatnya, bimbang pada pekerjaan yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis solat, hilang khusyuknya - matanya sering menjeling ke kiri kanan, telinganya sentiasa mendnegar orang bercakap serta bunyi-bunyi yang lain. Sesetengah iblis duduk di belakang badan orang yang sembahyang itu supaya dia tidak kuasa sujud lama-lama, penat atau duduk tahiyyat dan dalam hatinya sentiasa hendak cepat habis sembahyang, itu semua membawa kepada kurang pahala. Jika para iblis itu tidak dapat menggoda manusia itu, maka hamba sendiri akan menghukum mereka dengan seberat-berat hukuman".

Nabi SAW : "Jika umatku membaca Al-Quran kerana Allah, apalah rasa engkau?"
Iblis: "Jika mereka membaca Al-Quran kerana Allah, maka rasa terbakarlah tubuh hamba, putus-putus segala urat hamba lalu hamba lari daripadanya".

(rujukan : Sirah kehidupan nabi SAW, sahabat & ahli hikmah, ustaz Abdul Salam Basok Al-Haj)

KAYA tapi BANKRAP

Guano pula ni? Kata Nabi SAW, di akhirat nanti si A terpaksa menyerahkan pahalanya kepada si B kerana semasa di dunia, si A membuat dakwaan palsu terhadap si B. Kemudian si A juga terpaksa menyerahkan pahalanya kepada si C kerana si A pernah mengambil hak si C dengan cara yang salah. Setelah pahala s...i A habis dan masih ada yang datang mengadu kepada Allah SWT tentang kesalahan si A kepada mereka, maka dipindahkan dosa para pengadu kepada si A. Malang sungguh si A - dah lah pahala habis diberikan kepada orang lain, dosa orang lain pula perlu ditanggungnya. Jadi, untuk mengelakkan kita jadi bankrap seperti si A di akhirat, elakkan dari memiliki akhlak yang tidak baik, menzalimi dan menyakiti orang lain.

Wednesday, October 27, 2010

Terdetik rasa gerun.....

Semasa sekolah rendah dulu, saya kagumi seorang rakan. Dia ketua pengawas. Peribadinya baik. Selepas ke sekolah menengah, kami terpisah. Saya tak pernah berjumpa rakan saya itu lagi sehingga ke hari ini. Dua bulan lepas, saya "terjumpa" beliau di facebook. Nostalgia bersamanya semasa sekolah rendah dulu kembali selepas tengok gambar-gambar beliau. Minggu lepas, saya "ziarah" lagi facebooknya.........beliau telah tiada........rakan saya telah kembali ke tempat yang kekal abadi, mengadap Allah SWT pada September 2010. Ayahnda dan ayahnda mertua saya juga sudah pulang ke rahmatullah. Kehilangan orang tersayang buat kita sedih dan tersentak. Tapi entah mengapa, pemergian sahabat saya tadi "mengetuk" kalbu saya secara berbeza sekali. Walaupun sudah lebih 30 tahun tak jumpa dan berbual dengan rakan saya tadi, pemergiannya buat saya banyak berfikir sebelum tidur...terdetik rasa gerun dalam hati! "Adakah aku akan bangun esok pagi?", "Bagaimana perjalanan selepas matiku?"....Allahuakbar! Semoga roh sahabat saya tadi ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Dia telah pergi dulu...Ya Allah! Pertemukanlah kami dalam syurgaMu...

Pujuk diri dengan ayat Allah

Bila kita mengalami masalah, hati jadi tak tenang, fikiran berserabut. Kita kena cari cara untuk tenangkan diri dan cara terbaik ialah kembali kepada Allah SWT. Baca Al-Qur'an dan amati ayat-ayat Allah. Yakinlah semuanya dalam pengetahuan Allah. Dalam surah Al-Baqarah, Ayat 155, Allah berfirman yang maksudnya, "Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar ".

Tuesday, October 26, 2010

JANGAN BENCI & HINA ORANG SOLEH/ALIM/ULAMAK

Jangan hina orang soleh/alim/ulamak. Mereka pewaris nabi. Kita? Mereka hafaz Al-Qur'an. Kita hafaz berapa juzuk? Mereka menitiskan airmata kerana Allah. Pernahkah kita? Orang tengok muka mereka jadi sejuk hati, orang tengok muka kita jadi serabut diri! Mereka sentiasa di depan jadi imam solat. Kita nak jadi imam kepada anak bini pun terketar-ketar. Orang berebut nak dekati orang soleh/alim,/ulamak, kita pula alpa mengkagumi orang lara (yang kewajipan asas seperti tutup aurat pun mereka tak buat). RUGILAH KITA JIKA TIDAK TERMASUK DALAM DOA ORANG SOLEH/ALIM/ULAMAK DEK SIKAP KITA YANG MEMBENCI MEREKA.

