Monday, December 26, 2011

Dipuji & dikeji

JAGA DIRI KITA AGAR TIDAK JADI ORANG YANG HANYA SUKA DIPUJI. ORANG MUKMIN MENERIMA SEMUANYA SAMADA DIPUJI ATAU DIKEJI. BILA DIPUJI, IANYA DIKEMBALIKAN KEPADA ALLAH. BILA DIKEJI, IANYA DIGUNAKAN UNTUK MEMBETULKAN DIRI SENDIRI.

Bersiap...

Setiap hari kita bersiap untuk dunia kita - bersiap nak ke tempat kerja, bersiap nak ke kenduri, bersiap nak pergi bercuti, bersiap nak balik kampung, bersiap nak jumpa bos, bersiap nak pergi exam., bersiap nak menerima tetamu. Malaikat Maut mengintai kita 70 kali sehari. Malangnya, kita kurang bersiap untuk bertemu Allah swt.

Pesanan Luqman Al-Hakim

Hai anakku, seandainya ibubapamu marah kepadamu karena kesalahan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

Ujian...

Tanamkan dalam diri kita, setiap ujian yang dihadapi ada jalan penyelesaian dan ada perkara baik yang Allah swt nak anugerahkan kepada kita.

Hidup akhirat...

WALAU SEHEBAT MANA PUN KEHIDUPAN DI DUNIA, TAK MAMPU MENANDINGI KEHEBATAN KEHIDUPAN DI AKHIRAT...jadi janganlah kita kejar dunia sehingga tinggal akhirat.

Monday, December 19, 2011

SKT

Sasaran Kerja Tahunan (SKT) adalah elemen penting dalam Sistem Penilaian Prestasi pegawai Perkhidmatan Awam. Awal tahun dulu, isi borang dengan maklumat apa sasaran yang nak dicapai pada tahun ini. Akhir tahun ni, isi maklumat aktiviti yang dibuat sepanjang tahun. Nanti ada pegawai yang menilai kita, samada menepati KPI yang ditetapkan ataupun tidak. Jadi, orang sibuk "korek" maklumat aktiviti yang dibuat sebab ada yang dah lupa. Yang penting, nak tunjuk kita buat kerja, bagus dan menepati sasaran...

"SKT" kita sebagai hamba Allah macam mana?. Pernah kita letak sasaran di awal tahun tentang aktiviti kita untuk tingkat ketaqwaan kepada Allah swt?. Akhir tahun pula, pernah ke kita ambil masa untuk muhasabah diri - adakah aktiviti kita sepanjang tahun ini menepati sasaran kita iaitu "Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam".

Sunday, December 18, 2011

"nisbah 2:1"

Allah swt beri kita telinga 2, tangan 2, kaki 2 dan mulut 1 - kalau ikut nisbahnya, kena banyak dengar serta buat dan kurangkan bercakap. Malangnya, kita banyak bercakap daripada mendengar atau praktikkan. Di akhirat nanti, mulut kita yang banyak bercakap semasa di dunia ini akan diam membisu. Sebaliknya, anggota lain (yang diam membisu semasa di dunia), pula akan berkata-kata memberikan pengakuan mereka...

Saturday, December 17, 2011

Bersalah, rugi, dengki...

Jika kita sedang makan di kedai atau berjalan-jalan di pasar malam pada waktu Maghrib, apa kita rasa bila dengar azan berkumandang di masjid/surau?. Apa kita rasa apabila melihat orang sedang menadah kitab di masjid? Kita sepatutnya rasa bersalah, rasa rugi dan rasa dengki.......Jika kita tak rasa apa-apa, ambil langkah cepat "berubat" sebab kita sudah "berpenyakit"!

Tuesday, December 13, 2011

Ibarat satu badan


Bila kaki kita tersepak batu, biasanya bagaimana reaksi anggota badan yang lain? Mulut akan kata sesuatu. Tangan akan gosok tempat sakit. Mata akan mengalirkan airmata dan muka berkerut kerana menahan sakit.Hidung pun kekadang nak turut serta - mengeluarkan air hidung!. Ini menepati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Orang-orang mukmin itu ibarat satu tubuh/jasad, apabila satu anggota badan sakit, maka seluruh tubuhnya ikut merasakan sakit demam dan tidak dapat tidur." (HR. Muslim)

ADAKAH KITA DAN MASYARAKAT SEPERTI "ORANG YANG KAKINYA TERSEPAK BATU" ATAU MENEPATI HADIS RASULULLAH SAW DI ATAS? MALANGNYA, YANG BIASA DILIHAT IALAH "SUSAH TENGOK ORANG SENANG ATAU SENANG TENGOK ORANG SUSAH", TIKAM BELAKANG, PIJAK KEPALA RAKAN....

Monday, December 12, 2011

Siapa yang tak nak masuk Syurga?

BILA ORANG KATA, "TAK NAK MASUK SYURGA KE?", KITA MUNGKIN MARAH! SIAPA YANG TAK NAK MASUK SYURGA? PERSOALANNYA, ADAKAH TINDAKAN KITA DAPAT MEREALISASIKAN UNGKAPAN MULUT KITA.

Daripada Abu Hurairah r.a. : Sabda Rasulullah s.a.w. : “ Semua umatku masuk ke syurga, kecuali mereka yang enggan. ” Mereka (sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w) : Dan siapakah yang enggan itu? , Sabdanya s.a.w : “Barangsiapa yang mentaatiku, nescaya masuklah ia ke dalam syurga, dan barangsiapa yang derhaka padaku, maka dialah yang enggan…” – Riwayat al-Bukhari

Apa sumbangan kita?

Ambil iktibar daripada kisah burung kecil yang berusaha gigih memunggah air dengan paruhnya untuk memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim.
Walaupun dikatakan usahanya itu sia-sia, siburung tekad dengan usahanya kerana katanya dia lebih takut jika ditanya Allah tentang sumbangannya kepada Islam di akhirat nanti.

MUHASABAHLAH DIRI KITA...
BAGAIMANA DENGAN KITA?
APA SUMBANGAN KITA KEPADA ISLAM?
MALANG LAH KITA JIKA DENGAN SEGALA KEMAMPUAN YANG DIANUGERAHI ALLAH, KITA TIDAK MENYUMBANG APA-APA KEPADA ISLAM.
CELAKA LAH KITA JIKA KITA ANTARA ORANG YANG MERUNTUHKAN ISLAM...MENJAUHKAN ORANG LAIN DARIPADA ISLAM....MEMBURUKKAN ISLAM...MENGHALANG PERKEMBANGAN ISLAM..

Sunday, December 11, 2011

...kerana kehebatan aku!



Dan demi sesungguhnya! Jika Kami beri dia merasai sesuatu RAHMAT dari Kami sesudah ia ditimpa sesuatu kesusahan, berkatalah ia (dengan sikap tidak bersyukur): "Ini ialah hakku (hasil usahaku semata-mata), dan aku tidak fikir bahawa hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sekalipun), sudah tentu aku akan beroleh kebaikan di sisiNya (seperti kesenanganku sekarang ini)!" Maka demi sesungguhnya! Kami akan memberi tahu kepada orang-orang yang kufur ingkar itu akan keburukan apa yang mereka telah kerjakan, dan Kami akan beri mereka merasai azab seksa yang seberatberatnya. (Fussilat: 50)

Aqidah yang mantap

Ingat kisah seorang budak penjaga kambing dengan Khalifah Umar?. Khalifah Umar menguji keimanan sibudak dengan memohon untuk membeli kambing yang dipelihara oleh sibudak tanpa diketahui oleh tuannya. Sibudak menolak walaupun selepas didesak dengan mengatakan bahawa walaupun tuannya tak nampak,Tuhannya dan Tuhan Umar iaitu Allah swt nampak. Subhanallah! RAMAI KAH LAGI MEREKA YANG MEMPUNYAI AQIDAH YANG MANTAP SEPERTI YANG DIMILIKI OLEH BUDAK INI DI ZAMAN KITA?

