Friday, November 11, 2011

Jalan keluar...

Pernahkah anda berada dalam keadaan yang amat sukar, samada dari aspek kewangan, hubungan, kekeluargaan, kerjaya dan sebagainya?. Bila berada dalam keadaan sebegini, kepada siapa anda berkongsi keperitan dan memohon bantuan? Adakah Allah swt termasuk dalam senarai? Adakah Dia yang pertama didekati atau yang terakhir?

Firman Allah swt bermaksud,

At-Talaq [2] ……dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),

At-Talaq [3] Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Jika anda memenuhi prasyaratnya seperti taqwa dan berserah bulat-bulat kepada Allah, insyaallah anda akan lihat kenyataannya kerana Allah menepati janjiNya. Cuma yang bermasalahnya, sentiasa di pihak kita selaku hambaNya.

Seorang rakan berkongsi kisahnya. Beliau perlu membuat pembayaran upah pembinaan rumahnya namun kekurangan wang. Wang tuntutan pinjaman pula tidak diketahui bila akan diterima. Yang pasti, wang tuntutan pinjaman tidak dijangka diterima pada minggu itu kerana tuntutan baru dibuat. Sehingga pagi hari yang perlu dibayar upah tersebut, rakan tadi masih buntu kerana wang bayaran upah masih jauh daripada mencukupi. Selepas solat subuh pagi tersebut, beliau ke mesin ATM untuk melihat baki akaunnya. Alangkah terkejut bila mendapati wang tuntutan pinjaman telah dimasukkan ke dalam akaunnya. Tiga minggu selepas peristiwa itu, beliau berada di keadaan yang sama - wang tidak mencukupi untuk membayar upah. Kali ini, beliau pasti yang wang tuntutan pinjaman tidak akan diterimanya kerana ianya baru dibayar pada tiga minggu lepas. Sehari sebelum pembayaran upah perlu dibuat, adiknya datang ke rumah dan tiba-tiba menawarkan untuk memberinya pinjam duit. Kata adiknya, "Saya tak guna duit tu lagi. Kalau abang nak pinjam bolehlah". Kebiasaannya, jarang orang ingin bagi pinjam duit walaupun diminta, walaupun kaum keluarga atau kenalan rapat. Bila rakan tadi menanyakan kepada adiknya mengapa ingin baginya pinjam duit, jawab adiknya, "Entahlah. Saja rasa nak bagi abang pinjam. Lagipun, saya tak guna lagi duit itu".

Apa yang dapat dipelajari di sini ialah, Allah boleh datangkan bantuan secara terus kepada kita ataupun melalui orang lain. Tingkatkan ketaqwaan dan keyakinan kita kepada Allah dengan mengamati apa yang berlaku kepada kita dan orang lain.


No comments:

Post a Comment