Akhlak pemimpin agung - Rasulullah SAW

Seorang pengemis Yahudi buta sentiasa memburuk-burukkan Nabi SAW di pasar dengan mengatakan Nabi SAW pembohong, orang gila dan tukang sihir. Namun, Nabi SAW tidak membalas kejahatan si pengemis Yahudi dengan kejahatan. Sebaliknya, setiap pagi sehingga baginda wafat, Nabi SAW menyuapkan makanan kepada si pengemis tanpa diketahui oleh pengemis tersebut. Setelah baginda wafat, Abu Bakar r.a. mendatangi si pengemis Yahudi tersebut dan menyuapkannya makanan sepertimana dilakukan Nabi SAW. Walaubagaimanapun, si pengemis perasan orang yang menyuapkan makanan kepadanya sekarang bukanlah orang yang biasa menyuapkan makanan kepadanya. Sipengemis mengatakan bahawa bila orang yang biasa menyuapkan makanan kepadanya, tidak susah tangannya memegang orang tersebut, tidak susah mulutnya mengunyah dan orang yang biasa menyuapnya sentiasa menyuapinya dengan lembut. Apabila diberitahu yang orang yang biasa menyuapinya sebelum ini sudah tiada dan dialah Muhammad SAW yang sentiasa dia hina, si pengemis menitiskan air mata, mengkagumi keperibadian Nabi SAW. Akhirnya, beliau mengucap syahadah di depan Abu Bakar r.a.
Kita kata kita umat Nabi SAW tapi sejauh mana kita ikut akhlaq baginda? Usahkan orang lain, ibu sendiri pun mungkin kita tak pernah suapkan makanan ke mulutnya. Nabi SAW balas penghinaan dengan kasih sayang, walaupun kepada orang yang bukan Islam. Kita pula, ibubapa membebel sikit (kerana sikap kita sendiri) pun, kita dah melenting dan pulaukan ibubapa. Jika kita tak berusaha mencontohi Nabi SAW, sanggupkah baginda mengaku kita umatnya?

Utusan...

Nabi Ya'kub meminta Malaikat Maut memberi warning sebelum mencabut nyawanya. Malaikat Maut bersetuju untuk menghantar beberapa utusan sebelum mencabut nyawa Nabi Ya'kub. Apabila Malaikat maut datang untuk mencabut nyawa Nabi Ya'kub, beliau telah bertanya mengapa Malaikat maut tidak menghantar utusan dulu seperti yang telah dijanjikan. Malaikat maut menyatakan yang tiga utusan dihantar kepada anak adam sebelum dia mati iaitu, (1)keputihan rambutmu yang sebelum ini berwarna hitam, (2)kelemahan tubuhmu yang sebelumnya kuat, (3) kebongkokan tubuhmu yang sebelum ini berdiri tegak.


Monday, October 25, 2010

Ubat

Kalau kita sakit, kita cepat-cepat makan ubat. Kuatnya kita bergantung kepada ubat hinggakan jika tak sakit pun kita simpan ubat di rumah, sekurang-kurangnya panadol. Selain daripada itu, "rapit"(dekat)nya kita dengan ubat hinggakan ada pesakit yang beritahu doktor dia nak ubat apa dan bukan sebaliknya. Ada orang yang terdesak hinggakan pantang dengar orang sebut ubat apa yang sesuai untuk penyakitnya, dia akan cari dan beli, kekadang tanpa usul periksa. Ubat ni biasanya pahit. Pun begitu, orang yang sakit akan cuba makan juga sebab dia nak sembuh dari penyakitnya. Malangnya, kita tak bersungguh cari "ubat" untuk penyakit rohani kita seperti malas beribadat, langgar perintah Allah, hasad dengki, dendam, amarah, khianat, adu domba, sombong, kedekut, umpat, bohong, tamak, mungkir janji dan sebagainya. Hakikatnya, penyakit rohani lebih parah dan perlu diubati berbanding penyakit fizikal kerana ia buat kita menderita sehingga ke akhirat. Antara contoh ubat untuk penyakit rohani ialah solat, zikir, baca Al-Quran dan dengar kuliah ilmu. Pelik tapi benar! Walaupun penyakit rohani lebih penting untuk diubati dan ubatnya tak semahal ubat untuk penyakit fizikal, kita buat tak cakna!

MAK kita...

MAK kita....
Bila kita sakit, siapa yang paling risau pasal kita? MAK!
Siapa yang paling tahu pasal kita? MAK!
Siapa yang bangun malam solat hajat untuk kita bila kita nak exam/temuduga? MAK!
Siapa yang pada bila-bila masa pun puji kita? MAK!
Bila nak kahwin, siapa yang kita beritahu dulu? MAK!

Tapi...
bila bahagia kita peluk suami/isteri kita, bila sedih kita peluk mak.
bila pergi melancong, kita bawa suami/isteri kita. Kita tinggalkan anak-anak kepada mak!
Ringkasnya, kita sentiasa ingat orang lain tapi MAK sentiasa ingat kita!

Walaupun kita begitu dengan MAK,……
MAK tak pernah merungut pada kita!
MAK tak pernah minta bayaran untuk kepayahan dia mengandungkan kita 9 bulan! Sakit melahirkan kita! Kesukaran berjaga malam untuk keselesaan kita! Untuk air mata yang menitis kerana kita!

Sementara mak masih ada....
sayangilah dia...
ziarahilah dia....
penuhilah hajat dia....
pimpinlah tangan dia…
sementara mata mak boleh melihat, tenunglah matanya…
sementara dia boleh mendengar, beritahulah yang kita sayangkan dia....

Jika mak sudah tiada......
doakanlah dia. Doakan kesejahteraan, kebaikan dan kerahmatan buat MAK....

Sebab apa? sebab dialah satu satunya MAK kita!

(rujukan: CD Ceramah Dato' Ustaz Shamsuri Ahmad)

Saturday, October 23, 2010

Tangguh pahala...

Cerita Rasulullah SAW: Suatu ketika, seorang raja zalim mendapat sakit yang amat berat. Diberitakan raja itu hanya dapat disembuhkan dengan makan ikan tertentu yang hanya timbul pada musim tertentu. Walaupun, ketika itu bukan musim ikan itu timbul, peliknya, ikan itu sangat mudah ditemui. Akhirnya, raja zalim tersebut sembuh! Pada ketika yang lain, seorang raja yang adil lagi dicintai rakyatnya jatuh sakit. Diberitakan raja itu hanya dapat disembuhkan dengan makan sejenis ikan yang banyak terdapat di permukaan laut dan mudah didapati. Peliknya, ikan yang sepatutnya mudah didapati, gagal ditemui walaupun segala kepakaran sudah digunakan. Akhirnya, raja yang adil itu meninggal dunia.