Monday, December 5, 2011

"GPS"



Gunakan Al-Qur'an dan As-Sunnah sebagai "GPS kehidupan". Hanya dengan keduanya kita tidak akan "sesat" jalan.

"KPI"


Zaman ini orang sibuk dengan Key Performance Indicator (KPI). KPI digunakan sebagai kayu ukur penilaian prestasi aktiviti, jabatan atau organisasi. Ada pengurusan universiti yang menetapkan KPI "2 penulisan bagi setiap pensyarah" pada tahun ini. Ada organisasi yang menetapkan KPI "tiada rungutan pelanggan" bagi tahun ini.Kita mungkin berusaha sedaya mungkin untuk memenuhi KPI yang ditetapkan majikan. Tidak kurang yang merasa tertekan....

Bagaimana dengan KPI yang ditetapkan oleh Allah swt?. KPI solatnya - 5 waktu solat wajib, solat sunat rawatibnya, solat malamnya?. KPI puasa dalam setahun? sebulan? seminggu? Jangan sampai KPI Allah swt tersasar dalam usaha kita merealisasikan KPI manusia.

Sunday, December 4, 2011

Sementara masih ada peluang....

Hari minggu yang lepas, balik Machang "nawat" (ziarah) keluarga sebelah Wan ambo. Anak mereka, arwah Alif, pelajar tgkt. 3 MRSM Kuala Krai, mati lemas di sungai Ghetak Semen Machang. Semalam, terima pula berita Adam, kawan sekerja yang sedang mengikuti pengajian PhD di UUM dimasukkan ke ICU Hospital Sg. Buloh dan keadaannya kritikal. Hari ini, seorang lagi rakan sekerja yang sedang mengikuti pengajian PhD memberitahu tentang ibunya yang baru sahaja menjalani rawatan kimo kerana sakit barah. ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR!. Hebatnya cubaan mereka dan ahli keluarga masing-masing hadapi. Semua ini membuatkan saya menitiskan air mata.......nafas saya sebak memikirkan ini. Saya takut! Saya betul-betul takut!. Dia boleh "jemput" kita bila-bila masa saja tapi adakah kita sudah bersedia?. Betapa banyaknya nikmat kurniaan Allah yang sedang kita nikmati. Betapa beruntungnya kita masih bernafas dan merasai nikmat sihat ketika ini. Namun, mengapa kita masih alpa dan leka? Kita berterusan diberi peluang...dari kecil sehingga sekarang...berpuluh tahun sudah! Orang kata peluang jika tak diambil akan hilang. Entah bagaimanalah keadaan kita nanti?. Betapa lemahnya kita....yang pasti, giliran kita pasti tiba!. YA ALLAH! AKHIRILAH HIDUP KAMI DALAM PENGAKHIRAN YANG BAIK. JANGANLAH ENGKAU AKHIRI HIDUP KAMI DALAM PENGAKHIRAN YANG BURUK.

Tuesday, November 29, 2011

Berpenyakit....

Masa sakit, makan tak berselera. Hulur nasi biryani ayam madu atau apa saja makanan kegemaran pun, geleng kepala. Kalau makan pun hanya sesuap. Bukannya tak tahu yang makanan tu sedap tapi mulut rasa pahit dan tak berapa boleh telan.

Begitulah juga dengan orang yang tak suka/liat nak solat, malas bersedekah, menjauhi rumah Allah dan majlis ilmu, susah nak tolong orang, dedah aurat, ingkar hukum hakam Allah swt. Bukannya tak tahu ganjaran yang dijanjikan Allah swt untuk hambanya yang bertaqwa. Orang begini sebenarnya berpenyakit....

Saturday, November 26, 2011

Kita derhaka dan sesat bila buat pilihan....

Allah swt telah membuat banyak ketetapan kepada hambaNya untuk dipatuhi seperti tutup aurat, solat dan berhukum dengan hukumNya. Bila mana kita membuat pilihan untuk tidak mematuhi ketetapanNya, seperti tidak menutup aurat, tidak solat dan tidak berhukum dengan hukum ciptaanNya, kita telah jadi hamba yang derhaka dan sesat. Firman Allah yang bermaksud,

Dan tidaklah pantas bagi laki-laki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada pilihan (yang lain) bagi mereka tentang urusan mereka. Dan barang siapa menderhakai Allah dan RasulNya, maka sungguh, dia telah tersesat, dengan kesesatan yang nyata. ~ Al-Ahzab, ayat 36.

Hijrah....

Jalan ikhlas....

Jika kita ikhlas nak buat, insyaallah Allah swt permudahkan. Dia akan bukakan jalan.....Sebaliknya, jika kita memang tak nak, Allah swt sukarkan. Jalannya jadi berhalangan....
  • Kes 1 - jika kita ikhlas nak balik kampung untuk ziarah atau berbakti kepada ibu/bapa yang keseorangan, insyaallah Dia akan temukan kita dengan ruang masa walaupun dalam kesibukan. Pitih bukan jadi masalah walaupun "poket kosong", pemanduan jadi lancar dan selamat walaupun hujan ribut, dan perjalanan jauh dirasakan sekejap tanpa lesu mudarat. Sebaliknya, jika kita memang tiada kehendak, kesibukan boleh tiba-tiba datang, kereta yang selalunya elok tiba-tiba 'buat hal', dan macam-macam jadi halangan.
  • Kes 2 - jika kita ikhlas nak bangun pagi dan pergi solat Subuh berjemaah di masjid/surau, insyaallah Dia permudahkan. Tak kunci jam loceng pun boleh tiba-tiba terjaga tepat pada masanya, air pili yang dingin tak jadi masalah. Sebaliknya, jika kita memang tak nak, jam loceng besar pintu dengan gegaran sekuat bom C4 pun tiada kesan.

Tuesday, November 22, 2011

Kena jawab....

Pernah dipanggil oleh bos? Kita jadi tertekan bila dipanggil oleh bos walaupun kita tak tahu sebab apa kita dipanggil. Kadang-kadang bila kawan sepejabat atau setiausaha bos beritahu, "Bos nak jumpa awak", kita dah rasa tak senang duduk. Banyak perkara berlegar-legar di fikiran, "sebab apa bos nak jumpa aku?", "Aku dah buat silap ke?", "Bos nak tanya aku apa ya?", "Guano kalau aku tak boleh jawab apa yang bos tanya?".

Kita tahu yang Bos kepada segala bos, iaitu Allah swt, boleh "panggil" kita anytime, anywhere, samada kita bersedia atau tidak. Kita kerap kali terima makluman melalui email organisasi tentang rakan staf yang "dipanggil" Allah. Bila lihat umur mereka, ramai yang seusia atau lebih muda daripada kita. Kita sepatutnya sudah panas punggung....

