Pada 25/10/2011, penyakit gout saya datang lagi. Sebelah kaki bengkak, berminyak dan merah macam udang bakar. Jalan pun, “heret kaki”. Isteri dan anak-anak kata saya berjalan macam zombi (the walking dead). Gout dah jadi ‘sahabat yang tak dialu-alukan’ saya sejak 6 tahun lepas. ‘Tak dialu-alukan’ sebab sakitnya bukan kepalang – jika hujung kain pelikat terkena di tempat bengkak, rasanya macam hirisan pisau tajam!. Umumnya, kita tak suka penyakit sebab ia menyakitkan dan menyusahkan. Kita lupa yang sakit, seperti juga sihat, semuanya daripada Allah. Dalam Al-Qur’an, Allah menyatakan bahawa ada hikmah di sebalik kejadianNya dan Dia tidak membebankan hambaNya dengan apa yang tidak dapat ditanggung oleh hambaNya. Kita juga diberitahu bahawa muslim sejati akan menganggap sihat dan juga sakit, baik untuknya. Jika sihat, ‘Alhamdulillah’ terucap dimulutnya. Jika sakit, dia ucap ‘Innalillahiwainnailahirajiun’, reda serta sabar menghadapinya. Walaupun sukar, kita kena berusaha untuk menikmati sakit – apabila ditimpa penyakit, tidak mengeluh, tidak bersangka buruk terhadap Allah dan jadikan ia peluang untuk kita mendekatkan diri kepada Dia, Tuhan Yang Maha Esa. Kali ini saya berazam untuk menjadikan gout saya ini ‘sahabat yang dialu-alukan’. Lihat sakit dari perspektif berbeza:
- Sakit buat mulut menyebut, “Allahhhhhhh….Allahhhhhhh….”. Susah kita nak tengok orang yang sedang sakit berada dalam keadaan gembira dan ketawa, “kah!kah!kah!”?. Sihat/senang/selesa mudah buat kita lupa diri, lupa sebut nama Allah, lupa untuk "tunduk"....
- Masa sakit, nak berjumpa orang atau bercakap pun malas. Justeru, sakit telah menjauhkan kita daripada dosa berkaitan mulut dan telinga seperti mengumpat, memaki hamun, memfitnah, berbohong, menipu dan sebagainya.
- Masa sakit, tiada kehendak untuk berhibur atau pergi ke tempat keramaian. Biasanya langkah jadi panjang ketika sihat - ada orang masuk Giant/Mydin/Megamall pagi dan keluar malam hingga terlewat atau terlepas waktu solat, dan sebagainya.
- Selera makan kurang atau terus hilang bila sakit. Sakit telah mengelak kita daripada membazir dengan makan melebihi keperluan dan buat kita akur yang selera makan anugerah Allah yang tidak boleh dibeli dengan duit. Makanan laut dan daging sudah bertahun tak jadi hidangan di rumah saya. Terimakasih kepada isteri dan anak-anak yang berkorban demi saya. Tapi, bila saya outstation, mereka merdeka! merdeka! merdeka!. Pernah satu hari, ketika berada di Shah Alam kerana menghadiri mesyuarat, anak saya telefon dan terrrrr…sebut,
“Abah! Tadi ummi beli udang besarrrrrrr….best!! ummi masak mee goreng, Banyak udang daripada mee!”.
- Masa sakit, kita kenal hospital/klinik – beri peluang untuk melihat walau seteruk manapun kita, ada lagi orang lain yang lebih teruk keadaan mereka. Kita jadi lebih bersyukur dan sedar betapa ruginya kita yang mensia-siakan nikmat sihat. Sakit menyedarkan kita yang kita lemah. Dua tahun lepas, saya pernah kena gout di kedua-dua belah kaki. Nak ke tandas, isteri dan anak-anak usung. Subhanallah!.
No comments:
Post a Comment