Para malaikat bertanyakan kepada Allah SWT mengapa Allah menemukan ikan yang sukar ditemui hingga raja yang zalim selamat manakala, Allah menyembunyikan ikan yang mudah ditemui hingga raja yang adil serta baik itu meninggal dunia. Allah SWT menyatakan bahawa raja zalim itu pernah buat suatu kebaikan. Jadi, Allah balas kebaikannya itu di dunia agar nanti bila dia mengadap Allah di akhirat, tiada lagi kebaikan yang dibawanya. Justeru, Allah akan tempatkannya di neraka paling bawah. Raja yang adil dan baik itu pula pernah buat salah kepada Allah. Jadi, Allah hukum dia dengan menyembunyikan ikan yang biasanya mudah didapati. Raja ini akan mengadap Allah dengan segala kebaikannya kerana kesalahannya telah dihukum oleh Allah di atas dunia.

Soalan Imam Ghazali untuk muridnya

Imam Ghazali menanyakan 6 soalan kepada murid-muridnya. Beliau membenarkan semua jawapan para muridnya. Namun, beliau memberikan jawapan yang paling tepat kepada semua soalan-soalannya.
  1. Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia? Jawapan yang paling tepat ialah MATI.
  2. Apa yang paling jauh daripada diri kita di dunia ini? Jawapan yang paling tepat ialah MASA LALU.
  3. Apa yang paling besar di dunia ini? Jawapan yang paling tepat ialah NAFSU (ia berada dalam diri dan begitu besar untuk kita melawannya).
  4. Apa yang paling berat di dunia ini? Jawapan yang paling tepat ialah AMANAH (ramai manusia yang masuk neraka kerana tidak dapat menjalankan amanah mereka).
  5. Apa yang paling ringan di dunia ini? Jawapan yang paling tepat ialah TINGGAL SOLAT (sesetengah orang dengan ringan hati tinggal solat, hanya disebabkan kerja kecil).
  6. Apakah yang paling tajam di dunia ini? LIDAH MANUSIA (ia sangat mudah melukai hati dan perasaan orang lain).

(Rujukan: Buku "Sirah kehidupan Nabi SAW, sahabat & ahli hikmah" oleh Ustaz Abdul Salam basok Al-Haj)

Wednesday, October 20, 2010

Kerjaya sebagai anak....

Jangan kita ingat kerjaya kita sebagai seorang anak ada cuti dan pencen!. Bila kita sendiri dah tua, dah ada anak cucu, kita "pindahkan" tanggungjawab ke atas ibubapa kita kepada anak-anak kita atau cucu-cucu kita atau adik-adik (misalnya, yang masih belum kahwin). Usia buat kita alpa yang kerjaya sebagai seorang anak tiada cuti & pencen, hatta ibubapa kita dah meninggal sekalipun.

Tidur

Ada orang yakin yang setiap kali dia tidur malam, dia akan celik mata pada keesokan harinya. Tidur adalah kiamat kecil. Kita "fragile" semasa tidur. Ada orang berdengkur sampai orang di luar rumahnya dengar tapi telinganya sendiri dekat hidung dan mulutnya, tak dengar. Kalau dengar pun, dia ingat orang lain yang berdengkur. Ada yang terlalu lena tidur sampai ada yang kata, "gi buang ke laut pun tak jaga si Mat ni!". Antara Sunnah-sunnah Nabi saw sebelum, ketika dan selepas tidur.

  1. Sebelum dan selepas tidur baca doa tidur.
  2. Jangan tidur menghadap kaki arah Qiblat. Ini adalah kedudukan tidur orang yang telah mati. Orang yang baca Tasbih Fatimah (iaitu, Subhanallah 33X, Alhamdulillah 33X dan Allahuakbar 33X), sekiranya dia mati malam itu, dia akan dikira sebagai mati syahid.
  3. Baca 4 Qul tiup ke tapak tangan dan sapu keseluruh badan untuk menghindarkan sihir dan niat jahat manusia.
  4. Niat untuk bangun Tahajjud. Sekiranya tidak terjaga, Allah swt akan mengira seolah-olah dia bertahajjud sepanjang malam.
  5. Ambil wudhu sebelum tidur dan Solat Sunat Taubat 2 rakaat.
  6. Maafkan semua kesalahan manusia pada kita dan halalkan semua hutang piutang sebelum tidur.
  7. Tidur cara Rasulullah saw dengan mengiring badan ke kanan dan tapak tangan di bawah pipi.

15 penyebab turun bala

Maksud hadis, daripada Ali bin Abi Thalib r.a., Rasullulah s.a.w. bersabda: “Apabila umatku membuat 15 perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka, iaitu:

  1. Apabila harta negara hanya beredar kepada orang tertentu.
  2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.
  3. Zakat dijadikan hutang.
  4. Suami turut kehendak isteri.
  5. Anak derhaka kepada ibunya.
  6. Anak suka berbaik-baik dengan kawan.
  7. Anak suka menjauhkan diri daripada ayah.
  8. Suara ditinggikan di dalam masjid.
  9. Ketua kaum adalah yang terhina di antara mereka.
  10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
  11. Arak diminum di merata tempat.
  12. Kain sutera banyak dipakai oleh lelaki.
  13. Artis jadi pujaan.
  14. Muzik banyak dimainkan.
  15. Generasi akhir umat ini melaknat serta menyalahkan generasi pertama iaitu sahabat Nabi SAW.

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau mereka akan diubah menjadi makhluk yang lain. (Hadis Tarmizi)

Tuesday, October 19, 2010

Apa kita nak kata jika....