Rasulullah saw memberitahu kita tentang soalan-soalan yang perlu kita jawab di hadapan Allah swt nanti. Sabda Baginda yang bermaksud,

kaki manusia pada hari Kiamat tidak berganjak dari sisi Tuhannya sehingga ditanya tentang empat perkara:

1) tentang umurnya untuk apa dia pergunakan,
2) tentang usia mudanya untuk apa dia habiskan,
3) tentang hartanya dari mana dia peroleh dan untuk apa saja dibelanjakan, dan
4) tentang ilmunya untuk apa diamalkan.

Persoalannya, adakah kita takut memikirkan tentang hal ini? Adakah kita sibuk "menyediakan jawapan" kepada soalan-soalan bocor ini?

Dalam hubungan kita dengan bos di pejabat tadi, takut bukan dalam ertikata kunci pintu bilik, off telefon bimbit atau diam tanpa buat apa-apa....takut di sini dalam ertikata kita bekerja sebaik mungkin dan cuba menepati kualiti yang dikehendaki bos. Dalam hubungan dengan Allah swt, kita berusaha untuk jadikan taqwa pakaian kita dalam menjalani setiap apa jua aktiviti kehidupan. Insyaallah dan kita berdoa agar kita dapat menjawab semua persoalan dengan baik.

"CCTV"

Kalau kita lihat ada CCTV di tempat kita berada, tentunya kita tak buat tingkahlaku buruk. Takut perbuatan tak baik kita dirakam, kita dikenalpasti, ditangkap dan akhirnya dihukum. Malah, kita cuba perelokkan keadaan kita seperti cara berjalan, betulkan pakaian dan sebagainya. Walaupun CCTV tu sebuah alat dan bukan manusia, kita rasa macam diperhatikan.

Allah kata Dia tugaskan 2 malaikat untuk merekod segala perbuatan dan percakapan manusia semasa hidup di dunia.
Allah swt berfirman yang bermaksud,

"Tiada satu ucapan pun yang diucapkannya, melainkan ada padanya Malaikat pengawas yang selalu hadir" (Qaf: 18)

"Dan sesungguhnya bagi kamu ada (Malaikat-malaikat yang mengawasi (pekerjaanmu). Yang mulia (disisi Allah}) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu). Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan" (Al-Infitar: 10-12).

Kita kata kita percaya kepada Allah & Al-Qur'an. Mengapa ayat-ayat Allah tiada kesan kepada kita. CCTV manusia lebih memberi kesan kepada kita daripada "CCTV" Allah swt.

Monday, November 21, 2011

MEMBERI & MENERIMA

Kelmarin, isteri dan anak saya ke sekolah untuk hantar borang kemasukan ke tingkatan 1. Rupa-rupanya kena beli setem dan sampul surat. Isteri dan anak saya ke kedai untuk beli setem dan sampul surat. Beli extra setem dan sampul surat untuk kawannya. Tiba di sekolah, tersilap beli sampul surat pula.... - sekolah nak yang warna putih. Ke kedai semula untuk beli sampul surat warna putih.

Semasa nak buat pembayaran sampul surat warna putih, sipenjual kata,
"saya beri percuma saja sampul surat putih ni sebab ada sedikit bintik-bintik hitam".

Isteri saya kata kepada anak saya,
"sebab Hadi sedekah sampul surat kepada kawan tadi, Allah buka hati sipenjual untuk beri Hadi percuma sampul surat warna putih".

Sunday, November 20, 2011

Kesan pinggirkan Islam....



Barat maju fizikalnya tapi akhlak masyarakatnya runtuh. Kita ada pilihan untuk bangunkan anak-anak, keluarga dan masyarakat ikut acuan Islam. Malangnya, kita pilih cara Barat. Tidak kah kita belajar daripada keruntuhan kerohanian masyarakat barat. Jika kita tinggalkan islam dan ikut cara Barat, kesan yang menimpa mereka pasti juga menimpa kita. Hanya masa yang menentukan....

Hidup & Mati

Jaga mereka yang menjagamu....

Friday, November 18, 2011

Hidup bersama ibubapa di usia emas mereka (3)

- kepada yang mengambil tanggungjawab menjaga ibu/bapa di usia emas mereka, jangan sampai terkeluar dimulut, "serik doh!, letih doh!, biar orang lain jaga lah pulok!". Ungkitan boleh membatalkan pahala. Ketidaksabaran juga boleh menjerumuskan kita kepada kederhakaan. Bersabarlah....bersabarlah dengan bau mereka yang tidak menyenangkan....paip air yang mereka lupa tutup...rengetan mereka yang umpama kanak-kanak. Kerana apa? Kerana mereka pernah bersabar dengan kita sewaktu kita kecil!

Hidup bersama ibubapa di usia emas mereka (2)

Jika kita mengelak daripada memikul tanggungjawab menjaga orang tua di usia emas mereka, tidak bermakna hidup kita akan senang. Allah swt itu Maha Mengetahui dan Maha Adil. Kita mungkin 'terjerat' dalam permasalahan lain seperti mertua yang sakit, pasangan yang sakit, anak-anak yang sakit atau diri sendiri yang sakit. Masa dan ketikanya mungkin berbeza...yang terbaik, selaku seorang anak, pikul tanggungjawab menjaga orang tua dengan penuh pasrah. Mungkin ujian hidup bersama orang tua di usia emas mereka yang menjadi satu-satunya peluang untuk kita menjejakkan kaki ke SyurgaNya.

Hidup bersama ibubapa di usia emas mereka (1)

Peluang untuk hidup bersama ibubapa di usia emas mereka merupakan satu anugerah yang jarang anak-anak sedari. Kebanyakannya anggap ia beban.

Friday, November 11, 2011

Hidup dunia yang singkat

Minggu lepas, saya balik kampung bersama keluarga untuk tempoh 2 hari. Semasa mengemas pakaiannya, anak saya yang berumur 12 tahun berkata,

“Abah! Tak payah bawa pakaian banyak lah dok sebab kita nak balik kampung sekejap je. Cuti sekolah ni baru bawa banyak pakaian sebab nak balik lama”.

Kanak-kanak pun tahu iaitu persiapan sepatutnya selari dengan tempoh – tempoh singkat, persiapan sepatutnya ala kadar. Tempoh lama, persiapannya barulah hebat.

Dalam surah Al-Mu’minun, ayat 112 hingga 114, Allah berdialog tentang tempoh kehidupan di dunia yang singkat:

  • Dia (Allah) berfirman, “Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?” (112)
  • Mereka menjawab, “Kami tinggal (di Bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada mereka yang menghitung.” (113)
  • Dia (Allah) berfirman, “Kamu tinggal (di Bumi) hanya sebentar saja jika kamu benar-benar mengetahui.” (114)

Ironinya, walaupun kehidupan di dunia ini singkat dan kehidupan di akhirat never ending story, ramai daripada kita buat persiapan hebat untuk dunia dan ala kadar untuk akhirat.

Jalan keluar...

Pernahkah anda berada dalam keadaan yang amat sukar, samada dari aspek kewangan, hubungan, kekeluargaan, kerjaya dan sebagainya?. Bila berada dalam keadaan sebegini, kepada siapa anda berkongsi keperitan dan memohon bantuan? Adakah Allah swt termasuk dalam senarai? Adakah Dia yang pertama didekati atau yang terakhir?

Firman Allah swt bermaksud,

At-Talaq [2] ……dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),

At-Talaq [3] Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Jika anda memenuhi prasyaratnya seperti taqwa dan berserah bulat-bulat kepada Allah, insyaallah anda akan lihat kenyataannya kerana Allah menepati janjiNya. Cuma yang bermasalahnya, sentiasa di pihak kita selaku hambaNya.

Seorang rakan berkongsi kisahnya. Beliau perlu membuat pembayaran upah pembinaan rumahnya namun kekurangan wang. Wang tuntutan pinjaman pula tidak diketahui bila akan diterima. Yang pasti, wang tuntutan pinjaman tidak dijangka diterima pada minggu itu kerana tuntutan baru dibuat. Sehingga pagi hari yang perlu dibayar upah tersebut, rakan tadi masih buntu kerana wang bayaran upah masih jauh daripada mencukupi. Selepas solat subuh pagi tersebut, beliau ke mesin ATM untuk melihat baki akaunnya. Alangkah terkejut bila mendapati wang tuntutan pinjaman telah dimasukkan ke dalam akaunnya. Tiga minggu selepas peristiwa itu, beliau berada di keadaan yang sama - wang tidak mencukupi untuk membayar upah. Kali ini, beliau pasti yang wang tuntutan pinjaman tidak akan diterimanya kerana ianya baru dibayar pada tiga minggu lepas. Sehari sebelum pembayaran upah perlu dibuat, adiknya datang ke rumah dan tiba-tiba menawarkan untuk memberinya pinjam duit. Kata adiknya, "Saya tak guna duit tu lagi. Kalau abang nak pinjam bolehlah". Kebiasaannya, jarang orang ingin bagi pinjam duit walaupun diminta, walaupun kaum keluarga atau kenalan rapat. Bila rakan tadi menanyakan kepada adiknya mengapa ingin baginya pinjam duit, jawab adiknya, "Entahlah. Saja rasa nak bagi abang pinjam. Lagipun, saya tak guna lagi duit itu".

Apa yang dapat dipelajari di sini ialah, Allah boleh datangkan bantuan secara terus kepada kita ataupun melalui orang lain. Tingkatkan ketaqwaan dan keyakinan kita kepada Allah dengan mengamati apa yang berlaku kepada kita dan orang lain.


Tinggal solat....

Kalau di usia muda dulu solat asyik 'terbabas' saja, bagaimana dengan di usia sekarang?. Jibril memberitahu nabi Musa bahawa dosa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja tanpa penyesalan lebih besar daripada seribu kali berzina. Amat malang jika setelah sekian lama hidup kita masih meremehkan hal solat.

Wednesday, November 9, 2011

Usia tua...

Kita pernah dengar ‘ibu seorang dapat jaga 10 orang anak tapi anak 10 orang belum tentu dapat jaga ibu seorang’. Seorang kenalan berkata, “eh! Anak-anak saya dok gitu!”. Kenalan saya itu masih belum pencen dan sihat walafiat. Setiap kali cuti panjang, beliau bersama isteri akan ke KL menziarahi anak-anaknya kerana ke semua anak-anaknya bekerja dan tinggal di KL. Kadang-kadang ke KL sebab anak panggil suruh jaga cucu sebab anak nak pergi bercuti bersama keluarganya. Bagi saya ukuran sebenar kejayaan ibubapa mendidik anak-anak hanya bermula ketika ibubapa berada di usia tua.....

.......usia di mana pasangan sudah tiada (untuk diajak berbual, mengadu hal dan menjadi pendengar setia), telinga sudah tak dengar (asyik berdengung dan berdesing), mata dah kurang nampak (gosok berkali-kali pun masih rasa berhabuk/berpasir/berkabus dan tulisan nampak pecah-pecah/tak sharp), makan pun asyik terlekat dan minum pula asyik jeli’ (tersedak), sukar untuk tidur malam dan tak genero (lena), badan-badan sentiasa rasa lenguh-lenguh dan kebas, bernafas pun asyik tak lepas, jalan dua tiga langkah dah tercungap-cungap, pegang secawan air pun tangan terketar-ketar, takut kepada kegelapan (tidur malam suruh anak cucu buka lampu), air paip yang sejuk rasa macam cucukan pisau tajam jika terkena badan, bila bercakap anak cucu kata, “ayah/mak/atuk/nenek ni asyik cakap benda sama”, nak berjalan terpaksa berpaut kiri dan kanan.

Di ketika sebegini, adakah anak-anak yang 10 orang itu berebut untuk menjaga ibubapa atau memberi pelbagai alasan dan “tolak-menolak” sesama mereka untuk tidak menjaga ibubapa?.

Raudhah...

Allah swt itu Maha Adil. Hanya kita yang gagal memahaminya. Kita sentiasa ukur keadilan daripada kacamata atau perspektif kita sendiri. Kita hamba yang daif dan sentiasa dangkal ilmu. Peluang sentiasa dihulur untuk hambaNya yang ingin mengambilnya. Kita rasa kecewa kerana tidak berpeluang ke Taman Syurga (Raudhah) dalam masjid Nabawi di Madinah. Namun, adakah kita mengambil peluang untuk ke Taman-taman Syurga (Raudhah) di negara kita Malaysia, di kampung kita, di kawasan taman perumahan kita, di sebelah rumah kita? Rasulullah s.a.w menyuruh kita singgah apabila melintasi taman-taman syurga dan mengatakan bahawa taman-taman syurga itu ialah majlis zikir/ilmu. Tanya diri hubungan kita dengan majlis ilmu. Adakah kita rasa rugi tidak menghadirinya? Adakah kita hanya hadir bila diajak, ada masa lapang, sebab orang lain semua pergi atau bagaimana? Bila kali terakhir kita hadir majlis ilmu? Jika kita bos syarikat atau organisasi, pernah ke kita anjurkan majlis ilmu di syarikat atau organisasi dan arahkan semua pekerja hadir?

Tuesday, November 1, 2011

Menikmati sakit!

Pada 25/10/2011, penyakit gout saya datang lagi. Sebelah kaki bengkak, berminyak dan merah macam udang bakar. Jalan pun, “heret kaki”. Isteri dan anak-anak kata saya berjalan macam zombi (the walking dead). Gout dah jadi ‘sahabat yang tak dialu-alukan’ saya sejak 6 tahun lepas. ‘Tak dialu-alukan’ sebab sakitnya bukan kepalang – jika hujung kain pelikat terkena di tempat bengkak, rasanya macam hirisan pisau tajam!. Umumnya, kita tak suka penyakit sebab ia menyakitkan dan menyusahkan. Kita lupa yang sakit, seperti juga sihat, semuanya daripada Allah. Dalam Al-Qur’an, Allah menyatakan bahawa ada hikmah di sebalik kejadianNya dan Dia tidak membebankan hambaNya dengan apa yang tidak dapat ditanggung oleh hambaNya. Kita juga diberitahu bahawa muslim sejati akan menganggap sihat dan juga sakit, baik untuknya. Jika sihat, ‘Alhamdulillah’ terucap dimulutnya. Jika sakit, dia ucap ‘Innalillahiwainnailahirajiun’, reda serta sabar menghadapinya. Walaupun sukar, kita kena berusaha untuk menikmati sakit – apabila ditimpa penyakit, tidak mengeluh, tidak bersangka buruk terhadap Allah dan jadikan ia peluang untuk kita mendekatkan diri kepada Dia, Tuhan Yang Maha Esa. Kali ini saya berazam untuk menjadikan gout saya ini ‘sahabat yang dialu-alukan’. Lihat sakit dari perspektif berbeza:

  • Sakit buat mulut menyebut, “Allahhhhhhh….Allahhhhhhh….”. Susah kita nak tengok orang yang sedang sakit berada dalam keadaan gembira dan ketawa, “kah!kah!kah!”?. Sihat/senang/selesa mudah buat kita lupa diri, lupa sebut nama Allah, lupa untuk "tunduk"....
  • Masa sakit, nak berjumpa orang atau bercakap pun malas. Justeru, sakit telah menjauhkan kita daripada dosa berkaitan mulut dan telinga seperti mengumpat, memaki hamun, memfitnah, berbohong, menipu dan sebagainya.
  • Masa sakit, tiada kehendak untuk berhibur atau pergi ke tempat keramaian. Biasanya langkah jadi panjang ketika sihat - ada orang masuk Giant/Mydin/Megamall pagi dan keluar malam hingga terlewat atau terlepas waktu solat, dan sebagainya.
  • Selera makan kurang atau terus hilang bila sakit. Sakit telah mengelak kita daripada membazir dengan makan melebihi keperluan dan buat kita akur yang selera makan anugerah Allah yang tidak boleh dibeli dengan duit. Makanan laut dan daging sudah bertahun tak jadi hidangan di rumah saya. Terimakasih kepada isteri dan anak-anak yang berkorban demi saya. Tapi, bila saya outstation, mereka merdeka! merdeka! merdeka!. Pernah satu hari, ketika berada di Shah Alam kerana menghadiri mesyuarat, anak saya telefon dan terrrrr…sebut,

“Abah! Tadi ummi beli udang besarrrrrrr….best!! ummi masak mee goreng, Banyak udang daripada mee!”.

  • Masa sakit, kita kenal hospital/klinik – beri peluang untuk melihat walau seteruk manapun kita, ada lagi orang lain yang lebih teruk keadaan mereka. Kita jadi lebih bersyukur dan sedar betapa ruginya kita yang mensia-siakan nikmat sihat. Sakit menyedarkan kita yang kita lemah. Dua tahun lepas, saya pernah kena gout di kedua-dua belah kaki. Nak ke tandas, isteri dan anak-anak usung. Subhanallah!.

Sunday, October 30, 2011

Tanda hati sakit

Suratkhabar vs. al-Qur'an

Yang biasanya....yang sepatutnya....

Tanya diri sejauh mana kita sanggup mendoakan kesejahteraan orang lain, secara umum ataupun khusus. Jika sampai ke pengetahuan kita yang ada jiran atau kenalan atau orang yang kita biasa nampak tapi tak berapa kenal, jatuh sakit, adakah kita akan mendoakannya agar segera sembuh?. Setelah sekian lama penderitaan rakyat Palestin sampai ke telinga kita, pernahkah kesejahteraan mereka termasuk dalam doa persendirian kita?

Dari Abu Ad-Darda, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) tanpa sepengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata, “Dan bagimu juga kebaikan yang sama.” (HR. Muslim no. 4912)

Doa malaikat mustajab. Justeru, beruntunglah kita jika mereka mendoakan kita. Mereka akan mendoakan kita apabila kita mendoakan orang lain.

Saturday, October 29, 2011

"Konvokesyen"

Pada 29 November 2011, saya menghadiri konvokesyen universiti. Para VVIP/VIP ditempatkan di atas pentas, yang di kiri kanannya terdapat dua skrin besar. Berada dalam khalayak ramai bersama-sama para ibubapa dan graduan, memberi peluang kepada saya untuk melihat dengan jelas apa yang berlaku di atas pentas utama. Seramai lebih 300 graduan bagi sidang yang saya hadiri – mereka siap sedia berbaris di sebelah tepi dewan, berjalan seorang demi seorang menaiki pentas apabila nama mereka dipanggil, menerima skrol daripada Pro Canselor sambil tunduk sedikit tanda hormat, mengukir senyum untuk diambil gambar oleh para jurugambar, kemudiannya berjalan turun daripada pentas. Seorang rakan pensyarah di sebelah saya berbisik, “Aduh! 300 lebih….lama ni….keras punggung ni”.

Saya kata, “Sekejap je kot sebab mereka sudah siap sedia berbaris, ambil skrol dan beredar…..tak perlu berucap dan sebagainya!”.

Terfikir saya bagaimana agaknya suasana ‘konvokesyen’ kita di Padang Mahsyar nanti. Kalau lebih 300 orang, kita dah rasa rimas dan tidak selesa menunggu, bagaimana dengan bilangan yang merangkumi umat nabi Adam a.s. hinggalah umat akhir zaman iaitu umat nabi Muhammad s.a.w. Berapa ramai manusia tu?. Semuanya berhimpun menunggu penghakiman Allah s.w.t. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan. Semasa konvokesyen di universiti tadi, kami ditempatkan dalam dewan yang berhawa dingin. Dikhabarkan di Padang Mahsyar nanti matahari hanya sejengkal di atas kepala. Allahuakbar!. Sebelum memasuki dewan, kami ditempatkan dalam bilik ‘transit’.

Semasa dalam bilik ini, seorang sahabat bergurau dengan saya, ‘Nazif, lawa topi. Boleh pinjam?’.

Saya kata, ‘Boleh! Boleh!. Tapi nanti bagi baliklah sebab saya pun pinjam (daripada HEA)!. He..he...".

Di akhirat nanti, semua manusia dibangkitkan dalam keadaan bertelanjang, belum berkhatan dan hina. Namun, pada masa itu tiada perasaan malu sebab setiap orang sibuk dan kalut dengan hal sendiri hingga tidak terfikir tentang hal orang lain.

Nama setiap graduan disebut dan dipamerkan di skrin besar. Saya perasan setiap kali nama graduan atau bapanya yang pelik disebut atau dipamerkan di skrin, ada reaksi spontan daripada hadirin. Di akhirat nanti, kita akan dipanggil dengan nama panggilan kita di dunia. Melihat kepada keadaan di konvokesyen, baru saya faham, “apa ada pada nama?”. Bagaimana jika nama kita yang bunyinya pelik, ditambah dengan tiada apa-apa makna atau mempunyai makna yang buruk (dari perspektif Islam) di sebut? Antara tanggungjawab ibubapa ialah memberikan nama yang baik kepada anak mereka. Kalaupun diberikan nama yang baik, ada yang tidak dipanggil dengan nama yang baik itu. Misalnya, nama “Zaki” mempunyai maksud yang baik iaitu ‘cerdik’, dipanggil sebagai Z. Yang bernama Fatimah (nama anak Rasulullah s.a.w), dipanggil pula Fetty. Ianya mungkin kecil, tapi percayalah bahawa ianya signifikan – panggilan ibubapa kepada anak adalah doa dan doa ibubapa kepada anak-anak adalah antara doa yang dimakbulkan. Bayangkan ‘doa’ ibubapa kepada anak mereka setiap kali dipanggil ‘Zaki!, Zaki!, Zaki! (iaitu, Cerdik! Cerdik! Cerdik!) berbanding ‘Z!Z!Z! (iaitu, ?!?!?!).....