(Minta dijauhkan oleh Allah SWT) Apa kita nak kata jika ucapan dalam grafik di atas dihamburkan kepada kita di Padang Mahsyar kelak? Dalam surah Al-Gasyiyah, ayat 2, Allah berfirman yang maksudnya, "Pada hari itu banyak wajah yang tertunduk terhina". Hinanya kita di depan Allah SWT, jika setelah berpuluh tahun kita dibenarkan hidup oleh Allah SWT dengan segala kenikmatan, kita hanya berjaya mengumpulkan amal kebajikan sedikit cuma (misalnya, seberat 3 kg atau 10 minit atau apa jua ukuran timbangan yang digunakan nanti). Masa tu, nak kembali semula untuk membetulkan kesilapan kita, dah terlambat! Allahuakbar! bayangkan keadaan kita ketika itu.....Untungnya kita ialah... sekarang kita masih berpeluang membaiki kesilapan. Al-Quran bukan sahaja mengandungi kisah lampau tetapi juga kisah yang akan berlaku di masa depan, selepas mati. Ambillah pengajaran dan perbetulkan sebelum terlambat!

Ciri pemimpin agung - Rasulullah SAW

Abi Talhah meriwayatkan, maksudnya: "Kami mengadukan kepada Rasulullah SAW tentang rasa lapar yang kami derita. Lalu kami memperlihatkan perut kami yang diganjal batu; masing-masing sebuah batu, kemudian Rasulullah SAW memperlihatkan perut beliau yang ternyata, diganjal dengan dua batu." ~ Riwayat Tirmidzi dan Abu Syekh.
Jauh sangat ciri pemimpin lo ni dengan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Seorang pemimpin boleh memilih untuk jadi lebih baik daripada mereka yang dipimpin sebab pemimpin berkuasa, berupaya dan berpengaruh. Namun, Rasulullah SAW tidak membuat pilihan itu. Berapa kerat pemimpin lo ni yang sanggup berkorban dan merasa apa yang rakyatnya rasa? Kalau hanya bercakap.... semua orang boleh bercakap! Yang ramainya, hanya jaga perut sendiri!. Sebab itulah, ramai daripada pemimpin sekarang, hanya didekati ketika mereka berada di tampuk kuasa. Bila dah tak ada jawatan, jumpa di kedai kopi pun orang tak tegur, dia ajak minum pun orang beri pelbagai alasan untuk tidak minum bersamanya, orang cepat-cepat beredar bila saja dia menghampiri, selisih kereta di jalan pun orang buat tak nampak! Malang sungguh jika ketika masih di dunia lagi kita sudah dihinakan oleh Allah SWT.

DERHAKA ibubapa DERHAKA

Cuba "cermin" diri kita sebagai ibubapa - adakah kita telah mendidik anak sebagaimana yang disuruh oleh Allah SWT? Sedih tengok ada ibubapa yang mencucurkan airmata mereka kerana anak gagal ke peringkat seterusnya program nyanyian realiti TV. Adakah ibubapa ini juga mencucurkan airmata jika anak mereka tak dapat membaca al-Quran dengan baik atau tak khatam al-Quran atau tidak mengamalkan apa yang terkandung dalam al-Quran? Islam kata kena didik anak dengan betul ikut syariat, dari kecil malah dari dalam kandungan. Kita pula kata, "Ah! kecil lagi. Tak apa lah....". Sedih tengok ada ibubapa yang bawa anak-anak mereka berjalan di bandar - pakaian serta penampilan sianak sampai kekadang kita keliru, "Ni anak orang Islam ke anak orang bukan Islam?".
Khalifah Umar al-Khattab pernah didatangi oleh seorang ayah yang mendakwa anaknya anak derhaka. Apabila ditanya Umar, sianak berkata adakah dia yang menderhaka sedangkan ayahnya tidak memberikan nama yang baik kepadanya dan dia tidak pernah diasuh dengan didikan Islam. Mendengar hujah sianak, Umar pun berkata kepada siayah, "kamulah yang lebih menderhaka kepada anak kamu". Antara tanggungjawab ibubapa kepada anak ialah beri nama yang baik kepada anak, ajar Al-Quran serta adab sopan Islam, dan cari isteri yang baik untuk anak.

Monday, October 18, 2010

Mendamaikan pihak yang bergaduh

Bila tiada kesepakatan, komunikasi serta tolak ansur, maka jadilah macam dalam gambar di atas. Dalam kontek rumahtangga, tiada kesepakatan, komunikasi dan tolak ansur buat hubungan suami isteri rosak. Nabi SAW mengatakan yang hubungan suami isteri yang rosak ialah pencukur nikmat kebahagian rumahtangga. Kata nabi SAW lagi, sesiapa yang mendamaikan suami isteri yang bergaduh atau mana-mana dua pihak yang bergaduh akan mendapat pahala lebih besar daripada pahala puasa sunat, solat sunat dan sedekah sunat. Subhanallah!

Manusia sombong, degil, ego & takabbur

Allah SWT tunggu kita minta ampun kepadaNya. Malam, Allah buka tanganNya nak terima taubat orang yang berdosa pada waktu siang. Siang, Allah buka tanganNya nak terima taubat orang yang berdosa pada waktu malam. Malangnya manusia ini sombong, degil, ego & takabbur - tak mengaku salah walaupun dengan Allah SWT. Buat dosa tapi tak minta ampun dengan Allah SWT. (rujukan: Dato' Ustaz Shamsuri Hj. Ahmad)

Saturday, October 16, 2010

KITA & SYAITAN

Dulunya syaitan amat patuh kepada Allah SWT. Dikatakan tiada tempat di mukabumi ini tidak disentuh oleh dahi syaitan yang sentiasa sujud kepada Allah SWT. Syaitan juga menjadi imam kepada para malaikat. Namun, keangkuhannya yang tidak mematuhi arahan Allah SWT untuk sujud hormat kepada Adam, telah menjadikannya makhluk yang kufur terhadap Allah SWT. Jangan sampai kita macam syaitan - rasa hebat diri, angkuh dan tidak patuh kepada suruhan serta larangan Allah SWT...