Bagi graduan cemerlang, anugerah yang diterima dinyatakan dan biasanya tepukan gemuruh diberikan untuk mereka ini. Di skrin, di hujung nama graduan yang mendapat anugerah cemerlang (seperti anugerah Naib Canselor, Dekan, dll.), akan diletakkan dua atau tiga bintang (**/***). Di akhirat nanti, mereka yang cemerlang kerana menepati "KPI" Allah semasa hidup di dunia akan dapat layanan istimewa. Misalnya, ada 7 golongan "VVIP" yang akan mendapat perlindungan Allah daripada kesengsaraan di Padang Mahsyar. Setiap perlakuan manusia akan ‘ditayangkan’. Ada ‘playback’. Setiap tindak tanduk kita di dunia ada ‘CCTV’ - Allah menugaskan dua malaikat, Raqib dan Atid untuk mencatatkan segala rekod kebaikan serta kejahatan dilakukan setiap individu. Dalam surah a-Haqqah, ayat 18, Allah berfirman yang maksudnya,

Tiap-tiap seorang pada ketika dijalankan perbicaraannya - disoal dan diperiksa satu persatu; tidak akan tersembunyi sesuatu pun dari bawaan hidupnya di dunia, sekalipun yang sulit.

Selain daripada itu, suasana dalam dewan konvokesyen yang saya hadiri penuh damai, tenteram dan ceria. Graduan berbaris dengan penuh disiplin dan tertib. Saya lihat kegembiraan terpancar di wajah setiap graduan semasa mereka berjalan naik dan turun daripada pentas untuk menerima skrol masing-masing. Di Padang Mahsyar pula, digambarkan kepada kita tentang keadaan sengsara, perit, penuh seksa seperti tenggelam dalam air peluh manusia, keadaan berjalan dengan muka ke bumi dan sebagainya. Seluruh makhluk tunduk kerana ketakutan dan penyesalan menunggu penentuan nasib, samada ke Syurga atau ke Neraka.

Apabila habis orang-orang yang disoal oleh Tuhan yang Maha Adil; maka suratan amal manusia dikeluarkan untuk diberi ke tangan masing-masing yang apabila menerimanya ia dapati suratan amalnya itu terbuka, boleh ditatap dan dibaca olehnya sendiri; (13, Surah al-Isra').

Suratan amal itu ada yang diberi ke tangan kanan tuannya dan ada yang diberi ke tangan kirinya. Orang yang diberikan suratan amalnya ke tangan kanannya merasa besar hati dan berbangga dengan yang demikian sehingga ia menyeru orang-orang lain supaya membacanya; (91, Surah al-Haqqah). Sebaliknya orang yang diberikan suratan amalnya ke tangan kirinya merasa runsing hati dan merungut-rungut kerana keburukan nasibnya; (25, Surah al-Haqqah)

Allahuakbar!. Bagaimanakah ‘skrol’ ku?????

Tuesday, October 18, 2011

Tahi lembu perlu cepat dibasuh...

Saya memandu di sebatang jalan yang terlalu banyak “jerangkap samar” hingga tak dapat dielak lagi. Habis cara dah - pusing, brek, pulas, kiri, kanan – kena jugok tahi lembu…percik sampai ke body kereta!. Sampai di rumah, buka pintu kereta, baunya semerbak. Saya dengan cepat basuh kereta untuk menghilangkan tahi lembu tu. Kena cepat-cepat basuh sebab jika dah jadi keras, ia sukar nak dibersihkan. Kena dibasuh cepat dan berterusan sebab saya melalui jalan tersebut setiap hari. Jalan yang memang jadi “tandas” sekumpulan lembu. Ditambah dengan sikap lembu yang tak pandai “flush” tahi mereka.

Begitulah juga dengan dosa-dosa kita. Kita terdedah kepada maksiat dan dosa setiap hari, samada secara sedar ataupun tidak. Jadi, kena cepat-cepat dan berterusan bertaubat. Dosa menggelapkan dan mengeraskan hati. Bila dah gelap dan keras, akhirnya hati mati. Bila hati mati, tak rasa bersalah buat maksiat, malah rasa bangga pula. Segala tazkirah ditolak mentah-mentah dan sukar diterima.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya,

Siapa yang melakukan suatu dosa, maka akan tumbuh di hatinya setitik hitam, kiranya ia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu dari muka hatinya. Jika ia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak sehingga seluruh muka hatinya menjadi hitam. (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Berkaitan dengan hal ini juga, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud,


Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.”
Al-Muthaffifiin:14

Sunday, October 16, 2011

Didik anak...

Semalam ustaz bercerita tentang kisah seorang ibu kepada seorang ulamak besar (saya lupa namanya) mendidik anaknya. Siibu tak pernah menyusu anaknya tanpa beliau berada dalam keadaan berwudhuk. Allahuakbar!. "Sehalus" itu dia menjaga hubungan dengan Allah dalam mendidik anak. Bagaimana dengan kita?

Saturday, October 15, 2011

Punca segala masalah kita....

Segala kekalutan dan haru biru yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang ini adalah disebabkan oleh kita sendiri - samada kita itu selaku diri sendiri, keluarga (ibubapa, adik-beradik, saudara mara, dsbnya), rakan, masyarakat (jiran, dll.), kerajaan, institusi pengajian dan media - kita yang jauh daripada Allah SWT. Kita yang tidak berpegang teguh kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Friday, October 14, 2011

Sijil

Anak saya baru lepas UPSR. Minggu lepas saya bantu beliau isi borang permohonan ke sekolah berasrama penuh melalui internet. Borang tu perlu dicetak dan dihantar kepada pihak sekolah bersama sijil-sijil penglibatan dalam sukan, kelab, unit uniform, pencapaian khas dan kepimpinan. Bila disemak, beliau ada 4 sijil, iaitu kurang 1 sijil. Dalam sukan, penglibatannya ‘sukaneka’….emmmm. Tahap penglibatan (samada wakil negeri/daerah/sekolah)?. Saya rumuskan….wakil diri sendiri lah!. Saya difahamkan, selain daripada pencapaian akademik, sijil-sijil penglibatan dalam aktiviti lain penting dan diambilkira dalam pemilihan ke sekolah berasrama penuh.

Terfikir saya tentang permohonan kita untuk ke Syurga Allah. Pastinya banyak “sijil-sijil” yang diperlukan dan diambilkira. Terdetik dalam hati,

“Aku ada ke semua sijil-sijil tu?, Cukup ke sijil-sijil aku?, Boleh digunakan ke sijil-sijil yang aku ada tu?, Kalau tak cukup sijil-sijil aku tu, nak buat macam mana?”.

Monday, October 10, 2011

Ibubapa derhaka!

Masalah sosial remaja sekarang sudah sampai ke tahap kritikal. Persoalan tentang salah siapa, banyak ditimbulkan. Pada saya, antara faktor utamanya ialah ibubapa yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka seperti yang disarankan Islam. Islam mengutarakan kaedah "prevention better than cure" - misalnya, suruh anak solat di usia 7 tahun dan pukul ketika umur 10 tahun jika ingkar. Islam suruh ajar anak untuk jauhi zina. Ibubapa pula ajar anak-anak pakai skirt dari kecil lagi, selesa dengan anak gadisnya hanya berbaju T-shirt dan berseluar jean, biarkan pergaulan bebas anak-anak, dll. Bila "buluh dah jadi rebung", itulah kita nampak lo ni, ayah yang berjubah dan ibu bertudung, berjalan bersebelahan dengan anak lelaki yang pakai rantai dan anak perempuan yang berseluar sendat, "baju adik" dan rambut fesyen penyanyi pujaan..

Sunday, September 25, 2011

Bekalan dan pesanan

Selepas UPSR minggu lepas, anak saya ikut lawatan ke Langkawi, Perlis, KL dan Shah Alam. Berkilo-kilo pesanan dan nasihat saya dan isteri berikan kerana maklumlah, anak kami tu tak pernah bermusafir tanpa kami berdua. Semasa mengangkat beg ke dalam bas, saya tengok ibubapa lain pun begitu juga - pesanan diberikan hingga ke saat anak-anak pijak tangga bas. Malah, ada yang masih "berkomunikasi" walaupun anak sudah duduk dalam bas - tiba-tiba saja ibubapa dan anak jadi pandai bahasa isyarat!. Banyaknya bekalan yang disediakan ibubapa hingga setiap seorang begnya macam orang nak gi umrah/haji!. Bimbang dan ambil kisahnya ibubapa kepada sianak yang akan merantau selama 4 hari. Insyaallah, akan kembali semula kepangkuan.

Terfikir saya, adakah kita selaku ibubapa "memberikan pesanan dan bekalan" sebegitu rupa kepada anak-anak untuk perjalanan one-way mereka ke destinasi akhirat nanti. Yang pasti, perjalanan di alam baka amat sukar tanpa bekalan secukupnya - bermula dengan sakaratul maut, alam kubur, padang mahsyar, timbangan amal, titian sirath sebelum destinasi akhir syurga/neraka.

Sunday, September 11, 2011

Andai Rasulullah SAW bersama kita

Selamat menduduki UPSR 2011

DIUCAPKAN SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN KEPADA ANAK-ANAK YANG AKAN MENDUDUKI UPSR PADA 13/9/2011 (Selasa) HINGGA 15/9/2011 (Khamis) INI. DIDOAKAN SEMUANYA BERADA DALAM KEADAAN YANG SIHAT DAN DAPAT MENJAWAB SOALAN DENGAN TENANG, SETERUSNYA PEROLEH KEJAYAAN CEMERLANG. JUGA MENJADI ANAK-ANAK YANG SOLEH/SOLEHAH DAN CEMERLANG BUKAN SAHAJA DI DUNIA, LEBIH-LEBIH LAGI DI AKHIRAT.
BERTAWAKKAL LAH KEPADA ALLAH SELEPAS USAHA GIGIH KITA.

Thursday, September 8, 2011

Ya Allah! Tolonglah aku Ya Allah...







Kita mungkin pernah bantu saudara atau kawan yang dalam kesusahan. Walaupun tidak mengharapkan balasan, kita mungkin kecewa jika selepas beberapa ketika, dia mengambil sikap dingin dengan kita. Kita mungkin pernah dengar ungkapan, “Masa susah dan nak minta tolong, lembik tengkok. Bila dah senang lo ni, batang hidung pun dok nampak!”. BEGITULAH JUGA KITA DENGAN ALLAH SWT. Pernah ke kita hadapi masa getir dalam hidup? Ketika di mana kita rasa betul-betul tak terdaya, kita memerlukan bantuan? – anak sakit teruk ke, kita sendiri sakit ke, nak kahwin dengan pilihan sendiri tapi keluarga menghalang ke, orang berbuat khianat kepada kita dan keluarga ke, perniagaan kita menghadapi masalah ke, nak sangat naik pangkat ke, nak sangat dapat kerja ke, kereta rosak di tengah hutan belantara ke, kita di atas kapal terbang yang terumbang-ambing kerana ribut kuat ke…Ketika itu mungkin kita rasa begitu dekat dengan Allah SWT (Hakikatnya, Allah sentiasa dekat dengan kita. Kita yang menjauhkan diri daripada Allah). Ketika di mana doa kita mampu mengeluarkan air mata….ketika di mana kita berani buat macam-macam janji dengan Allah….Masa berlalu dan kita pun dah diselamatkan Allah daripada ketika getir itu. Kita pun mungkin dah lupa atau gagal menghayati ketika getir itu….lupa yang kita pernah berjanji macam-macam dengan Allah…kita kembali jauh daripada Allah!

Wednesday, September 7, 2011

KEBERKATAN dalam PEKERJAAN

KEBERKATAN dalam pekerjaan ada kaitan dengan ketenangan diri melakukannya, dapat memanfaatkan orang lain, sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada, orang sekeliling rasa senang dan selesa dengan kita.

Monday, September 5, 2011

Tekan butang "refresh"


Raya 2011 yang baru kita lalui peluang terbaik kita "refresh" hubungan silaturrahim antara ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan. Tekanlah butang refresh ini sepanjang masa dan jangan hanya tunggu Raya 2012 baru nak tekan semula...

Burung dalam sangkar, ikan dalam laut
















Seorang Muslim di dalam masjid seperti ikan di dalam laut. Sebaliknya, orang kafir/munafik di dalam masjid ibarat burung di dalam sangkar.

Saturday, August 27, 2011

Jika Allah hendak memberikan kebahagiaan kepada seseorang
Ia tidak boleh ditahan oleh apa-apa tangan sekalipun
Jika Allah menghalang kebahagiaan kepada seseorang
Ia tidak boleh dihulur oleh apa-apa tangan sekalipun

(petikan: "MENCARI SAKINAH" oleh DrMaza)

Tiga (3) golongan yang tidak ditolak doa mereka

KITA SEDANG BERPUASA. KITA TERGOLONG DALAM GOLONGAN ORANG YANG TIDAK DITOLAK DOA MEREKA. JANGAN SIA-SIAKAN KELEBIHAN INI....

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Tiga orang yang tidak ditolak doa-doa mereka. Seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka, seorang imam (pemerintah) yang adil dan doa daripada seorang yang dizalimi. Allah s.w.t. akan mengangkatnya ke atas awan dan terbuka pintu-pintu langit dan Allah s.w.t. akan berkata, "Demi kemuliaanKu, pasti Aku akan menolong kamu walaupun selepas beberapa ketika"


(Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi. Menurut Tirmizi, bertaraf hassan. Menurut As-Suyuthi, bertaraf hassan. Menurut Al-Albani bertaraf daif)

Friday, August 26, 2011

Al-Qur'an di akhir zaman


Di akhir zaman, Al-Qur'an diangkat daripada bumi. Khilaf ulamak mengenai "diangkat daripada bumi":
  1. manusia belek Al_Qur'an tapi helaian-helaiannya hanya kertas kosong
  2. alim-ulamak dan mereka yang hafaz Al_Qur'an dimatikan oleh Allah SWT
  3. Al-Qur'an dicetak dalam kuantiti yang banyak namun ianya tidak dibaca (contoh, hanya ditampal di dinding, hiasan dalam rumah, disimpan dalam grobok!), tidak diyakini (contoh, Al-Qur'an dinyatakan Allah sebagai ubat kepada segala penyakit tetapi manusia berubat dengan kepercayaan karut marut selain Al-Qur'an) dan tidak diamalkan (contoh, hukum-hakam didalamnya diabaikan)

Wednesday, August 24, 2011

Bila sampai waktu....