Sujud Sajadah

Ada beberapa ayat dalam Al-Quran yang disunatkan kita sujud selepas membacanya (samada di luar atau di dalam solat). Ayat sebegini biasanya ditandakan dengan simbol masjid. Misalnya, semasa solat subuh pagi Jumaat, imam biasanya baca surah As-Sajadah. Selepas membaca ayat ke-15 dalam surah As-Sajadah, imam akan terus sujud tanpa rukuk dan diikuti oleh makmum. Selepas sekali sujud, terus bangkit berdiri dan menyambung semula bacaan Surah As-Sajadah sehingga akhir surah. Sujud Sajadah adalah sunat Mu'akad iaitu sunat yang digalakkan melakukannya. Bacaan semasa sujud ini ialah seperti di bawah tapi jika tak ingat memadai dengan baca tasbih macam semasa sujud biasa.
"sajada wajhiya lillazii kholaqohuu wa syaqqa sam'ahuu wa basorahuu bihaulihii wa quwwatihii fatabaarokallahu ahsanul kholiqiin".

Ertinya: "Aku bersujud dengan wajahku kepada Dzat yang telah merupakan dan menciptakannya, dan menciptakan pendengaran dan penglihatannya dengan kekuatan-Nya. Maha memberkati Allah, sebaik-baik Pencipta."

Lihatlah ke bawah...

Kita mungkin sentiasa "mendongak" dan tak pernah "lihat ke bawah". Akibatnya, kita sering mengeluh, merintih, merasakan diri serba kekurangan dan orang lain sentiasa lebih/beruntung, yang membuatkan kita tidak bersyukur kepada Allah SWT. Kita asyik mengeluh sebab kereta kita kecil manakala kereta jiran pula besar. Kita tak rasa pula betapa bernasib baiknya kita ada kereta kecil manakala setengah orang bawa isteri serta anak dua tiga orang atas motosikal di waktu hujan turun. Kita asyik mengeluh kerana resdung buat hidung suk sek suk sek tiap-tiap pagi sementara hidung rakan lain sunyi sepi. Kita tak rasa pula betapa bernasib baiknya kita hanya dapat resdung sementara ada orang yang dah berbulan terlantar di hospital, kaki patah/perut ditebuk/makan minum ikut saluran paip yang disumbat melalui hidung/pakai pampers saiz dewasa/belakang dah berkudis sebab lama terlantar, dan sebagainya. Cipta kaedah sendiri untuk didik diri jadi hamba yang sentiasa bersyukur. Contohnya, pergi ke hospital walaupun tak sakit atau tiada saudara mara/kenalan untuk diziarahi - perhatikan keadaan dan gelagat orang di bahagian kecemasan selama 30 minit.

Wednesday, October 13, 2010

Rumahkubur

Ada dua dalam satu - bingkainya rumah, dalamnya kubur! Jangan jadikan rumah kita macam kubur - solat tak pernah didirikan di dalamnya ataupun kalau didirikan pun bermusim, ayat-ayat Allah pula tak pernah dibaca di dalamnya. Nabi SAW solat sunat di rumah dan solat fardhu secara berjemaah di masjid/surau. Jika rumah besar, usahakan untuk solat di setiap sudut dalam rumah itu. Jangan biarkan satu satu bilik atau sudut itu sunyi daripada zikir kepada Allah. Rumah itu sendiri pun kalau boleh jangan ditinggalkan lebih daripada seminggu. Ada rumah kecil saiznya tapi tenang, sejuk dan terasa ingin tinggal lama di dalamnya. Ada rumah besar saiznya tapi tak tenang berada di dalamnya, rasa serabut dan rasa panas punggung mengunjunginya. Sebab itulah mungkin sesetengah orang tak lekat di rumah sendiri.

Bonzai

Pokok bonsai dalam gambar ni, saya beli lama dah. Biasalah, sekali ombak melanda, sekali pantai berubah! Masa orang sibuk cakap pasal bonsai, saya pun sibuk nak ada bonsai. Bila orang dah sunyi sepi, bonsai kita pun terbiar di satu sudut, tidak terjaga! Mungkin inilah salah satu sikap negatif manusia – hangat-hangat tahi ayam! Jaga bonsai ini rumit dan "mmetek" (bahasa orang Kelante yang bermaksud teliti). Itupun, jika kita nak kekalkan dia dengan status quonya, renek dan kiut! Kena trim hari-hari, dari peringkat awal lagi. Jika tidak, ianya akan membesar liar tidak mengikut bentuk yang kita kehendaki. Boleh ke ia tumbuh ikut bentuk yang kita nak? Bolehhhh…kita boleh bentuknya dengan menggunakan dawai (lihat dalam gambar). Dawai berfungsi sebagai panduan tetapi janganlah pula hanya letak dawai selepas 20 tahun beli! “Dah terlambat!”, kata orang. Dalam kes saya ni, dah lama tak tengok dan jaga bonsai ni. Daun-daunnya dah merimbun tanpa dapat dilihat bentuknya lagi serta batangnya dah keras, sukar dibentuk. Baru-baru ni, semasa nak ambil gambar, saya terpegang batangnya, aduhhhhhhh…ada duri rupanya! Masa awal-awal beli dulu, ia masih kecil dan tiada duri.
Didik anak-anak pun ibarat macam jaga bonzai lah. Kena mmetek, dari peringkat awal, tak boleh dibiarkan saja dan mesti ada bimbingan/panduan. Anak buat salah, kena tegur. Jika perlu, beri hukuman setimpal dengan kesalahan. Bila anak buat baik, hargai. Komunikasi kena ada - antara anak dengan ibubapa, dan juga antara suami isteri. Ada orang sibuk cari harta hingga lupa umur anak. Sedar-sedar, anak dah masuk sekolah menengah, dah masuk universiti!. Ada suami yang serahkan 100% tanggungjawab penjagaan dan pendidikan anak kepada isteri. Dia ingat bila dah beri pitih bulan-bulan, tanggungjawab terlaksana. Bila anak dah sekolah menengah baru nak dekat, nak ajak berbual - dah terlambat! INGAT PITIH BUKAN SEGALANYA. MALAH SALAH RENCANA, BOLEH MEROSAKKAN ANAK.