Kelmarin seorang usahawan di kawasan saya dijemput pulang ke rahmatullah. Beliau terlibat dalam kemalangan dalam perjalanan ke tempat kerja di sebelah pagi. Berita kematian mungkin kita dengar setiap hari. Namun, sejauh mana ianya menyentuh hati kita. Tentang usahawan tadi, terfikir dalam hati saya...."beliau mungkin merancang untuk berbuka dengan keluarga dengan pelbagai juadah di sebelah petangnya, namun masa untuknya sudah sampai....beliau disemadikan selepas Asar". Perkara yang sama boleh terjadi kepada sesiapa saja bila sampai waktunya - tidak awal sedetik, tidak lewat sedetik!. Segala perancangan kita (kerjaya, harta benda, anak pinak) TERHENTI......Bila roh dikeluarkan daripada badan, roh akan melihat jasad yang terbujur kaku tanpa dapat berbuat apa-apa lagi. Kita berseorangan membawa diri, berhadapan dengan persoalan dan survival di alam akhirat yang kekal abadi.

Selamat Jalan Ramadhan 1432H/2011

Ramadhan 1432H/2011 dah nak balik dah....Cuba semak diri kita. Jika kita tidak sedikit pun rasa sayu atau rugi atau rindu dengan pemergian Ramadhan, maknanya masih ada yang tidak kena dengan hati kita. Berusahalah untuk mengubatnya sebelum ianya semakin parah...

Taubat Nasuha

Tuesday, August 23, 2011

Doa kita...

Kita nak Allah SWT tunaikan doa kita tapi sejauh mana kita serius dan ikhlas berdoa kepada Allah SWT? Ada yang berdoa hanya masa susah tapi lupa berdoa masa senang. Ada yang berdoa dengan tangan ditadah di atas kepala lutut dan lengan atas peha, ada yang berdoa sambil bercakap dengan rakan, ada yang berdoa sambil baca/taip SMS, ada yang hanya suruh orang lain berdoa untuk dia tapi dia sendiri tak berdoa...kita nilai sendiri keseriusan kita. ALLAH MAHA MENGETAHUI!

Islam kata A, kita buat D, maka kita dapatlah D....

Beberapa sahabat menyatakan kerisauan, "Hei...Raya dah dekat. Nanti berlakulah apa yang berlaku saban tahun dalam masyarakat kita ni - kita balik beraya di kampung, rumah kita/jiran/rakan dipecah masuk." Ini keluhan tentang satu isu iaitu isu keselamatan harta benda semasa musim perayaan. Isu ini menggambarkan ketidaktenangan dalam masyarakat kita.

Analogi saya - cikgu buat soalan ujian dan memberitahu murid-muridnya, "jika kamu nak lulus, buat begini begini begini". Murid-murid degil tak ikut saranan cikgu. Akhirnya, gagal!.

Samalah dengan kita. Allah SWT dah bagi garis panduan. Dia Maha mengetahui sebab Dia yang cipta kita, malah segala-galanya. RasulNya menyampaikan, Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sekalian sesat selagi mana kamu berpegang dengan keduanya iaitu kitab Allah dan Sunnah Nabi. (Riwayat Iman Malik)

Kita akan sejahtera jika ikut sepenuhnya Islam. Tapi, kita degil. Kita ikut yang mana kita rasa nak ikut. Dalam ikut pun, ada yang kita ubahsuai. Al-Qur'an, jikapun kita baca, kita tak amal. Jikapun diamal, tidak sepenuhnya. Natijahnya, kehidupan kita menemui kegagalan/kepincangan/kecelaruan/ketidaktenangan.

Prinsip "Prevention is better than cure" ada dalam Al-Qur'an. Contoh, Allah SWT kata kena suruh anak-anak solat seawal 7 tahun dan pukul jika ingkar di usia 10 tahun. Contoh lagi, Allah SWT suruh sebelum apa-apa terjadi, perempuan kena tutup aurat dan jaga batas pergaulan lelaki perempuan. Kita ingkar. Kita tak patuh. Contoh lagi, Allah melarang menghampiri zina (rujuk surah al-Isra', ayat 32).

Kita bukan saja tak ikut prinsip "prevention" ini, bila dah berpenyakit, ubatnya pun kita tak ikut Al-Qur'an. Kita sememangnya cari penyakit dan tak mahu berubat. Allah SWT kata Al-Qur'an itu pengubat kepada semua masalah. Kita berterusan ingkar.... JADI BENARLAH KATA ALLAH SWT, KEGAGALAN/KEPINCANGAN/KECELARUAN/KETIDAKTENANGAN YANG KITA SEDANG HADAPI SEKARANG INI SAMADA DI PERINGKAT DIRI/KELUARGA/MASYARAKAT, ADALAH DISEBABKAN OLEH TANGAN-TANGAN KITA SENDIRI.

Monday, August 22, 2011



Allah saves the best for last - Lailatul Qadr!

Insyaallah, anak saya akan menduduki UPSR tahun ini. Tarikhnya, 13 September 2011. Maknanya, tinggal tak sampai sebulan lagi. Namun, sukar sungguh untuk saya memastikan beliau istiqamah mentelaah pelajaran. “Celiko” kata orang Kelante atau “Dekko” kata orang Ganung, yang bermaksud mengelak daripada buat apa yang disuruh. Bbuih mulut menasihatkan beliau yang “susah beliau sekarang adalah untuk senang kemudian”.

Samalah juga dengan kedudukan kita semua sekarang. Hari ini. Minggu ini. Kita berada di hari-hari terakhir Ramadhan 1432H/2011. Dalam masa kurang 10 hari lagi, Ramadhan akan meninggalkan kita. Allah SWT sediakan tawaran yang dapat bantu memberi kesenangan kepada kita di alam akhirat yang kekal abadi nanti. Lailatul Qadr – kelebihan umpama beramal 1000 bulan (83 tahun). Agaknya berapa ramai daripada kita yang baca buletin ini berumur 83 tahun?. Kalau ada pun, adakah ibadatnya sempurna 83 tahun?

Panduan diberi lagi untuk mudahkan kita – malam-malam yang ganjil! Tinggal berapa malam lagi malam-malam yang ganjil?. Namun, adakah kita sanggup bersusah sedikit sekarang unutk senang kemudian? Atau ianya sama saja dengan 10 terakhir Ramadhan di tahun-tahun sudah?. Bbuih mulut orang-orang yang beri peringatan mengingatkan kita tentang hal ini tapi, gitulah kitaaaa….PELUANG MASIH ADA UNTUK KITA BERBEZA TAHUN INI. ALANGKAH BERTUAHNYA KITA JIKA DAPAT “BERTEMU” LAILATUL QADR TAHUN INI …. KERANA SUDAH TERLALU LAMA KITA LEPASKAN PELUANG YANG DIBERI!.

Tuesday, August 16, 2011

Istimewanya Ramadhan...

Sabda Rasulullah SAW bermaksud,

Setiap amalan kebaikan anak Adam akan dilipatgandakan menjadi 10 hingga 700 kali dari kebaikan yang semisal. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman (yang artinya), ‘Kecuali puasa, amalan tersebut untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya karena dia telah meninggalkan syahwat dan makanannya demi Aku.’” (HR Muslim)


Sabda Rasulullah SAW bermaksud,

"Sesungguhnya di dalam surga terdapat satu pintu yang dinamakan pintu 'al-Rayyan' yang hanya dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa. Ditanyakan (oleh pintu tersebut): 'Di manakah orang-orang yang berpuasa?' Maka mereka pun masuk dari pintu tersebut. Setelah semua orang yang berpuasa memasukinya, pintu itu pun ditutup dan tak akan ada lagi yang masuk melaluinya." (HR. Muslim).