Tuesday, October 12, 2010

Hebatnya Syurga Allah.....

Rujukan-Dato'Hasan Din (Tanyalah Ustaz, TV9,Rabu 13/10/2010)

Hebatnya syurga Allah SWT. Tak perlu lagi buat amal ibadat. Syurga tempat penghuninya menikmati hasil taat kepada Allah SWT di dunia. Bila berada di dalamnya, apa nak semua dapat. Sebut saja! Semua penghuninya muda dan cantik. Dikelilingi pula bidadari-bidadari. Kenikmatan di syurga berkekalan. Seorang makan di syurga macam 200 orang makan di dunia ini. Allahuakbar! Bila makan, sisanya keluar melalui bulu roma. Sekali keluar, baunya wangi macam kasturi. Satu hari tertentu, penghuni syurga berpeluang mengadap Allah SWT. Orang di depan sekali akan duduk di atas kerusi yang diperbuat daripada cahaya.
Namun, nak masuk syurga bukan senang. Jangan kita yakin dapat masuk syurga hanya dengan sedikit amalan. Yang membolehkan kita ke syurga bukan amal tapi rahmat Allah SWT. Pun begitu, untuk mendapat rahmatNya, amalan dan ketaqwaan mesti ada...
Kata Abu Bakar As-Siddiq, "Kalau sebelah kaki aku ada dalam syurga pun, aku tak yakin aku boleh masuk". Kata Umar Al-Khattab, "Kalau ada orang kata yang semua manusia boleh masuk syurga melainkan seorang sahaja masuk neraka, aku yakin yang seorang itu aku".

Damainya bersamaMu Ya Allah....

Sunday, October 10, 2010

Ibubapa oh ibubapa!

Masa saya kecik dulu, kalau orang kampung murih (i.e., marah) kepada kita sebab main dalam baroh ke, mandi sungai ke, kita tak berani nak "report" kepada ayah. Sebab apa? Sebab ayah pasti menangkan orang kampung - dia bedal kita dengan tali pinggang atas belakang dulu, kemudian baru tanya sebab apa orang kampung murih. Jadi, kita takut nak buat perangai - orang kampung macam "ayah dan mak" kita jugok! Samalah halnya dengan cikgu di sekolah. Usahlah cadang nak minta simpati dengan ayah ibu bila cikgu rotan kita di sekolah. B aik diam saja bila balik rumah sebab kalau tidak, dapat satu lagi bbilo (i.e.,"line") atas belakang! Anak zaman sekarang, kalau cikgu jentik telinga sikit sebab kita buat salah pun, balik cerita kepada mak bapak. Kemudian, tanpa usul periksa, mak bapak serang cikgu di sekolah. Kalau tidak dengan C4 pun, guna mulut. Kena ingat, mulut senjata paling tajam! MUNGKIN SEBAB ITULAH AGAKNYA, ORANG DULU DULU WALAUPUN MAK BAPAK TAK NGAJI TINGGI, ANAK-ANAK MEREKA JADI ORANG!
Berkaitan hal ni, nak kongsi satu kisah - sekumpulan pelajar sekolah asrama (pasangan, 3 lelaki & 3 perempuan), tipu warden, tak balik rumah masa hari minggu tetapi ke sebuah resort. Di resort, tipu lagi dengan beritahu pemiliknya yang nak 3 bilik untuk program sekolah selama 1 hari. Dapat masuk bilik, petangnya bercanda di tepian pantai. Malamnya, pemilik resort rasa tak sedap hati, telefon cikgu sekolah. Menyedari ada aktiviti maksiat, serbuan dibuat dan 3 pasangan tadi tertangkap. Pihak sekolah maklum kepada ibubapa masing-masing. Ibubapa datang sekolah dan "serang" pihak sekolah, terutamanya warden (perempuan) yang terlibat dalam operasi menangkap para pelajar terbabit. Kata ibubapa, "Mengapa cikgu sibuk-sibuk pasal anak saya? Kan semua itu dibuat di luar kawasan sekolah dan selepas waktu sekolah? Saya akan saman cikgu dan sekolah!".
APA PANDANGAN ANDA? Kepada para guru yang terlibat, saya ucapkan SYABAS & TAHNIAH! Anda telah buat perkara betul - di zaman ramai orang lupa Allah, anda sahut seruan Allah untuk amalkan nahi mungkar ini. Anda telah jalankan tanggungjawab anda sebagai pendidik dengan betul. Teruskanlah...... Kepada para ibubapa yang memenangkan anak mereka yang melakukan maksiat,.....(buat masa ini, saya tiada kata-kata sesuai buat mereka!).

Bila salam tak wajib dijawab?

BILA SALAM TAK WAJIB DI JAWAB? (rujukan: Dato' Hasan Din, TV Oasis, 11/10/2010)

  1. Ucapan salam imam di akhir solat - ucapan salam ini bukan untuk makmum tapi untuk makhluk-makhluk Allah yang lain.
  2. Salam daripada orang kafir.
  3. Salam diucap selepas ucapan-ucapan lain dilafazkan.
  4. Salam diucap berniat mempermainkannya - misalnya, kumpulan anak muda yang bertenggek di tepi jalan, apabila melihat anak dara melintas, mengucapkan, "Assalamualaikuuuum! nak gi mana tu cik adik? Tak jawab berdosa..."

    Ucapan salam paling sempurna, "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh", tanpa ditambah.

Mu apa sibuk?




Saturday, October 9, 2010

AKHIR ZAMAN/TANDA KIAMAT!

Dikongsi di sini 2 daripada beberapa tanda kiamat yang dinyatakan dalam ceramah Dato’ Ustaz Shamsuri Alias berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW, riwayat Bukhari & Muslim, dan Abu Hurairah).

1. Emas & perak tiada nilai.
Bumi memuntahkan emas & perak sebesar tiang. Semua jadi kaya kerana emas keluar dari laman belakang rumah. Tiada lagi yang berkehendakkan emas kerana terlampau banyak. Menjelang kiamat, tiada megah lagi memakai emas, tiada tamakkan emas lagi, pencuri pun tak terliur emas, kerana masing-masing ada emas…

2. Kemunculan Dajjal, Yakjuj & Makjuj.
Nabi SAW sangat kasihkan umatnya dan tidak mahu kita terpedaya dengan dakyah Dajjal – baginda bagi kita tips pengenalan pasal Dajjal. Dajjal seorang orang muda, bermata satu, berambut kerinting. Bila Dajjal muncul di muka bumi, dia akan musnahkan semua benda terutamanya aqidah orang dengan menyuruh orang kata dia tuhan. Dajjal dikatakan akan muncul di kawasan Sham & Iraq. Bila dia tunjuk ke langit, hujan turun. Dia tunjuk ke bumi, bumi jadi subur. Dia belah budak muda, terbelah dua, dibaling jauh-jauh, dipanggil balik dan bertangkup semula. Kemudian dia tanya,”betul ke tidak aku Tuhan?”. Dajjal ini amat mengelirukan. Nabi SAW menyuruh kita sentiasa mantapkan dan tetapkan iman. Jika ditakdirkan umur panjang dan jumpa Dajjal, bacalah awal surah al-Kahfi. Pesan Nabi SAW lagi, “Wahai hamba Allah, tetaplah pendirian kamu bila Dajjal ini datang!”. Dajjal akan tinggal selama 40 hari di muka bumi – ada hari yang 1 hari rasa macam setahun, ada hari yang 1 hari rasa macam sebulan, ada hari yang 1 hari rasa macam 1 minggu. Demikianlah ujian Allah kepada orang yang sempat hidup masa Dajjal itu. Dia akan sampai semua tempat, kecuali Mekah & Madinah. Dalam masa Dajjal membuat kerosakan di muka bumi, Nabi Isa a.s. diturunkan untuk membunuh Dajjal. Nabi Isa a.s akan muncul di Timur Damsyik. Kata Nabi SAW, bau nafas Nabi Isa a.s., wangi dan boleh dicium sejauh mata memandang. Bila orang kafir tercium, mati mereka serta merta. Pertama sekali, Nabi Isa a.s. akan pergi jumpa orang-orang yang menolak Dajjal, lantas mengusap kepala mereka dan berkata, “Tempat kamu di Syurga!”. Nabi Isa a.s. membunuh Dajjal berdekatan Baitulmaqdis. Perlu diingat bahawa bangkitnya Nabi Isa a.s adalah mengikut syariat Nabi Muhammad SAW.

Kemudian, Allah SWT arahkan Nabi Isa a.s. cepat-cepat bawa orang beriman naik satu bukit kerana Allah nak hantar makhluk Yakjuj & Makjuj. Kata Allah, tiada makhluk boleh kalahkan Yakjuj & Makjuj. Yakjuj & Makjuj hanya boleh dikalahkan dengan azab Allah SWT. Setelah Nabi Isa a.s dan orang-orang beriman berdoa ke hadrat Allah SWT, Allah SWT timpakan penyakit hidung binatang ke atas Yakjuj & Makjuj. Mati bergelimpanganlah Yakjuj & Makjuj disebabkan azab Allah ini hingga dikatakan, nak cari sejengkal tanah tanpa bangkai Yakjuj & Makjuj pun susah. Kemudian Allah SWT hantar burung sebesar leher unta & hujan untuk bersihkan bumi daripada bangkai Yakjuj Makjuj. Teringat kita kisah burung ababil yang dihantar oleh Allah untuk lawan tentera Abrahah yang ingin meruntuhkan Kaabah. Kemudian, manusia kembali hidup dengan keadilan dan kedamaian. Tiba-tiba datang angin baik yang bertiup lembut, menyelinap masuk di bawah ketiak orang yang ada iman dalam hati mereka. Maka, mati semua mereka itu – kecil, besar, tua, muda. Jika ada iman walau sebesar zarah, akan mati juga mereka itu. Maka tinggallah di muka bumi orang yang jahat dan kafir. Manusia kembali jadi karut, macam binatang – kerbau, lembu, kambing! Keadaan jadi cukup kotor - kemaksiatan berlaku di jalanraya. Orang jadi tak malu lagi, dirogol semuanya tanpa mengira bini orang, saudara, ibu, cucu dan sebagainya. Orang tak sebut nama Allah SWT lagi. Ketika itulah, datangnya KIAMAT.

Hubungan dengan ibu & ayah

HUB UNGAN ANAK DENGAN IBU & AYAH MELEBIHI NILAI PITIH DI DUNIA INI.
Janganlah dek wang ringgit, putus hubungan kita dengan ibubapa, adik-beradik dan keluarga.

Tekasilangkata 1


Wednesday, October 6, 2010

Doa diteguhkan iman & mati dalam iman

Jika sehingga kini, kita insan yang sentiasa taat perintah Allah, kita tidak boleh yakin bahawa kita akan terus berada di landasan yang betul sehingga akhir hayat kita. Semuanya terserah kepada Allah SWT. Justeru, kita perlu secara konsisten berdoa kepada Allah agar tidak dibalikkan hati kita setelah kita diberi petunjuk, agar iman kita teguh utuh hingga akhir hayat kita dan kita mati dalam Islam dan Iman, bukannya dalam kekufuran. Teringat saya kisah seorang ahli ibadat yang tinggal di tingkat atas sebuah bangunan dan seorang ahli maksiat di tingkat bawah bangunan yang sama. Disebabkan telah lama buat kebaikan, terdetik dalam hati ahli ibadat untuk buat maksiat macam sahabatnya, si ahli maksiat. Si ahli maksiat pula, kerana telah lama buat maksiat, terdetik dalam hatinya untuk bertaubat dan buat kebaikan macam sahabatnya, si ahli ibadat. Ahli ibadat menuruni tangga untuk berjumpa sahabatnya ahli maksiat dan memepelajari bagaimana nak buat maksiat. Ahli maksiat pula, menaiki tangga untuk bertemu sahabatnya ahli ibadat dan mempelajari bagaimana nak bertaubat dan buat kebaikan. Takdir Allah, sebelum keduanya bertemu, mereka meninggal dunia. Diberitakan, siahli ibadat masuk Neraka dan siahli maksiat masuk Syurga. Allahuakbar!

Antara doa berkaitan yang boleh diamalkan:

"Ya Allah yang memutarbalikan hati. Tetapkanlah hatiku pada jalan agama-Mu".


MANUSIA BILA KAYA....

SESIAPA YANG LEBIHKAN DUNIA DARIPADA AKHIRATNYA, ALLAH AKAN JADIKAN KEFAKIRAN ANTARA 2 MATANYA - tak pernah rasa cukup! Ada RM2000, tak cukup! Ada RM3000 tak cukup! Ada RM10, 000 tak cukup! Ada berapa pun tak cukup! Ada banyak dah tapi masih tamak, maka bertungkus lumus cari wang. Hati tak tenang. Misalnya, balik rumah, bini hina. Bini kata, "Apalah abang ni. kaya saja je. Orang sebelah tu beli kereta sport baru untuk bini dia. Abang bagi apa kepada saya?".
TANDA ORANG YANG LEBIHKAN DUNIA - celik mata, buat hal dunia. Contoh, bangun pagi tak mengucap zikirullah dan solat subuh, tapi jogging, beri makan ternakan, buka kedai/perniagaan, dan sebagainya. Hari-hari hanya fikir dunia, dunia, dunia! Islam tak halang cari dunia tapi jangan sampai jadi hamba dunia (lupa akhirat)!.

ILMU & HARTA. Kata Sayyidina Ali, "ilmu lebih baik daripada harta". Ilmu akan jaga kita tapi harta, kita yang kena jaga ia. Orang ada harta akan habiskan masa jaga hartanya dan tamak cari lagi harta.
(rujukan: CD Ceramah Ustaz Shamsuri Alias)

SABAR DENGAN UJIAN (SAKIT) ALLAH SWT

Mungkin ujian yang satu ini Allah khaskan buat kita untuk Dia anugerahkan kita syurgaNya. Justeru, jangan kita bersangka buruk kepada Allah SWT atas ketentuanNya. Hadapilah kesukaran sekarang demi kesenangan di hari kemudian. Allah janjikan syurgaNya buat mereka yang bersabar dengan ujian hidup di dunia….

Saya kongsi analogi mudah di sini - kita sedang memandu laju di jalan yang lurus. Tiba-tiba ada bongkol di depan yang memaksa kita brek untuk memperlahankan kenderaan. Sebaik melepasi bongkol, kita lihat ada seekor anak lembu sedang melompat-lompat, galak ke tengah jalan. Kita pun terfikir, "nasib baik aku sedang bergerak perlahan. Kalau laju tadi, tak tahulah apa jadi....". Manusia biasanya lupa dan alpa bila berada dalam sihat dan senang. Allah SWT sayangkan kita sebab itu dia bagi kita sakit dan pelbagai lagi ujian. Harapannya, sakit buat kita kembali dekat kepada Allah. Sakit halang kita dari melakukan aktiviti maksiat yang mungkin atau biasa kita lakukan. Sakit buat kita sedar yang kita lemah. Sakit buat kita sedar yang kita ada anak isteri, adik beradik serta ibubapa. Kekadang, sihat dan senang buat kita lupa yang mereka itu wujud!

Pengakuan Syaitan!

Kita sedang berkonvoi dengan rakan ke tempat kenduri. Kita ikut keretanya kerana anggap dia tahu jalan – keretanya dipandu lancar ! Dah lama memandu tapi tak sampai juga ke tempat kenduri. Bila telefon tanya, dia kata dia tak tahu jalan. Padanlah tadi rasa macam salah jalan je…tapi kita ikut juga ! Nak marah rakan tu pun tak guna. Dia memang tak tahu jalan. Yang salahnya kita….salah ikut orang !. Manusia dengan syaitan pun gitu juga - syaitan itu sesat lagi menyesatkan, dan syaitan pun mengaku (rujuk Firman Allah di bawah). Malangnya, masih ramai yang sudi jadi pengikutnya !

Maksud Firman Allah SWT: Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar, dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya". Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya. ~ surah Ibrahim, Ayat 22